Kesebelasan Utama France Football Dream Team

Share on facebook
Share on twitter

France Football telah menyenaraikan kesebelasan utama pemain terhebat bola sepak yang digelar ‘France Football Dream Team’ yang dibarisi oleh nama-nama lagenda daripada seluruh pelosok dunia.

Anugerah Ballon d’Or anjuran France Football untuk tahun 2020 telah dibatalkan kerana wabak yang melanda yang menyebabkan perubahan kepada jadual perlawanan dan peraturan dalam permainan bola sepak.

Liga dipendekkan dan ada liga dibatalkan terus, pertukaran lima pemain serta perubahan format kejohanan membuatkan France Football merasakan penilaian yang dibuat tidak akan adil.

Ditambah pula dengan petugas untuk memantau prestasi pemain yang terjejas kerana wabak akan memberi impak kepada prestij anugerah Ballon d’Or.

Ballon d’Or adalah anugerah berprestij bagi menghargai pemain tebaik dunia dan penilaian juga mestilah dibuat dengan sehabis baik dan adil.

Namun itu tidak menghalang untuk France Football bertukar arah dengan mencari France Football Dream Team yang pada awalnya menyenaraikan 110 pemain.

Seramai 140 wartawan dari seluruh dunia diberi tanggungjawab untuk mengundi 11 pemain terbaik daripada senarai 110 pemain yang terdiri dari pelbagai posisi.

11 pemain terakhir dari setiap posisi akan berada dalam France Football Dream Team yang akan membentuk Formasi 3-4-3. Senarai ini terdiri daripada:

Penjaga Gol – 10 Orang

Right-back – 10 Orang

Left-back – 10 Orang

Centre-back – 10 Orang

Defensive midfielders – 20 Orang

Offensive midfielders – 20 Orang

Left-Winger – 10 Orang

Right-Winger – 10 Orang

Centre Forward – 10 Orang

Selepas proses Undian berakhir inilah senarai 11 pemain yang terdiri daripada penjaga gol, 3 pertahanan, 4 pemain tengah dan 3 penyerang.

Lev Yashin – Penjaga Gol

Lev Ivanovich Yashin merupakan penjaga gol go lterbaik sepanjang zaman dan jika ada senarai pemain terbaik sudah pasti nama Lev Yahshin terisi untuk menjaga gawang dan jarang pemain lain dipilih.

Lev Yashin merupakan penjaga gol Soviet Union dari tahun 1954 sehingga 1967, dan di peringkat kelab, Yashin hanya bermain untuk satu kelab – Dynamo Moscow selama 20 tahun sejak 1950.

Ikon negara Russia yang mendapat jolokan “Black Spider” atau “Black Panther” ini merupakan satu-satunya penjaga gol yang memenangi anugerah berprestij yang mengiktiraf pemain bola sepak terbaik dunia, Ballon d’Or.

Sepanjang kariernya Lev Yashin atau “Black Spider” atau “Black Panther” telah menyelamatkan 151 penalti dan menyelamatkan gawang sebanyak 270 perlawanan tanpa bolos.

Lev Yashin memenangi anugerah Ballon d’Or pada tahun 1963 dan sempena kehebatan dan mengenang jasa beliau France Football telah memperkenal anugerah Yashin Trophy.

Yashin Trophy merupakan anugerah baru yang diperkenal di Anugerah Ballon d’Or 2019 yang berlangsung di di Theatre du Chatelet, Paris, Perancis khas untuk penjaga gol yang sering dianak tirikan.

Alisson Becker yang merupakan penjaga gol pasukan paling hebat di muka bumi ini, Liverpool telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain pertama yang memenangi anugerah Yashin Trophy.

Cafu – Pertahanan

Marcos Evangelista de Morais atau Cafu jauh sangat bunyinya kan? Cafu boleh dikatakan sebagai pemain yang menggunakan enjin keretapi di mana dia sering kali turun naik di bahagian tepi padang tanpa penat.

