Kerana Mahu Menonton Tennis Bersama Shakira, Pique Minta FA Tunda Perlawanan Sepanyol

Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales telah diminta oleh Gerard Pique supaya meminda aksi perlawanan melibatkan skuad kebangsaan mereka.

Pique meminta agar perlawanan melibatkan skuad Sepanyol ditunda dalam usahanya mahu menonton perlawanan tennis bersama Shakira.

Hal tersebut telah didedahkan oleh media Sepanyol, El Confidencial, yang mendakwa bahawa pemain pertahanan Barcelona itu pernah memohon kepada Rubiales menjelang aksi bertemu Romania di pusingan kelayakan Euro pada 2019 yang lalu.

Pique yang telah membuat 102 penampilan bersama skuad La Roja itu berhasrat mahu menonton aksi tennis, Davis Cup di Madrid pada ketika itu.

Bekas bintang Manchester United itu sebenarnya merupakan Presiden untuk Kosmos Tennis, syarikat yang menganjurkan pertandingan Davis Cup bersama ITF.

Pique pada ketika itu telah memberitahu Rubiales bahawa:

“Rubi, kita perlu bercakap tentang isu yang sangat penting bagi saya dan kamu perlu bantu saya dengan apa cara sekalipun.”

“Saya akan jelaskan. Saya boleh nampak ada perlawanan, yang mana ia antara Sepanyol-Romania pada 18 November nanti.”

“Isnin, 18 November merupakan hari permulaan Davis Cup di Madrid juga. Shakira akan melakukan perasmian, partner saya akan menyanyi, kami ada urusan, dan petangnya ada perlawanan.”

“Tentunya jika perlawanan antara Sepanyol dan Romania di langsungkan di Wanda ia akan menyebabkan kami berbalah, kami akan bergaduh. Saya tak tahu apa jadual sebelum ini, saya tak tahu kalau ia boleh ditunda ke hari Ahad yang mana ia akan jadi sangat sempurna.”

“Saya tak tahu jika kamu mainkan pada Jumaat atau Khamis… Mari lihat pada kalender, tapi saya tahu kamu masih belum mula menjual tiket dan saya rasa masih sempat untuk tunda, oleh yang demikian jom kita bincang.”

Rubiales dikatakan membalas mesej Pique dengan menyatakan:

“Ok, saya akan lihat apa mampu saya lakukan, saya tak tahu jika ia boleh, tapi kalau boleh kita akan cuba.”

Perlawanan itu kemudiannya benar-benar ditangguhkan dengan Sepanyol ketika itu mencatatkan kemenangan selesa 5-0 menewaskan Romania.

Pique walau bagaimanapun dikatakan tidak ada dalam senarai skuad dan tidak pasti apa alasan beliau tidak bermain pada ketika itu.

Rubiales selain diminta untuk menunda perlawanan, beliau turut pernah diminta untuk bantu pemainnya supaya memenangi anugerah Ballon d’Or.

Sergio Ramos dilaporkan pernah meminta beliau agar membantunya memenangi anugerah Ballon D’or.

Ramos minta Rubiales bantunya agar memenangi anugerah Ballon d’Or

Pada tahun 2020 yang lalu, telah tular audio dari Sergio Ramos yang meminta Persatuan Bola Sepak Sepanyol untuk membantu beliau memenangi anugerah Ballon d’Or.

Menurut sumber laporan dari media utama Sepanyol, Mundo Deportivo, bekas ketua pasukan Real Madrid itu dikatakan telah bercakap Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales.

Bukan hanya sembang kosong atau borak kedai kopi, tapi Ramos dikatakan cuba meracun Rubiales supaya membantu beliau memenangi anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

Ramos pada ketika itu dikatakan menganggap dirinya layak dan calon terbaik untuk memenangi anugerah Ballon D’or dan kerana itu beliau meminta sokongan dan bantuan dari FA.

Beliau yakin dirinya akan menjadi pemain pertahanan pertama selepas Fabio Cannavaro untuk memenangi anugerah Ballon d’Or.

Ramos ketika itu menyatakan:

“Kamu tahu yang saya tak pernah minta kamu buat apa-apa tapi jika saya mahu kamu lakukan sesuatu hari ini, ia kerana saya rasa ini merupakan tahun istimewa untuk saya atas persembahan yang saya tunjukkan.”

Jelas Ramos kepada Rubiales.

“Saya berharap kamu bantu saya untuk menang dengan apa cara dan gunakan rangkaian kamu dalam UEFA untuk saya dapat Ballon d’Or.”

“Saya akan berterima kasih kepada kamu sepanjang hayat saya, bukan hanya untuk saya tapi ia kerana saya fikir Persatuan Bola Sepak Sepanyol sangat-sangat berhak untuk dapat ini.”

Persembahan istimewa yang bekas ketua pasukan Real Madrid itu maksudkan adalah ketika kejayaan beliau membantu Los Blancos memenangi gelaran La Liga pada musim tersebut.

Di tengah-tengah pandemik pada ketika itu, saingan La Liga terhenti pada bulan Mac dan kembali bersambung pada Jun 2020.

Real Madrid berjaya untuk kekalkan tahap persembahan terbaik mereka, seterusnya berjaya membawa pulang gelaran La Liga ke Santiago Bernabeu.

Ramos bersama rakan sepasukannya berjaya mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah termasuk 10 kemenangan secara berturut-turut.

Rekod tersebut berjaya membantu Real Madrid untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu saingan La Liga pada ketika itu.

Menurut sumber laporan dari Mundo Deportivo, Rubiales membalas pesanan Ramos itu dengan memberitahunya yang beliau sememangnya layak memenangi anugerah Ballon d’Or.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol itu juga turut mendoakan agar Ramos akan berjaya membantu Real Madrid memenangi gelaran Champions League pada musim berikutnya.

Rubiales juga menegaskan yang beliau tiada kuasa dalam menentukan siapa layak memenangi anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

Beliau juga mendedahkan kepada Ramos yang beliau sebenarnya akan cuba semampu beliau untuk membantu legenda Sepanyol itu, namun kuasa yang beliau miliki terbatas.

Walau bagaimanapun, memandangkan pandemik pada ketika itu teruk melanda dunia, anugerah Ballon d’Or pada tahun tersebut turut dibatalkan oleh France Football.

Sergio Ramos jelas sekali sangat kecewa dengan keputusan dari France Football dek kerana beliau sangat yakin beliau paling layak memenangi anugerah tersebut pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, individu sebenar yang sepatutnya kecewa anugerah Ballon d’Or dibatalkan bukanlah Ramos, tetapi Lewandowski yang dianggap calon kegemaran untuk memenangi anugerah tersebut pada tahun 2020 lalu.

Tidak ada mana-mana pemain yang lebih layak untuk memenangi anugerah tersebut, berbanding Robert Lewandowski dan seluruh dunia turut sepakat tentang hal tersebut.

Beliau berjaya membantu Bayern Munich menjuarai saingan Champions League, Bundesliga dan piala domestik yang lain.

Ramos pada ketika ini sedang beraksi bersama Paris Saint Germain, namun beliau sepertinya agak bergelut untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya di Parc des Princes.

Masalah kecederaan dikatakan punca utama mengapa Sergio Ramos gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya bersama PSG.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pique Untung Besar Kerana Berjaya Pindahkan Spanish Cup Ke Arab Saudi