Kesebelasan Terbaik Pilihan Mario Balotelli

Mario Balotelli telah menamakan kesebelasan terbaik pilihannya pada Jumaat lalu dan mendedahkan kepada
peminat menerusi Puma Football’s.

Dalam kesebelasan terbaik pilihannya, Balotelli telah memilih tujuh bekas rakan sepasukannya dan dua lagi legenda di pentas premier league.

Pemain kebangsaan Itali itu telah mempamerkan aksi hebat ketika usia remajanya. Mungkin kerana masalah disiplin beliau sedikit tenggelam beberapa musim ini.

Sepanjang kariernya beliau telah beraksi bersama ramai bintang-bintang besar bola sepak dunia ketika beraksi bersama pasukan Inter Milan, Manchester City, AC Milan, Liverpool dan pasukan kebangsaan Itali.

Jadi beliau mempunyai ramai pemain hebat untuk dipilih dalam kesebelasan terbaiknya. Dan siapa yang Balotelli pilih?

Baru-baru ini beliau berbicara dengan Thierry Henry dalam siaran langsung di lama Instagram Puma Football’s dan dalam rancangan itu beliau diminta menyenaraikan kesebelasan terbaik pilihannya.

berikut merupakan kesebelasan terbaik pilihan Balotelli:

GK – Julio Cesar

Balotelli beraksi bersama Julio Cesar di Inter Milan dan Cesar berjaya membantu Inter memenangi gelaran treble.

Beliau ketika itu tidak diragukan menjadi antara penjaga gawang terbaik dunia.

RB – Maicon

Seorang lagi bekas rakan sepasukannya dan juga pemain kebangsaan Brazil. Maicon merupakan seorang pemain yang luar biasa hebat sekitar tahun 2010.

Namun sejak kemunculan Gareth Bale, karier Maicon seakan sudah tenggelam.

CB – Fabio Cannavaro

Cannavaro bersara dari pasukan kebangsaan Itali sebelum Balotelli melakukan debut. Jadi mereka berdua tidak pernah beraksi bersama.

Cuma tiada yang boleh mempertikaikan pemilihan Cannavaro kerana beliau sememangnya antara pemain terbaik dunia.

CB – Alessandro Nesta

Alessandro Nesta juga merupakan pemain yang tidak pernah beraksi bersama Balotelli.

Tetapi pemilihan beliau sangat tepat memandangkan Nesta merupakan legenda pertahanan terbaik untuk digandingkan dengan Cannavaro.

LB – Maxwell

Maxwell pernah beraksi bersama Balotelli ketika awal kariernya dahulu. Beliau bukan lah salah seorang pemain terbaik tetapi beliau memenangi banyak piala sepanjang kariernya.

DM – Andrea Pirlo

Kembali kepada legenda dari Itali. Mereka berdua pernah beraksi bersama untuk pasukan kebangsaan Itali.

“Pirlo pasti menjanjikan kamu untuk menjaringkan 10 gol setahun.”

Jelas Balotelli tentang rakan sepasukan di Itali.

CM – Steven Gerrard

Balotelli melalui musim yang suram ketika beraksi bersama pasukan Liverpool. Tetapi Gerrard tidak pernah beraksi hambar.

Legenda Scouser ini memang layak dinamakan sebagai terbaik sepanjang zaman.

CM – Yaya Toure

Balotelli menganggap bahawa Yaya Toure adalah pemain serba boleh dan beliau sangat mengagumi legenda Manchester City itu.

Satu-satunya pemain City yang berada dalam senarai pilihannya dan memilih Yaya Toure adalah keputusan yang bijak.

AM – Antonio Cassano

Cassano bergandingan bersama Balotelli ketika Euro 2012, boleh dikatakan ianya sebagai titik tolak dalam karier terakhirnya.

Cassano merupakan seorang pemain berbakat dan cemerlang dalam kerjayanya.

CF – Lionel Messi

Mereka tidak pernah beraksi bersama. Tetapi tiada pemain di dunia ini mampu menafikan bahawa Lionel Messi adalah pemain terbaik sepanjang zaman.

Hampir kesemua pemain impikan Messi berada dalam pasukannya dan mahu beraksi bersama pemenang enam kali Ballon d’or itu.

CF – Ronaldo

“Ketika saya berusia 10 tahun, pemain kegemaran saya adalah Ronaldo, the Brazilian.”

Jelas Balotelli mendedahkan idolanya ketika kanak-kanak.

Selepas menamakan kesebelasan terbaik pilihannya, Balotelli mengusik Henry dengan mengatakan dia sudah membuat pilihan terbaik dengan mengetepikan Henry dari pilihannya.

“Ia adalah kesebelasan terbaik saya rasa. Lagi pun saya sudah singkirkan kamu dan saya singkirkan juga Cristiano Ronaldo.”

Pemilihan sangat peribadi dari Balotelli tetapi sangat menarik. Pemilihan yang bijak dilakukan oleh Mario Balotelli.

BACA:  Zlatan Ibrahimovic Pernah Suruh Balotelli Berhenti Main Bola