Kerana Temuramahnya Bersama Piers Morgan Ronaldo Bakal Hilang RM81 Juta

Gara-gara temuramah penuh kontroversi yang mencela Manchester United bersama Piers Morgan, Cristiano Ronaldo dijangka bakal kehilangan dan rugi RM81 juta (£15 juta).

Ronaldo mengambil bahagian dalam temu bual selama 90 minit dengan Piers Morgan, yang akan disiarkan sepenuhnya dalam rancangan Morgan ‘Piers Uncensored’ di TalkTV pada hari Rabu dan Khamis.

Adalah adil untuk mengatakan bahawa ia telah menjadi salah satu wawancara bola sepak paling kontroversi dalam ingatan, dengan Ronaldo menghentam Glazers, kemudahan kelab, pelantikan Ralf Rangnick, Erik Ten Hag dan juga Wayne Rooney serta Gary Neville.

Tetapi kutukan tersedap yang mungkin menyebabkan Ronaldo keluar dari Old Trafford dengan lebih cepat adalah terhadap bos Red Devils, Erik ten Hag.

Sudah menjadi lumrah buat pemain bola sepak apabila sudah berpatah arang dengan pengurus kelab maka tamatlah riwayat pemain di kelab tersebut.

Apabila keranda dibawa, barulah bercucuran air mata.

Dan menurut ESPN, Ten Hag telah menasihatkan ketua operasi United bahawa Ronaldo tidak sepatutnya bermain untuk Manchester United lagi.

Pengurus berusia 52 tahun itu mengadakan pertemuan dengan pengerusi bersama Joel Glazer, ketua eksekutif Richard Arnold dan pengarah bola sepak John Murtough pada hari Isnin.

Erik Ten Hag sanggup menangguhkan percutiannya, untuk membincangkan isu itu bagi mencari kata putus dari kelab selepas dia tidak lagi mahukan Ronaldo.

Pengurus dari Belanda itu dilaporkan lebih mementing keharmonian bilik persalinan pasukan berbanding seorang individu.

Jika kelab memutuskan untuk membenarkan pemain berusia 37 tahun itu pada Januari, selepas Piala Dunia, mereka boleh menjimatkan sejumlah besar wang.

Menurut Daily Express, Ronaldo menerima bayaran sekitar £500,000 seminggu di kelab itu, bermakna United boleh menjimatkan kira-kira £15 juta jika mereka memilih untuk menjualnya ke kelab lain pada Januari.

Minat terhadap penyerang itu nampaknya tidak terlalu tinggi dari kelab gergasi, tetapi dia sebelum ini dikaitkan dengan MLS.

Oleh itu, Ronaldo mungkin menyertai Inter Miami pimpinan David Beckham dan boleh beraksi menentang DC United, yang diuruskan oleh Rooney.

Bagaimanapun, pilihan lain untuk United ialah melepaskan Ronaldo daripada kontraknya. Dalam situasi seperti ini, kelab biasanya perlu membayar yuran pampasan kepada pemain untuk dia pergi secara percuma.

Jika Manchester United tidak mahu berjimat, mereka boleh saja menyimpan Ronaldo dalam peti ais tanpa memberi sebarang minit sehingga kontraknya tamat.

Peguam sukan terkemuka David Seligman telah membuat ciapan di Twitter pada hari Isnin, dalam tweet yang kini telah dipadam menjelaskan bahawa Red Devils boleh menamatkan kontrak pemain berusia 37 tahun itu, sebelum menjelaskan sebabnya.

Dia menjelaskan:

“Man United berkemungkinan mempunyai alasan untuk menamatkan kontrak Ronaldo – pelanggaran material terhadap kewajipan amanah dan keyakinan yang tersirat, serta menyatakan terma mengenai menjatuhkan maruah kelab.”

“Peraturan/perundangan FIFA mengenai pendaftaran pemain tidak semudah itu. United boleh menamatkan kontrak tetapi mengekalkan pendaftaran pemain untuk tujuan pampasan jika penamatan disebabkan oleh kontrak Ronaldo.”

Peraturan FIFA memang menyatakan bahawa kontrak boleh ditamatkan jika ada ‘sebab adil’ dan ‘tanpa akibat’ yang melibatkan pampasan.

Apa yang nampak jelas ialah Ronaldo tidak akan kekal di Man Utd. Persoalan bagaimana sebenarnya pemergiannya berlaku, dan akibatnya, masih belum terjawab buat masa ini.

Dalam masa yang sama setakat ini tiada kelab yang berminat untuk mendapatkan Ronaldo, jika sebelum ini adalah disebabkan gaji yang tinggi.

Namun kini kelab yang mampu dari segi kewangan mungkin berfikir 20 kali jika mengambil kira perangai diva Ronaldo yang bakal mereka hadapi nanti.

BACA:  Satu Post Instagram Ronaldo Kini Berharga RM9.76 Juta Selepas Cecah 400 Juta Pengikut