Kerana Burger Ayam, Ranieri Dibenci Pemain Leicester

Kalau musim lalu, Claudio Ranieri bagaikan bapa dan mentor kepada semua pemain Leicester City, dan mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Selepas kejayaan merangkul Liga Perdana Inggeris buat pertama kali, mungkin Ranieri merasakan bahawa pasukan ini memerlukan sedikit perubahan dan pemain bakal mengikut dan mendengar katanya.

Sangkaannya meleset sama sekali.

Ranieri dan Leicester – sewaktu cinta masih utuh.

Bagi Ranieri, memenangi liga adalah sukar. Mengekalkan kejuaraan liga adalah lebih sukar. Jadi, dia mengambil beberapa langkah yang difikirkannya progressif demi kebaikan pasukan.

Salah satu daripadanya ialah menukar menu selepas perlawanan. Kebiasaannya selepas perlawanan, pemain Leicester akan dihidang dengan burger ayam  dan wedges kentang di kafe pasukan, namun Ranieri bertindak menukarkan menu kepada kentang manis dan pasta.

Kerana sebiji roti yang dibelah dan diletakkan daging ayam, salad dan keju di tengah-tengah, Ranieri menjadi musuh pemain Leicester.

Menurut bek kanan Leicester, Danny Simpson, tindakan tersebut mengundang kemarahan pemain yang bersikap primadona dan diva. Bagi mereka, Ranieri tiada hak untuk menukar menu, dan menentukan apa yang pemain patut makan atau tidak.

Bermula dari situ, para pemain mula menjadikan Ranieri sebagai musuh, dan jika dilihat prestasi mereka di atas padang, kesungguhan mereka cukup berbeza pada musim ini berbanding sepanjang musim lalu. Seperti yang diketahui, Ranieri akhirnya dipecat ketika juara bertahan tersebut berada di tangga ke-17.

Simpson walaubagaimanapun mengakui dia sedih setelah mendapat khabar Ranieri dipecat, tambahan pula para pemain dicaci dimaki dan dihina oleh para penyokong, sekaligus membuatkan mereka merasakan bagai menghitung menunggu mati.

“Gila bai, memang gila,” ujar Simpson kepada The Independent.

“Kami dimaki dari segenap sudut, malah daripada penyokong kami sendiri. Kami juga digelar ular,” katanya lagi.

Kalau di England, gelaran ular diberikan kepada mereka yang menikam dari belakang.

Simpson senyum ikhlas ke buat-buat tu?

“Sedih sangat tengok Claudio dipecat dan kami dimaki kerana pemecatan itu, lalu hati kami panas. Kami rasa ini tidak adil!” tambah Simpson, meniru watak Abdul Wahub dalam cerita Tiga Abdul.

“Kami hargai apa yang Claudio lakukan, dia adalah lelaki teragung, dan dia adalah seorang yang sangat berpengaruh.

“Pada masa itu, pemecatan Claudio dilihat sebagai satu kehilangan dalam bola sepak,” Simpson akhiri temubual kerana tidak mampu menahan air mata yang semakin deras mengalir.

Ranieri kini masih belum lagi memegang jawatan sebagai pengurus atau ketua jurulatih mana-mana pasukan. Memandangkan Ranieri ini adalah orang Itali, kepakarannya boleh dikira sebagai kepakaran luar. Justeru, ada baiknya jika dia dilantik untuk menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.

Ataupun, kita minta Ong Kim Swee pegang semula. Senang.

Baca juga : Shakespeare temui semula kunci kejayaan Leicester musim lalu.

Baca Juga

Baca Juga