Khabib Dedah Alasan Mengapa Cristiano Ronaldo Tinggalkan Juventus Dan Sertai United

Khabib Nurmagomedov mendedahkan alasan mengapa Cristiano Ronaldo meninggalkan Juventus dan menyertai Manchester United pada musim panas ini.

Beliau menyatakan yang Cristiano Ronaldo meninggalkan Juventus kerana bintang Portugal itu sudah merasa bosan di Turin.

Legenda UFC itu tampil menceritakan tentang mengapa Ronaldo mengakhiri kariernya di Itali dan Khabib juga sebelum ini turut mendedahkan yang beliau sudah tahu bintang Portugal itu akan ke Old Trafford pada musim panas ini.

Ronaldo sendiri sebelum ini mendedahkan kepada pihak kelab tentang hasratnya mahu meninggalkan kelab dan berharap agar ada pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya sebelum jendela perpindahan ditutup.

Beliau kemudiannya telah dikaitkan dengan bakal menyertai Manchester City, dan membuatkan kem United bergegar dengan berita tersebut.

Khabib Ronaldo
Khabib sememangnya sahabat karib Cristiano Ronaldo

United kemudiannya menghubungi Mendes untuk berunding membawa Ronaldo kembali ke Old Trafford dan rundingan mereka berjaya disempurnakan dalam masa 24 jam sahaja.

Sepanjang kariernya di Turin, Ronaldo berjaya menjaringkan 101 gol dari 134 penampilan untuk Juventus, dan turut berjaya menjulang dua kali kejuaraan Serie A.

Menurut bekas Juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov, yang juga merupakan sahabat karib Ronaldo, beliau menjelaskan yang pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu sebenarnya bosan dengan bola sepak Itali.

“Saya tak mahu dedah mana-mana perbualan peribadi.. Ronaldo kata dia bosan di Itali dan mahu kembali ke England.”

Jelas Khabib kepada Sport24.

“Saya juga tidak begitu minat dengan bola sepak Itali, tapi bila tengok English Premier League saya tak akan tukar siaran. Mana-mana pasukan pun dari sana menarik untuk ditonton.”

Ronaldo juga sebelum ini dikatakan berpotensi untuk ditandatangani oleh Paris Saint Germain, yang mana seteru utamanya, Lionel Messi kini beraksi di sana selepas meninggalkan Barcelona pada musim panas baru-baru ini.

Kedua-dua maharaja bola sepak itu senantiasa akan dibanding dan diperdebatkan sehingga mereka menggantung bootsnya satu hari nanti.

Khabib yang juga merupakan peminat setia Real Madrid turut terlibat dengan perdebatan tersebut, dan beliau jelas sekali memilih Ronaldo yang terbaik berbanding Messi.

“Cristiano Ronaldo sudah berada di puncak sejak 17 tahun lalu.”

“Pada tahun 2004, dia sudah beraksi di pentas perlawanan akhir pertandingan Eropah, dan sekarang pada tahun 2021 dia masih tak berhenti menjaringkan gol.”

“Tidak ada yang lebih hebat dari itu dalam dunia bola sepak… Saya rasa Messi berada di kemuncak dia selama 12 tahun, dan Cristiano 17 tahun.”

“Pada pandangan saya, Ronaldo lebih santai… Cristiano lebih hebat, itu apa saya rasa.”

“Messi merupakan salah seorang yang terhebat dalam sejarah. Tapi ketika bermain mereka sama, tapi dari segi karisma, Ronaldo lebih bagus.”

Minggu lalu, Khabib mendedahkan yang beliau sebenarnya sudah lama tahu bahawa Ronaldo akan kembali ke Old Trafford, namun beliau memilih untuk mendiamkan hal tersebut.

“Sebulan lalu, dia beritahu saya yang dia mahu berpindah ke Manchester United.”

Jelas Nurmagomedov kepada RT News di Moscow.

“Saya jangka rundingan ini akan berlaku. Saya fikir Manchester United lebih sesuai dengan dia berbanding Juventus. Bagi saya, perpindahan ini tak mengejutkan.”

Ronaldo kini sudah kembali ke Carrington untuk menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukannya, dan beliau juga sudah bertemu dengan pengurus handalan, Ole Gunnar Solskjaer.

Beliau berkemungkinan akan melakukan debut keduanya ketika aksi bertemu Newcastle United pada hujung minggu ini, dan ada laporan yang menyatakan bahawa pihak kelab mahu menyediakan acara khas sempena menyambut kepulangan semula beliau.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Cristiano Ronaldo Akhiri Kemarau Gol, Seterusnya Berjaya Bantu United Benam Brighton