Kevin Ramalingam : Jadual Liga Malaysia Yang Padat Telah Dipersetujui Semua

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, menegaskan jadual Liga Malaysia yang diguna pakai sekarang telah dipersetujui semua pihak termasuk jurulatih.

Bagaimanapun, katanya isu jadual ini timbul apabila ada sesetengah jurulatih yang mengambil alih pasukan di pertengahan liga.

“Kami telah bagi jadual ini pada 7 hingga 9 Januari 2016 lagi,” katanya ketika memberi taklimat kepada media mengenai isu kepadatan jadual pertandingan Liga Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Kevin menjelaskan jumlah perlawanan tidak pernah berubah sejak 2009, selepas ia dimeriahkan dengan 12 pasukan.

“Satu fakta yang amat penting yang kita perlu ingat ialah jumlah perlawanan tidak pernah berubah. Kalau nak kata jadual liga kita sekarang ini lebih padat lagi sebab mereka bermain lebih banyak perlawanan, itu tidak betul. Ia hanya satu tanggapan yang salah.

“Sekarang ini, pasukan dalam Liga Super atau Liga Perdana misalnya, jika mara ke final Piala FA dan Piala Malaysia, mereka akan cuma bermain 40 kali sahaja. Ia paling maksimum dalam liga domestik.

“Selain daripada itu (contohnya Piala AFC), ia di luar daripada kawalan kami, di luar organisasi kami. Selain Kelantan pada 2012 ataupun pasukan lain pada tahun berikutnya, kebanyakan pasukan bermain tidak sampai 40 (perlawanan), ia hanya sekitar 30 hingga 32 kali sahaja.

“Saya nak mengatakan bahawa banyak pasukan dalam liga kita yang cuma bermain tahun ini 23 kali sahaja. Kenapa 23 kali? Pulau Pinang (contoh), bermain 22 perlawanan liga, sekali main Piala FA mereka sudah keluar dan tidak layak untuk ke Piala Malaysia, betul? Jadi, mereka akan bermain sepanjang musim ini hanya 23 kali sahaja.

“Kita sedang mengusahakan liga yang profesional, kita nak capai slot Liga Juara-Juara Asia, nak menaikkan ranking, menyumbang ke agenda kebangsaaan dengan melahirkan pemain-pemain yang lebih mantap dari segi teknikal.

“Tetapi kita hanya berpuas hati dengan satu liga yang bermain sebanyak 23 kali, 26 kali setahun? Adakah angka itu memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan kerjaya seorang pemain?”

Kevin turut menjelaskan liga dan Piala Malaysia dijalankan serentak bagi mengelak rehat panjang kepada pasukan yang tidak layak ke piala berprestij itu.

Katanya, jika sebaliknya, kesan buruk turutamanya dari segi kecergasaan dan isu gaji pastinya akan timbul jika pemain-pemain lama tidak berkhidmat untuk pasukan.

“Kenapa kita gabungkan liga dan Piala Malaysia? Kalau tidak gabungkan, musim Pulau Pinang sudah tamat dan akan berehat selama enam bulan.

“Bukan sahaja Pulau Pinang, tujuh lagi pasukan bernasib yang sama. Apabila tidak bermain lama bukan ke ada masalah pembayaran gaji? Apabila tiada perlawanan, pasukan mengambil ringan tentang perkara itu,” jelasnya.

Bekas CEO The Red Warriors Sdn Bhd itu turut menasihati sesetengah pasukan agar memperbesarkan skuad, sesuai dengan kepadatan jadual.

Dia berkata, sebagai jurulatih mereka juga perlu pandai membuat pertukaran pemain mengikut kesesuaian perlawanan dan turut memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda.

Sumber : StadiumAstro

Baca Juga

Baca Juga