Kerap Tersenyum Punca Keane Bengang Dengan Rashford

Roy Keane sebenarnya tak begitu berkenan dengan pemain yang terlalu kerap tersenyum dan kerana itulah beliau bengang ketika melihat Marcus Rashford melakukan hal itu.

Roy Keane meluahkan kekecewaan beliau melihat Marcus Rashford tersenyum riang menjelang aksi pertemuan bertemu Chelsea awal pagi tadi.

Musim ini jelas sekali dianggap sebagai antara musim yang mahu segera dilupakan oleh para pemain Manchester United.

Marcus Rashford juga jelas sekali mahu segera melupakan apa yang berlaku pada musim ini terutama selepas melihat aksi hambar beliau sepanjang musim ini.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya mampu menjaringkan lima gol sahaja dari 30 penampilan sepanjang musim ini dan ia merupakan statistik yang sangat teruk untuk pemain yang mempunyai kualiti hebat seperti beliau.

Beliau jelas sekali sangat berharap akan mampu memperbaiki rekod tersebut apabila beraksi di bawah kendalian Erik Ten Hag bermula musim hadapan.

Namun begitu, walaupun beliau sedang berada di tahap persembahan terburuknya, pengurus interim kelab, Ralf Rangnick tetap memilih untuk menurunkan Marcus Rashford dalam kesebelasan utamanya dalam saingan Premier League mahupun di kejohanan Eropah.

Menjelang aksi sepak mula bertemu Chelsea, pemain kebangsaan England itu dilihat sedang memanaskan badan bersama Scott McTominay, Nemanja Matic dan Raphael Varane.

Roy Keane yang melihat tinglah laku pemain berusia 24 tahun itu sedang memanaskan badan tampil meluahkan rasa kecewanya beliau tentang hal itu.

Pertama sekali, beliau menegaskan yang Rashford sepatutnya memberikan yang lebih baik di atas padang, namun selepas melihat bintang England itu menjalani latihan, Keane memutuskan untuk menganalisis riak wajah pemain penyerang itu.

“Setiap kali saya lihat Marcus memanaskan badan, dia sentiasa terseyum.”

Jelas legenda kelab yang kini berusia 50 tahun itu di studio Sky Sports.

“Saya tak suka pemain terlalu kerap tersenyum.”

Bulan lalu, penjaring terbanyak sepanjang zaman Man Utd, Wayne Rooney turut memaki hamun Marcus Rashford supaya kembali bangkit.

“Untuk pecah rekod dan menjadi penjaring terbanyak United itu merupakan pencapaian sangat besar.”

Jelas Rooney dalam satu temu bual bersama The Sun di acara Black tie di Manchester.

“Apa saya harap adalah Marcus Rashford bangkit dan berusaha untuk pecahkan rekod itu. Dia anak jati Manchester. (Cakap dengan nada keras dan ayat maki-maki).”

Rashford mungkin kecewa dengan persembahan beliau pada musim ini dan mungkin saja beliau turut malu dengan hal tersebut.

Sama seperti David De Gea yang turut merasa malu menjadi pemain Manchester United selepas apa yang berlaku pada musim ini.

De Gea mengaku kadang kala malu menjadi pemain Manchester United

Penjaga gol Manchester United, David De Gea tampil menjelaskan tentang perasaan beliau menjadi pemain Manchester United pada musim ini.

Beliau dengan terbuka mendedahkan yang beliau sebenarnya malu menjadi pemain Manchester United dek kerana apa yang mereka persembahkan musim ini.

Musim ini jelas sekali musim yang sukar untuk Manchester United apa lagi selepas mereka mencatatkan lima kekalahan dari lapan perlawanan terakhir dalam saingan Premier League.

Manchester United sebelum mencatatkan keputusan seri bertemu Chelsea awal pagi tadi, mereka telah berdepan kekalahan memalukan bertemu Liverpool dan Arsenal.

Mereka juga turut berdepan kekalahan bertemu Everton yang sedang bergelut di zon penyingkiran pada ketika ini dan jelas sekali United benar-benar berada di titik terburuk mereka pada ketika ini.

Ia merupakan rekod terburuk mereka dalam saingan Premier League sejak dari 41 tahun yang lalu.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu terlalu mudah dibolosi dan ia jelas sekali kerana kelemahan barisan pertahanan mereka yang kerap melakukan kesilapan dungu.

Bahkan Manchester United pada ketika ini mencatatkan rekod bolos yang lebih teruk lagi berbanding pasukan yang bergelut di zon penyingkiran pada ketika ini, Burnley dengan mereka bolos 51 gol dari 34 perlawanan.

Seseorang yang mungkin boleh dianggap sebagai penyelamat utama United dalam setiap perlawanan pada musim ini adalah David De Gea.

Rasanya semua penyokong Manchester United akan bersetuju yang De Gea sememangnya pahlawan utama kelab dan kerana beliaulah United kerap berjaya mengelak dari terus diaibkan.

Ramai juga peminat yang memilih David De Gea untuk menjadi pemain terbaik kelab musim ini atas kecemerlangan yang beliau persembahkan sepanjang musim ini.

De Gea turut dipuji atas kejujuran beliau memberi pandangan tentang keadaan kelab pada ketika ini dan menjelang aksi bertemu Chelsea, beliau sekali lagi tampil meluahkan kekecewaan beliau dengan situasi pada ketika ini.

Ketika ditanya betapa sukarnya beliau mewakili kelab pada ketika ini terutamanya dengan keadaan kelab yang huru-hara, De Gea menjawab:

“Bagi saya, ia sangat, sangat sukar. Saya sudah berada di sini selama bertahun-tahun. Berdiri di atas padang berdepan keputusan tiga ke empat kosong, ia sangat menyakitkan untuk saya.”

“Saya kadang kala rasa malu.”

Jelas penjaga gol utama Manchester United itu.

“Ia sangat sukar untuk katakan. Saya rasa teruk di atas padang. Itulah sebabnya kami perlu ubah cara pemikiran sekarang.”

“Semua orang perlu lakukan lebih lagi dan cuba memenangi perlawanan. Kita perlu berada di kedudukan terbaik.”

Seperti yang dinyatakan di atas, De Gea sememangnya tak pernah rasa segan silu dalam meluahkan kekecewaan beliau tentang situasi huru-hara Man Utd pada ketika ini.

Pada awal bulan baru-baru ini, beliau menjadi pemain pertama Man Utd yang meninggalkan bilik persalinan selepas aksi kekalahan memalukan bertemu Everton.

Ketika temu bual selepas tamat perlawanan itu, beliau bahkan turut menganggap kelabnya ‘memalukan’ selepas kekalahan bertemu pasukan di zon penyingkiran itu.

“Ia sangat memalukan untuk kami sejujurnya. Kami sepatutnya menang perlawanan ini.”

Jelas De Gea kepada BT Sport.

“Kami tak jaringkan gol dan kami tak cipta peluang yang baik untuk jaringkan gol. Kami tak cukup bagus, itu sudah tentu. Memang susah untuk berada di kedudukan empat teratas.”

“Mereka bermain Rabu dan mereka juga penat tapi mereka ada lebih keinginan berbanding kami, itu yang tak boleh diterima. Sangat sedih dengan kekalahan hari ini.”

Bukan hanya De Gea, sepertinya seluruh kem Manchester United juga merasakan hal yang sama pada musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Roy Keane Namakan 5 Pemain Yang Menjadi Masalah Terbesar Manchester United