Khabib Dedah Alasan Mengapa Beliau Tidak Mahu Menyakiti Gaethje Ketika Perlawanan Terakhirnya

Buat pertama kalinya, Khabib Nurmagomedov telah mendedahkan tentang mengapa beliau lebih memilih untuk melakukan triangle choke berbanding arm bar ketika aksi perlawanan bertemu Justin Gaethje tahun lalu.

Khabib ketika pertarungan terakhirnya dalam UFC, beliau telah bertarung dengan Justin Gaethje, dan selepas berjaya mencatatkan kemenangan, beliau telah mengumumkan persaraannya.

Petarung dari Rusia itu mengumumkan persaraannya sebalik kejayaan beliau mempertahankan kejuaraan lightweight miliknya di acara UFC 254.

Sebenarnya ramai yang memuji Khabib tentang bagaimana cara beliau mengakhiri pertarungannya bertemu Gaethje ketika itu.

Berbanding mematahkan tangan lawannya dari Amerika itu dengan menggunakan gerakan submission kegemaran mendiang ayahnya, beliau lebih memilih untuk menggunakan triangle choke sebagai gerakan penyudahnya ketika itu.

Tujuan utama Khabib melakukan hal tersebut sebenarnya adalah kerana beliau tidak mahu menyakiti Gaethje dihadapan kedua orang tua lawannya itu.

Ketika sidang media menjelang kejohanan Eagle FC 37 tidak lama lagi, petarung berusia 32 tahun itu telah bercakap tentang lawan paling sukar pernah beliau hadapi.

Beliau turut menjelaskan tentang apa yang ada di fikirannya setiap kali bertarung di atas gelanggang.

“Saya boleh katakan dua orang ini, Justin Gaethje dan Michael Johnson.”

Jelas Khabib kepada RT Sport.

“Ketika saya mengunci tangan Johnson, dan saya lakukan Kimura… Saya sebenarnya boleh mematahkan tangan dia. Saya lebih berhati-hati menggunakan teknik itu, kerana jika kamu patahkan tangan seseorang dengan cara seperti itu, dia tak akan kembali baik seperti biasa lagi.”

“Jadi saya sangat berhati-hati, pulas tangan dia dengan berhati-hati dan saya mintak dia untuk mengalah saja.”

“Seperti dengan Justin… Mula-mula saya cari tangan dia dulu.”

“Dan selepas itu saya tukar kepada triangle choke… Saya sedar, dia tak akan menyerah dan saya tak mahu patahkan tangan dia, jadi sebab itu saya pilih triangle choke.”

“Ibu bapa dia ada situ jadi penonton, ayah dia, ibu dia… Ada di barisan paling hadapan.”

“Rakaman tak akan tunjukkan itu, tapi ketika saya masuk ke gelanggang, saya boleh nampak mereka duduk di situ dan mereka juga pandang saya.”

“Jadi kedua-dua mereka memang saya tak sanggup untuk cederakan mereka terlalu teruk.”

Kebanyakan peminat mungkin sudah pernah dengar kisah tersebut, kerana bekas rakan sepasukan Khabib, Daniel Cormier sendiri pernah mendedahkan hal itu kepada umum sebelum ini.

“Dia (Khabib) beritahu saya yang ketika dia menonton temu bual Justin sebelum pertarungan mereka, Justin sudah menegaskan yang dia tidak akan menyerah.”

“Jadi ketika dia mahu melakukan submission, dia jelaskan yang itu merupakan gerakan kesukaan mendiang ayahnya, pegang lengan lawan, masuk ke posisi yang tepat, lakukan armbar dan kemudian kunci.”

“Ketika dia sudah hampir untuk kunci, dan sudah mahu lakukan armbar, tapi dia teringat Justin pernah cakap yang dia tak akan menyerah, dan Khabib pula tak mahu menyakiti Justin di hadapan orang tuanya ketika itu.”

“Jadi dia terus lakukan triangle dan hanya tidurkan dia dengan cara yang tidak seteruk armbar.”

DC sendiri turut mendedahkan hal yang sama dengan menyatakan:

“Saya bersumpah, dia juga katakan hal yang sama pada saya.”

“Dia kata dia tak mahu cederakan Justin di hadapan orang tuanya, dia juga kata jika dia melakukan triangle, Justin hanya akan pening dan jika dia tak sedarkan diri, dia akan bangun semula dan dia akan kembali ok.”

“Itulah apa yang dia katakan kepada saya, gila bukan?”

“Dia tak mahu lakukan armbar, kerana jika Justin tidak mahu mengalah, dia tentu terpaksa mematahkan tangan Justin, dan dia tak mahu lakukan itu di hadapan ibu dan bapa Justin.”

Khabib cemerlang menewaskan Gaethje dalam perlawanan untuk mempertahankan sabuk kejuaraan Lightweight dunia UFC miliknya dan berjaya mengekalkan rekod bersih 29 kemenangan tanpa kalah.

Sebaik tamat perlawanan, Khabib dilihat bersujud syukur atas kemenangannya dalam perlawanan tersebut dan beliau turut mendedikasikan kemenangan itu untuk arwah ayahnya yang baru sahaja meninggal dunia beberapa bulan sebelum itu.

Khabib jelas tidak mampu menahan kesedihan kerana itu adalah perlawanan pertamanya tanpa kelibat ayahnya di sisi.

Khabib Nurmagomedov turut mengumumkan kepada semua bahawa perlawanan tersebut merupakan perlawanan terakhir untuknya dengan menyatakan:

“Alhamdulillah tuhan memberikan saya segalanya. Terima kasih kepada mereka ini, mereka ini telah bersama saya dan ayah saya selama lebih 20 tahun. Terima kasih kepada semua team saya, pada hari ini saya mahu mengumumkan bahawa ini adalah pertarungan terakhir saya.”

“Dan tidak mungkin saya akan ke sini dengan tiada ayah saya, ianya merupakan pertama kali. Selepas apa yang berlaku ke atas ayah saya, dan ketika UFC menghubungi saya tentang Justin, saya bercakap dengan ibu saya pada hari itu, adakah saya patut berlawan tanpa ayah saya.”

“Saya juga berjanji kepada ibu saya bahawa ini adalah perlawanan terakhir saya, dan bila saya sudah melafazkannya saya harus penuhinya.”

Khabib juga turut mengucapkan terima kasih kepada Justin dan memberi kata-kata semangat kepada lawannya itu.

“Terima kasih Justin, saya masih ingat pada tahun 2016 kamu banyak membantu saya. Saya tahu kamu orang yang hebat, saya tahu macam mana kau layan orang sekeliling kamu, saya tahu banyak perkara tentang kamu.”

“Rapatlah dengan kedua orang tua kamu, kerana satu hari pasti akan berlaku sesuatu, kita tidak akan tahu apa akan berlaku esok, kita tidak akan tahu, terima kasih semua.”

Baca Juga

Baca Juga