Ketahui Mengapa Jejaka K-Pop Ini Enggan Berkahwin Buat Masa Sekarang

Siapa yang tidak kenal pemain Tottenham Hotspurs bermata sepet, Son-Heung Min. Pemain antarabangsa Korea Selatan ini telah membuktikan beliau tergolong antara penyerang paling berbisa dalam Liga Perdana Inggeris ketika ini.

Sejak menyertai Spurs dari Bayern Leverkusen pada tahun 2015, Son berjaya membuktikan pemain Asia juga mampu berjaya dalam liga paling mencabar di dunia.

Keperibadian Son menyebabkan ramai gadis K-POP menaruh harapan untuk menjadi peneman hidup Son

Musim ini menyaksikan Son berada pada tahap terbaik sepanjang kariernya. Beliau berjaya menjaringkan 11 gol dari 24 perlawanan dan turut mencipta 5 assists untuk rakan-rakanya menjaringkan gol.

Statistik tersebut mungkin lebih tinggi jika beliau tidak terlibat dalam Sukan Asia 2018 dan Piala Asia 2019 yang menyebabkan Son terlepas beberapa perlawanan.

Kita mungkin sudah mengetahui kehebatan Son beraksi di atas padang, tetapi umum tidak berapa terdedah dengan kisah peribadi pemain yang berasal dari tanah K-Pop ini.

Dalam satu temuramah bersama The Guardian, Son bercerita lebih lanjut mengenai perjalanan kariernya pada masa lepas dan turut menyentuh mengenai rancangan beliau pada masa hadapan.

Son tidak akan berkahwin buat masa sekarang. Tak takut air naik kepala ke ?

Son berkata beliau tidak akan berkahwin selagi beliau bergelar pemain profesional atas nasihat bapanya.

Tambah Son lagi, apabila seseorang mendirikan rumah tangga, fokus lelaki tersebut akan beralih ke arah keluarga, isteri dan anak-anak. Disebabkan perkara tersebut, bapa Son meminta anaknya untuk fokus terhadap bola sepak dahulu dan menunggu sehingga karier bola sepaknya berakhir dahulu sebelum berumah tangga.

“Ayah saya berkata demikian dan saya bersetuju dengan pendapat beliau.”

“Apabila anda berkahwin, perkara paling utama adalah keluarga, isteri dan anak-anak dan selepas itu barulah bola sepak.”

“Saya mahu memastikan ketika saya bermain bola sepak pada tahap tertinggi, bola sepak adalah perkara paling utama. Anda tidak tahu berapa lama karier bola sepak anda akan bertahan.”

“Apabila saya bersara atau berumur 34 atau 35 tahun, saya masih lagi boleh mendirikan rumah tangga untuk satu tempoh yang lama.”

Personaliti Son yang sentiasa ceria menyebabkan beliau diminati ramai, khususnya peminat bola sepak dari benua Asia.

Berikutan kejayaan beliau membantu Korea Selatan memenangi pingat emas dalam Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Indonesia tahun lepas, Son telah dikecualikan dari menyertai khidmat negara selama 2 tahun.

Kejayaan beliau memenangi pingat emas menceriakan seluruh rakyat Korea Selatan, termasuk peminat Spurs yang tidak perlu lagi risau mengenai risiko kehilangan Son.

Kepada Son, teruskan bekerja keras demi mengharumkan peminat anda di benua Asia.

Asia untuk Asia !!

BACA:  Trippier: Kyle Walker Bek Kanan Terbaik Dunia