Kerana Mahu Pertahankan Son, Richarlison Tumbuk Muka Pemain Sevilla

Richarlison didakwa dengan sengaja telah menumbuk muka pemain Sevilla ketika aksi perlawanan persahabatan antara kelab dari Sepanyol itu bertemu Tottenham Hotspur kemarin.

Tottenham Hotspur mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu kelab dari Sepanyol itu di Suwon, dengan Harry Kane berjaya membuka tirai jaringan pada aksi babak kedua permainan untuk skuad kendalian Antonio Conte itu mendahului perlawanan.

Ivan Rakitic kemudiannya berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol, seterusnya membantu Sevilla untuk mengikat kedudukan 1-1.

Walau bagaimanapun, telah berlaku insiden panas dalam perlawanan itu yang menyebabkan para pemain kedua-dua pasukan bergaduh besar.

Son Heung-min dilihat secara tak sengaja telah menyiku muka Montiel dan menyebabkan muka pemain Sevilla itu terluka.

Ketika pengadil menamatkan aksi separuh masa pertama, Montiel dilihat terus pergi bersemuka dengan pemain kebangsaan Korea Selatan itu.

Son kemudiannya turut meluahkan kemarahannya dan selepas itu berlakulah kekecohan antara para pemain dari kedua-dua pasukan.

Richarlison yang baru sahaja beberapa minggu bersama Tottenham Hotspur dengan segera tampil untuk membela rakan sepasukannya itu dan turut menolak pemain Sevilla yang ada di situ.

Beliau walau bagaimanapun dituduh telah menumbuk muka salah seorang pemain Sevilla ketika beliau sedang berusaha meleraikan kekecohan tersebut.

Rakaman menunjukkan Richarlison menolak pemain Sevilla yang sedang mengamuk dan pada masa sama beliau sempat menghayun penumbuk ke muka pemain tersebut.

Para penyokong Tottenham Hotspur jelas sekali sangat gembira melihat cara beliau membela rakan sepasukannya dan ia menunjukkan Richarlison telah memberi sepenuh komitmen kepada kelab walau beliau masih baru bersama Spurs.

Di bawah merupakan video yang menyebabkan ramai pihak menuduh Richarlison dengan sengaja menumbuk muka pemain Sevilla.

Walau bagaimanapun, ada video lain yang menunjukkan sudut pandangan berbeza tentang situasi itu dan ia jelas membuktikan yang Richarlison tidak bersalah.

Video tersebut menunjukkan yang pemain Sevilla itu sendiri yang sebenarnya telah menumbuk Richarlison sebelum beliau ditumbuk.

Walau apa yang berlaku, para peminat percaya yang Richarlison sebenarnya sudah membuktikan yang beliau bersemangat dan mahu berjuang bersama Tottenham Hotspur.

Semangat yang beliau tunjukkan sebenarnya sudah berjaya memikat hati para penyokong dan tidak akan mengejutkan sama sekali andai beliau akan menjadi pemain kesayangan peminat di masa hadapan.

Richarlison melakukan debutnya bersama Tottenham Hotspur ketika aksi perlawanan persahabatan bertemu kesebelasan terbaik K-League.

Beliau dalam perlawanan itu berjaya membantu Tottenham Hotspur untuk mencatatkan kemenangan 6-3 bertemu kesebelasan terbaik liga bola sepak Korea Selatan.

Pengurus kelab, Antonio Conte telah menghamburkan pujian menggunung kepada Richarlison dan turut menjelaskan secara terperinci tentang mengapa beliau menandatangani bintang Brazil itu.

“Dia ada karakter yang bagus dan dia ada kualiti yang bagus.”

Jelas Antonio Conte selepas tamat perlawanan bertemu kesebelasan terbaik K League.

“Kami sedang berusaha dari segi taktikal dengan dia kerana dia perlu masuk dalam perancangan kami dan juga kami akan berusaha perbaiki dari aspek fizikal kerana dia perlu dalam keadaan terbaik.”

“Dia adalah pemain yang akan bagi saya pilihan paling penting. Saya sangat gembira kami dapat tandatangani dia.”

Walau bagaimanapun, bekas bintang Tottenham Hotspur, Harry Redknapp percaya yang Richarlison berpotensi untuk beri masalah kepada Spurs andai beliau sering diketepikan dari skuad utama.

“Saya tak begitu yakin tentang Richarlison sebenarnya.”

Jelas Redknapp.

“Tak pasti di mana dia akan bermain, dia bagi saya kalau dia tak main, dia bukan jenis pemain yang akan sekadar diam dan duduk di tepi. Jika dia tak ada dalam skuad saya rasa dia akan bawa masalah.”

“Tapi kalau dia ada dalam skuad, dia perlu bermain di atas sana bersama Son dan Kane di belakang. Tidak pasti dia akan bermain bertiga di belakang, atau dua di midfield, saya tak pasti lagi.”

“Tapi jika dia tidak diturunkan, saya rasa dia bakal bawa masalah kepada Tottenham Hotspur.”

Sumber: GMS

BACA:  Park Ji Sung Namakan Tiga Bintang Korea Selatan Yang Perlu United Tandatangani