Cafu menguasai posisi pertahanan kanan Brazil selama 16 tahun dari tahun 1990 sehingga 2006, sebelum tempatnya diambil alih oleh Dani Alves.

Cafu telah membuat 142 penampilan bersama Brazil dan menjadi pemain Brazil paling banyak membuat penampilan sepanjang zaman.

Cafu telah mewakili negaranya di empat kejohanan Piala Dunia antara tahun 1994 dan 2006 dan bermain di 3 perlawanan akhir dan muncul juara Piala Dunia 1994 dan 2002.

Setakat ini, Cafu menjadi satu-satunya pemain yang bermain di 3 final Piala Dunia.

Paolo Maldini – Pertahanan

Kalau tak kenal Paolo Maldini, maksudnya seseorang itu hanya mula menonton bola sepak selepas era Abramovich atau tahun 2019 dan Paolo Cesare Maldini merupakan nama penuhnya di IC Itali.

Paolo Maldini merupakan seorang pemain pertahanan legenda untuk kelab AC Milan dan Itali. Maldini merupakan pemain yang setia atau One Man Club yang setia bersama AC Milan hingga hujung nyawa.

Bersama AC Milan, Maldini telah berkhidmat selama 24 tahun dengan lebih 650 perlawanan! Bersama Itali pula Maldini telah menabur bakti selama 14 tahun dari 1988 sehingga 2002.

Pertahanan kental ini mewarisi bakat bapanya yang juga bekas pemain AC Milan dan Itali, Cesare Maldini. Antara detik terbaik Maldini ialah memenangi Serie A pada musim 1991-92 tanpa kalah di bawah bimbingan pewaris Arigo Saachi, Fabio Capello.

Franz Beckenbauer – Pertahanan

Franz Anton Beckenbauer dari Jerman adalah antara pemain pertahanan terbaik di zamannya dan juga sepanjang zaman sehingga tercipta Lagu Zaman oleh allahyarham SM Salim.

Sepanjang kariernya, Franz Beckenbauer telah digelar sebagai Der Kaiser “The Emperor” atau Maharaja kerana gaya yang elegean, dominan serta sifat kepimpinan beliau di padang.

Beckenbauer juga merupakan pemain yang telah memberi sumbangan agak besar dalam dunia bola sepak apabila telah mempopularkan fungsi moden sweeper atau libero dalam taktikal bola sepak.

Pencapaian agungnya ialah memenangi Piala Dunia sebagai pemain pada tahun 1974, dan sebagai pengurus pada tahun 1990 bersama pasukan Jerman Barat.

Pele – Pemain Tengah

Jika di Malaysia Raja Bola ialah Ghani Minhat, maka di seluruh dunia gelaran Raja Bola diberikan kepada lagenda Brazil, Pele, pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman.

Empunya nama Edson Arantes do Nascimento bermain di kejohanan bola sepak paling agun di dunia iaitu Piala Dunia pertamanya pada tahun 1958, ketika usianya 17 tahun.

Pada tahun tersebut juga Pele mencipta rekod pemain paling muda yang bermain di perlawanan akhir ketika berusia 17 tahun, 249 hari – rekod yang kekal sehingga hari ini.

Apa yang membuatkan Pele istimewa berbanding pemain lain, dia telah memenangi tiga Piala Dunia pada eidsi 1958, 1962, 1970 dan sudah pasti bersama pasukan Brazil.

Ini merupakan satu lagi rekod yang masih belum dicapai mana-man sampai sekarang. Pele bersara daripada bola sepak pada tahun 1977, selepas menjaringkan 77 gol buat negaranya.

Xavi – Pemain Tengah

Xavi Hernandez merupakan seorang pemain tengah cukup disegani dalam bola sepak dunia di era bola sepak moden dengan kelicikan serta ketajaman akal yang dimiliki oleh beliau.

Bersama Barcelona, beliau telah memenangi kesemua gelaran dan pertandingan yang disertai – La Liga, Copa Del Rey, Liga Juara-juara, Piala Super Eropah dan juga Kejohanan Kelab-kelab Dunia FIFA.

