Kerana Bengang Penyokong Ini Cuba Sakiti Meja, Namun Beliau Yang Tersakiti

Salah seorang penyokong Scotland berjaya menarik perhatian media hari ini selepas reaksi beliau melepaskan kemarahan menjadi bahan ketawa di media sosial.

Beliau yang bengang kerana skuad kesayangannya terlepas peluang untuk menjaringkan gol telah cuba menyakiti meja, namun sebaliknya yang berlaku dengan dirinya yang tersakiti.

Aksi lucunya itu telah tular di media sosial, dengan ramai yang beranggapan itu adalah highlights terbaik dan terhebat dari aksi Scotland awal pagi tadi.

Skuad kendalian Steve Clarke terpaksa akur dengan kekalahan 3-1 di tangan Croatia awal pagi tadi, seterusnya mengucapkan selamat tinggal pada Euro 2020.

Scotland mengakhiri aksi peringkat kumpulan dengan berada di kedudukan keempat, selepas hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dari tiga perlawanan.

England muncul sebagai Juara, Croatia di tempat kedua, Czech Republic di kedudukan ketiga dan Scotland di tempat terakhir, selepas hanya mampu mengutip satu mata sahaja dari tiga perlawanan.

Salah seorang peminat yang menonton perlawanan Scotland, telah dirakam oleh kamera BBC News sedang melepaskan kemarahan beliau namun dengan cara yang agak melucukan.

Penyokong yang identitinya tidak diketahui itu cuba menyakiti meja dengan mahu menyepak meja tersebut yang jelas tidak bersalah.

Dek kerana cubaan beliau mengganggu meja yang tidak berdosa itu, rembatan beliau tersasar dan langsung tidak menyakiti meja tersebut.

Tanpa beliau sedar, selain beratus orang yang melihatnya di situ, jutaan manusia lagi ketawa melihat reaksi marahnya yang bertukar menjadi tragedi itu.

Tapi beliau boleh dipuji kerana masih berusaha tunjuk macho walau semua orang sakit perut tahan ketawa melihat sepakan tersasar beliau.

Peminat di media sosial telah memberikan pelbagai pandangan terhadap insiden tersebut, bahkan ada yang menganggap ia kenangan termanis Scotland sejak pertama kali mereka sertai pertandingan antarabangsa pada tahun 1998.

Bekas pemain sayap Everton, Nikola Vlasic meletakkan Croatia di hadapan pada minit ke-17 permainan, sebelum Callum McGregor menyamakan kedudukan sebelum tamat aksi babak pertama.

Luka Modric kemudiannya menjaringkan gol screamer yang cukup cantik dan padu dari luar kotak penalti untuk Croatia mendahului permainan pada aksi babak kedua perlawanan.

Ivan Perisic kemudiannya melengkapkan kemenangan selesa 3-1 Croatia menewaskan Scotland, seterusnya mengutip tiga mata berharga.

Ketua pasukan Scotland, Andy Robertson mengakui yang beliau kecewa dengan keputusan itu, namun tetap menegaskan yang negaranya akan terus berusaha dan menjadi lebih baik di masa hadapan.

β€œIa sangat mengecewakan, Croatia menunjukkan mengapa mereka finalis Piala Dunia. Babak kedua, mereka buktikan pengalaman mereka dengan Modric dominasi permainan.”

Jelas bintang Liverpool itu kepada Sky Sports.

β€œTapi saya sangat berbangga untuk menjadi ketua pasukan negara dan ketua kepada pemain ini semua. Saya tahu kami kalah awal, tapi kasih sayang yang kami rasa dari penyokong sangat istimewa. Skuad ini sebenarnya berpotensi besar dan sangat penting untuk kami bina semula semua ini.”

Croatia yang memulakan kempen saingan Euro 2020 dengan kekalahan di tangan England berjaya untuk mara ke pusingan kalah mati selepas mencatatkan satu seri dan kemenangan bertemu Scotland.

Croatia akan bertemu dengan salah satu pasukan dari kumpulan E, diantara Sepanyol, Sweden, Poland atau Slovakia di pusingan 16 terbaik nanti.

England berjaya mara sebagai pendahulu kumpulan dan akan bertemu salah satu pasukan dari kumpulan F, antara Perancis, Jerman, Portugal atau Hungary.

Aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan E dan F akan dilangsungkan awal pagi nanti dan keputusan 16 pasukan yang layak ke peringkat kalah mati akan diketahui selepas habis kesemua perlawanan tersebut.

BACA:Β  Peminat Scotland Kecam BBC Kerana Terlalu Agungkan England