Khairy Tegur Kelemahan Program Pembangunan Pemain Muda FAM

SERDANG: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada Ahad menegur kelemahan sistem yang diguna pakai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam membangunkan prestasi pemain muda negara.

Beliau berkata program pembangunan pemain pelapis seperti Harimau Muda perlu dikaji semula bagi membolehkannya mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Mereka (FAM) perlu buat satu post-mortem dengan cepat tetapi bukan hanya melihat kepada jurulatih ataupun prestasi pemain dan pasukan Harimau Muda itu sendiri.

“Sebaliknya sistem pembangunan bagi pemain muda yang ada dalam FAM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Art of Speed’ di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, Ahad.

Beliau berkata prestasi buruk yang ditonjolkan pasukan bola sepak Bawah 23 negara tahun pada temasya Sukan SEA di Singapura merupakan satu contoh kelemahan dalam sistem FAM.

khairy
Khairy Jamaludin ; Menteri Belia dan Sukan

Khairy berkata kelemahan FAM itu juga dikhuatiri menjejaskan potensi pemain di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) jika mereka diserahkan kepada persatuan berkenaan.

“Hari ini kalau saya serahkan pemain PPBN kepada FAM, saya risau mereka tidak akan mencapai potensi mereka yang sebenar. FAM sebenarnya telah mengabaikan pembangunan sejak sekian lama.

“Waktu saya jadi timbalan presiden FAM dulu, saya cuba Projek Harimau Muda tapi saya sendiri tahu itu adalah pendekatan jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata sokongan daripada semua kelab serta persatuan negeri adalah penting bagi mencapai prestasi positif dalam pembangunan sukan bola sepak negara.

Sumber : Mstar Online 

Baca Juga

Baca Juga