Bersama Sepanyol pula Xavi telah merasai bagaimana perasaan menjulang Piala Dunia dan juga Kejohanan Eropah.

Di atas padang, Xavi bertindak sebagai pencetus dan penghubung kepada gerakan-gerakan serangan yang selalunya akan menghasilkan gol.

Teknik hantaran yang tepat, jitu dan di samping gerakan tanpa bola yang sering memudahkan rakan menghantar bola menjadikan Xavi muncul sebagai antara pemain tengah terbaik pada eranya.

Lothar Matthaus – Pemain Tengah

Lothar Herbert Matthäus merupakan seorang pengurus dan bekas pemain bola sepak Jerman dan namanya menjadi sebutan antara pemain bola sepak terbaik dunia terutamnya di bahagian tengah.

Selepas mengepalai Jerman Barat selaku ketua pasukan menjulang Piala Dunia 1990, Lothar Matthaus telah dinobatkan sebagai European Footballer of the Year.

Pada tahun 1991 beliau telah dinamakan sebagai FIFA World Player of the Year dan sehingga kini kekal sebagai satu-satunya pemain Jerman menerima anugerah ini. Pertama dan terakhir.

Matthaus memegang rekod bermain di lima Piala Dunia 1982, 1986, 1990, 1994 dan 1998 untuk outfield player sehinggalah Rafael Marguez dari Mexico menyamakan rekod itu pada Piala Dunia 2018.

Matthaus bersara dengan rekod penampilan terbanyak untuk Jerman dengan 150 penampilan (83 penampilan bersama Jerman Barat) selama 20 tahun dan telah menjaring 23 gol.

Diego Maradona – Pemain Tengah

Sebelum hadirnya Lionel Messi, dunia mengenali Argentina kerana pemain rendang ini, yang penuh kontroversi dan sering menghiburkan dengan kelincahan beliau, siapa lagi kalau bukan – Diego Maradona.

Maradona telah bermain dalam empat edisi Piala Dunia dengan 1986 adalah kempen yang paling berjaya di mana dia telah mengetuai pasukannya memenangi piala berprestij tersebut di Mexico.

Perlawanan yang menjadi tumpuan adalah ketika separuh akhir di mana Maradona telah menjaringkan dua gol, dan kedua-dua gol tersebut menjadi sebutan sehingga ke hari ini kerana sebab yang berbeza.

Gol pertama Maradona dijaringkan dengan menggunakan tangan sehingga digelar ‘Hand of God’, manakala gol kedua pula diundi gol terbaik sepanjang abad di fifa.com, di mana Maradona telah menggelecek 5 pertahanan England sebelum menjaringkan gol.

Maradona menerima anugerah bola emas selaku pemain terbaik kejohanan pada tahun itu. Detik terakhir pentas bola sepak antarabangsanya ialah pada Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat di mana Maradona telah disahkan positif dadah dan disingkirkan daripada pasukan.

Lionel Messi – Penyerang

Lionel Messi adalah salah seorang pemain daripada dua orang pemain yang masih aktif bermain berada dalam senarai France Football Dream Team, dah boleh dianggap legenda la kan?

Walaupun masih aktif bermain Lionel Messi sudah pun berada sebaris dengan para legenda bola sepak sepanjang zaman dengan menyambung legasi hebat Diego Maradona.

Jika Maradona lebih dikenali dengan kecemerlangan bersama Argentina, Lione Messi pula terkenal dengan kejayaannya bersama Barcelona yang menang hampir semua piala yang wujud.

Di bawa ke Barcelona pada usia 12 tahun, Leo Messi kini adalah pemain terbaik dunia dengan enam Ballon D’Or, di samping mencipta rekod demi rekod bersama kelab Catalan tersebut.

Rasanya tak perlu pekenal dah Messi. Kalau kau tak kenal, sila pergi menyanyi dengan Aiman Tino.

