Khabib Kritik Perlawanan Mayweather VS Logan Paul

Khabib Nurmagomedov telah menyatakan yang perlawanan antara Floyd Mayweather bertemu Logan Paul hanyalah kerana duit dan sama sekali tiada aspek kompetetif.

Mayweather yang ketika ini berusia 44 tahun telah bangkit dari persaraannya untuk menyahut cabaran dari YouTuber sensasi, Logan Paul.

Kedua-dua mereka telah bertarung dalam satu perlawanan pertunjukan yang telah dilangsungkan di The Hard Rock Stadium, Miami, Florida.

Legenda boxing itu jelas mendominasi lawannya dalam pertarungan yang berlangsung selama lapan pusingan itu, namun beliau gagal untuk menumbangkan Logan Paul.

Mayweather jelas sebenarnya mampu menumbangkan Logan lebih awal lagi namun mungkin kerana perlawanan pertunjukan, maka beliau dilihat banyak bagi muka pada Youtuber itu.

Terdapat juga satu rakaman yang memperlihatkan Money Mayweather sempat mendorong semula Logan yang sudah hampir tumbang supaya tidak rebah dan meneruskan perlawanan seperti biasa.

Namun apa yang pasti, kedua-dua Mayweather dan Logan telah memperoleh pulangan yang sangat lumayan selepas tamat perlawanan tersebut.

Memandangkan perlawanan tersebut lebih kepada pertarungan pertunjukan, maka tiada pemenang yang diumumkan, namun begitu, Jake Paul dengan muka temboknya telah membuat dakwaan yang abangnya adalah pemenang pertarungan tersebut.

Floyd Money Mayweather sebelum ini pernah ada sejarah panas dengan legenda UFC yang sudah bersara mengejut pada tahun lalu, Khabib Nurmagomedov.

Petarung Rusia yang kini berusia 32 tahun itu dilaporkan pernah ditawarkan $100 juta untuk bertarung dengan Mayweather selepas beliau bersara di acara UFC 254.

Khabib tanpa berselindung telah menghentam pertarungan Mayweather bertemu Logan Paul dengan menyatakan yang ia hanyalah senaman untuk mendapatkan duit dan tidak ada unsur persaingan sama sekali.

Bercakap menjelang Eagle FC 37, legenda UFC itu telah memberitahu wartawan bahawa:

“Apa lagi yang boleh dikatakan? Mereka tampil, buat duit. Ia jelas hanya kerana perniagaan.”

“Tidak ada aspek kompetetif langsung dalam hal itu, mereka bertarung dan buat duit, apa lagi yang boleh dikatakan?”

“Bagaimana saya rasa tentang itu? Mereka sendiri memutuskan untuk buat duit, adakah saya patut suruh mereka jangan buat duit dan jangan bertarung?”

“Mereka keluar, mereka buat persembahan dan dapat apa, puluhan juta?”

Presiden UFC, Dana White turut mengkritik perlawanan Mayweather bertemu Logan Paul yang dikatakan menghasilkan puluhan juta dengan menyatakan:

“Itu bukan perlawanan boxing,”

“Macam mana perlawanan seperti itu boleh ada pasaran dia? Betul ke diorang dapat jumlah tu?”

White ketika ini sememangnya mempunyai masalah dengan adik beradik Paul yang sering mencabar petarung dan bekas petarung UFC untuk berlawan dengan mereka.

Bahkan adik beradik Paul turut mengkritik dan menuduh Dana White memakan duit yang sepatutnya menjadi milik para petarung UFC.

Jake Paul menganggap petarung UFC merupakan atlet sukan yang menerima bayaran paling teruk di dunia dan ia berpunca dari ketidak adilan pimpinan organisasi tersebut.

Beberapa legenda UFC sepertinya termakan dengan kata-kata adik beradik Paul dan bersetuju yang organisasi MMA itu tidak membayar para petarung mereka dengan nilai yang sepatutnya.

Apa yang pasti, nilai yang disebutkan oleh adik beradik Paul adalah nilai pendapatan ketika mereka bertarung dengan nama-nama besar sahaja.

Ketika mereka bertarung dengan individu tidak terkenal, atau tiada pasaran, kedua-dua adik beradik Paul itu langsung tidak berani mendedahkan berapa mereka dapat dari pertarungan seperti itu.

Khabib secara rasminya mengumumkan persaraannya selepas kejayaan beliau menewaskan Justin Gaethje di acara UFC 254 pada Oktober tahun lalu.

Petarung dari Dagestan itu mencatatkan rekod 29 kemenangan tanpa kalah sepanjang kariernya di Octagon dan beliau dianggap antara legenda terhebat sepanjang zaman UFC.

Beliau melepaskan kejuaraan lightweight miliknya dan bersara dengan rekod tidak terkalahkan yang sungguh cemerlang dan luar biasa menakjubkan.

BACA:  Reaksi Khabib Nurmagomedov Melihat McGregor Lunyai Di Tangan Poirier