Kevin De Bruyne Kecewa Pemain Sehebat Pogba Bakal Terlepas Derby Manchester

Pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne menyatakan kekecewaan beliau selepas mengetahui Paul Pogba tidak akan beraksi dalam pertemuan di antara dua pasukan Manchester hujung minggu ini.

De Bruyne berkata kekecewaan beliau adalah kerana dirinya mahu beraksi menentang pasukan lawan yang dibarisi pemain terbaik mereka.

Pogba tidak akan beraksi dalam pertemuan getir hujung minggu ini kerana menerima kad merah dalam perlawanan terakhir Manchester United menentang Arsenal selepas melakukan terjahan keras ke atas Hector Bellerin.

Pogba bakal memulakan penggantungan 3 perlawanan yang harus dijalani beliau bermula dengan perlawanan Manchester City diikuti AFC Bournemouth dan akhir sekali West Bromwich Albion.

Menariknya, Pogba dalam satu temu ramah yang diadakan minggu lepas berkata beliau berharap pemain utama Manchester City mengalami kecederaan untuk membantu pasukannya meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Harap-harap ada pemain City cedera

Akan tetapi De Bruyne menolak hukum ‘karma’ berlaku terhadap Pogba kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Beliau tidak mempercayai hukum ‘karma’ tetapi menegaskan yang beliau tidak akan sekali-kali berharap pemain lain mendapat kecederaan, walaupun dari pihak lawan.

“Saya tidak mempercayai hukum karma. Saya seorang yang suka berterus-terang. Saya tidak kisah jika orang lain mempercayai perkara ini. Semua pihak berhak mempunyai pendapat. Saya tidak akan sekali-kali berharap pemain lain mendapat kecederaan. Ini adalah satu pertandingan, dan kami mahu bermain menentang pasukan terbaik dan juga pemain terbaik.’

“Saya tidak kisah apa yang diperkatakan Pogba. Beliau boleh berkata apa sahaja yang beliau mahukan. Kami hanya mahu fokus tentang perkara yang kami lakukakan. Pogba adalah pemain yang berpengaruh. Saya mengenalinya serba sedikit. Beliau seorang pemain yang sukar dipercayai kebolehannya. Pogba menerima kad merah dan itulah bolasepak, akan ada kecederaan dan penggantungan pemain.”

Andainya Manchester City berjaya mengalahkan jirannya hujung minggu ini, mereka bakal mempunyai kelebihan 11 mata di hadapan pasukan tangga kedua liga. De Bruyne mahu rakan sepasukannya menggunakan kesempatan ini untuk sebaik mungkin dan menggesa pemain lain mengekalkan rekod cemerlang mereka musim ini.

“Ini bermakna kami boleh mendapatkan hampir 4 kelebihan perlawanan andainya menang menentang Manchester United. Ianya jarak yang bagus tetapi tidak membawa sebarang makna yang penting. Bolasepak boleh berubah dengan pantas. Jadual sibuk bagi dua bulan mampu mengubah sesuatu tetapi jika dilihat prestasi kami ketika ini, pasukan kami dalam landasan yang bagus dan harus mengekalkannya.”

“United adalah pasukan terbesar dalam negara ini. Mereka mempunyai pasukan yang bagus, dan turut mahu memenangi kejuaraan. Mereka membelanjakan wang yang banyak sama seperti yang dilakukan kelab besar yang lain. Mereka mahu memenangi pertemuan hujung minggu ini dan kami juga sama seperti mereka. Harapan saya perlawanan itu bakal berlangsung dengan baik.”

“Kami tidak akan mengubah corak permainan pasukan dan kami akan melakukan perkara yang kami pandai lakukan. Ini bakal memberikan peluang terbaik kepada kami untuk memenangi perlawanan tersebut.”

De Bruyne tidak akan berangkat ke Ukraine dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donestk pertengahan minggu ini kerana harus menjalani penggantungan perlawanan. Perlawanan ini tidak memberikan signifikan yang besar kepada The Citizens kerana mereka sudah mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya selaku juara kumpulan.

Baca Juga

Baca Juga