Ronaldo Nazario – Penyerang

Ronaldo Luís Nazário de Lima atau Ronaldo Original sekarang dikenali sebagai pemilik bisnes dari Brazil, Presiden kelab La Liga, Real Valladolid dan seorang pesara bola sepak.

Kehebatan Ronaldo sebagai pemain penyerang menyebabkan beliau mendapat jolokan nama O Fenômeno “The Phenomenon” atau fenomena dan dinobatkan sebagai penyerang terbaik yang tiada galang ganti.

Dalam mana-mana senarai pemain terbaik sepanjang zaman untuk penyerang nama Ronaldo pasti mengisi tempat itu dan jarang tidak terpilih.

Walaupun karier bola sepak beliau mengalami turun naik ekoran kecederaan yang teruk namun namanya tidak pernah jatuh sesuai benar dengan gelaran The Phenomenon.

Sepanjang kariernya Ronaldo telah dua kali dipilih sebagai pemain terbaik dunia dengan menjulan anugerah Ballon d’Or.

Bersama kelab Ronaldo telah menjaringkan 352 dalam 518 penampilan dan bersama Brazil 62 gol dijaringkan dalam 98 penampilan.

Kau bayangkan kalau, Ronaldo tidak cedera teruk berkali-kali macam mana pergi rekod beliau. Tu pun boleh menang dua kali pemain terbaik dunia.

Cristiano Ronaldo – Penyerang

Cristiano Ronaldo stsu Ronaldo Spicy bintang dari Portugal yang merupakan seorang lagi pemain yang masih aktif bermain tetapi sudah layak berada sebaris dalam senarai pemain bola sepak terbaik dunia.

Sangat cemerlang kariernya bersama kelab apabila menjadi satu-satunya pemain menjaringkan 50 gol di tiga liga berbeza iaitu Premier League, La Liga dan Serie.

Ronaldo menyertai Manchester United pada 2003 dari Sporting dan menjadi pemain Portugal pertama menyertai pasukan Setan Merah dengan yuran perpindahan £12.24 juta sekaligus menjadi pemain muda paling mahal dalam sejarah bola sepak Inggeris ketika itu.

Selepas itu Ronaldo menyertai Real Madrid dengan rekod perpindahan dunia dan merangkul pelbagai kejuaraan termasuklah yang paling diingati hatrik Champions League.

Meneruskan sisa kariernya bersama Juventus, Ronaldo masih lagi tajam dengan deretan gol dan pelbagai rekod lagi telah dicipta.

Bersama Portugal, Ronaldo tidak secemerlang lagenda lain mendakap Piala Dunia namun Ronaldo telah membawa Portugal menjulang trofi EURO buat pertama kali.

Kini Ronaldo menanti detik untuk menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman peringkat antarabangsa yang dipegang oleh pemain Iran. Ali Daei.

France Football Dream Team

Dengan undian daripada 140 wartawan seluruh dunia lantikan France Football maka lengkaplah kesebelasan utama France Football Dream Team dengan formasi 3-4-3

Selain itu France Football juga telah mengeluarkan senarai kesebelasan utama skuad kedua dan ketiga daripada 110 orang pemain tersenarai yang masih mengekalkan formasi 3-4-3.

France Football Dream Team – Skuad Kedua

Penjaga Gol – Gianluigi Buffon

Pertahanan – Franco Baresi, Carlos Alberto, Roberto Carlos

Tengah – Frank Rijkaard, Andrea Pirlo, Zinedine Zidane, Alfredo Di Stefano

Penyerang – Ronaldinho, Johan Cryuff, Garrincha

France Football Dream Team – Skuad Ketiga

Penjaga Gol – Manuel Neuer

Pertahanan – Paul Breitner, Sergio Ramos, Philip Lahm

Tengah – Andrea Iniesta, Didi, Johan Neeskens, Michel Platini

Penyerang – Thierry Henry, Marco Van Basten, George Best

BACA:  Adebayor: Dengan Bertanya Khabar Sahaja Nescaya Rosicky Akan Cedera
Share on facebook
Share on twitter