Kerana Sembang Terlalu Kencang, Tavares Akhirnya Mengaibkan Diri Sendiri Ketika Bertemu Liverpool

Kerana sembang terlalu kencang, Nuno Tavares akhirnya mengaibkan diri sendiri ketika bertemu Liverpool awal pagi tadi.

Pemain full-back Arsenal itu merupakan antara pemain yang paling banyak melakukan kesilapan dengan memberikan bola kepada pemain Liverpool.

Beliau juga merupakan Individu bertanggungjawab yang menghadiahkan bola kepada Diogo Jota untuk gol kedua Liverpool, ketika membenam Arsenal 4-0 di Anfield pagi tadi.

Tavares tidak dinafikan cemerlang dalam mengekang asakan dari bahagian sayap Liverpool, namun pada masa sama beliau juga kerap melakukan kesilapan dungu yang membahayakan gawang gol Gunners.

Beliau berkali-kali menghantar bola kepada pemain Liverpool ketika mahu membuat hantaran kepada rakan sepasukannya.

Melihat kepada aksi dungu yang beliau pamerkan, para peminat dengan segera mengingatkan semula Tavares tentang betapa riaknya beliau ketika bercakap sebelum sepak mula perlawanan bertemu Liverpool.

Beliau menegaskan yang Salah akan kenal siapa dirinya selepas tamat perlawanan nanti, namun sayangnya beliau sendiri tidak mengenali siapa Jota hingga memberi bola mudah untuk bintang Liverpool itu merobek gawang golnya.

Sembang kencang Nuno Tavares

Sebelum sepak mula perlawanan bertemu Liverpool, Nuno Tavares memberi amaran kepada para pemain Liverpool yang mereka bakal memenangi gelaran liga musim ini.

Pemain pertahanan kiri yang ditandatangani dari Benfica itu telah membuat lapan penampilan dalam saingan liga setakat ini, termasuk aksi bertemu Liverpool.

Bintang berusia 21 tahun itu bermain 90 minit dalam empat perlawanan terakhir Arsenal, dengan mereka berjaya memenangi tiga perlawanan sebelum ini secara berturut-turut.

Sebelum aksi bertemu Liverpool, beliau telah menerima pujian yang menggunung atas aksi hebat dan persembahan mantap yang beliau persembahkan.

Bercakap kepada talkSPORT, Nuno Tavares mendedahkan bahawa:

“Perlawanan ini sangat besar untuk kami. Kami datang ke Anfield untuk menang. Itu saja.”

Jelas Tavares kepada talkSPORT.

“Kenapa tiga teratas dan tidak yang pertama? Saya beritahu kamu yang kami Arsenal, jadi kami mahu menang liga musim ini. Bagi kami, kami mahu yang pertama.”

“Pada awalnya kami tidak bermula dengan baik pada permulaan musim. Tapi sekarang kami dalam keadaan baik-baik saja dan orang kena faham yang kami Arsenal. Kami perlu menang untuk capai sasaran kami.”

“Saya tak tahu mengapa semua orang terkejut tentang Arsenal. Kami merupakan pasukan yang besar dan ada pemain yang bagus.”

“Saya tak tahu kenapa orang terkejut tentang itu. Bagi kami ia satu hal yang biasa dan mudah untuk kami menang dalam perlawanan.”

“Kami sekarang berada di kedudukan lima teratas, bagi kami, kami mahu jadi nombor satu. Saya tak tahu kenapa orang terkejut tentang itu.”

Tavares juga turut menunjukkan keyakinan yang tinggi bahawa beliau mampu menguruskan bintang utama Liverpool, Mohamed Salah dalam perlawanan pada awal pagi tadi.

“Salah, jika saya bermain, dia akan berdepan dengan saya. Saya tak ada masalah dengan sesiapa. Saya bermain untuk Arsenal. Kami merupakan pasukan yang bagus dan Liverpool juga pasukan yang bagus untuk ditemui.”

Ketika ditanya adakah Salah akan beri masalah kepadanya, Tavares menjawab:

“Saya tak rasa macam itu. Salah tak akan tahu siapa saya.”

Ketika aksi kekalahan memalukan Arsenal dibelasah Liverpool awal pagi tadi, telah berlaku satu insiden panas di luar padang yang memperlihatkan bagaimana Arteta dan Jurgen Klopp bergaduh di luar padang.

Arteta dan Klopp hampir buka gelanggang MMA di tepi padang

Insiden kejadian paling menarik perhatian dalam perlawanan ini bukanlah empat gol yang dijaringkan oleh pemain Liverpool tetapi pertelingkahan yang terjadi diantara Jurgen Klopp dan Mikel Arteta.

Pada minit ke-32, situasi tegang ke tahap yang maksima apabila Mikel Arteta nyata hilang akal dan tidak dapat menahan amarahnya dan hampir bertumbuk dengan Jurgen Klopp.

Semua ini berpunca daripada kejahatan yang sangat jelas Sadio Mane ke atas Takehiro Tomiyasu di mana tiada sebarang kad yang dilayangkan kepada Mane.

Ketika perebutan bola diudara Sadio Mane dilihat seperti menghalakan sikunya ke wajah polos Takehiro Tomiyasu sehingga jatuh tergolek ke tanah.

Pertengkaran mulut mula tercetus di tepi padang antara Mikel Arteta dan Jurgen Klopp. Entah apa yang merasuk Arteta apabila dengan argesifnya cuba menyerang Klopp.

Namun Arteta sempat ditarik oleh staf kejurulatihan lalu pengadil perlawanan telah melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pengurus dan perlawanan kembali bersambung.

Selepas tamat perlawanan, kedua-dua pengurus menunjukkan sikap matang dengan mereka saling bersalaman dan masalah antara mereka juga dianggap sudah selesai.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Reaksi Salah Ketika Ditanya Tentang Kedudukan Beliau Dalam Senarai Pemenang Ballon D'or