Kisah Generasi Emas Scotland Kendalian Pengurus Bidan Terjun Alex Ferguson Di Piala Dunia 1986

Pada 10 September 1985, Mark Hughes memberikan gol pendahuluan buat Wales dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Scotland. Perlawanan yang diadakan di Ninian Park, Scotland itu adalah perlawanan terakhir kelayakan peringkat kumpulan bagi kedua-dua pasukan.

Wales memerlukan kemenangan, manakala Scotland hanya memerlukan seri untuk melangkah ke peringkat kelayakan seterusnya dari Zon Eropah. Gol tersebut hampir pasti memusnahkan impian Scotland untuk melayakkan diri ke Piala Dunia yang akan diadakan di Mexico pada musim panas berikutnya.

Namun pemain gantian, David Cooper memastikan Scotland tidak kecewa apabila menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil, selepas bola terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Wales pada minit ke-81 perlawanan.

Kejayaan mengikat Wales menghidupkan kembali peluang Scotland untuk menyeberangi atalantik, melalui perlawanan play-off.

Namun secara tiba-tiba pengurus Scotland, Jock Stein rebah di kawasan tepi padang. Pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan nyawa Stein namun ianya gagal.

Stein disahkan mengalami serangan jantung, meninggal dunia pada ketika itu dan dikebumikan di Glasgow tiga hari kemudian. Seperti meratapi kehilangan Jock Stein, masa depan Piala Dunia Scotland pada ketika itu turut terancam

Scotland perlukan hero

Kejayaan mengikat Wales belum lagi memastikan slot ke Piala Dunia buat Scotland. Mereka masih perlu berhadapan dengan perlawanan play-off menentang Scotland.

Pada ketika ini, Scotland memerlukan seorang hero untuk mengumpul kembali semangat pemain dan memimpin mereka ke Mexico. Alex Ferguson yang merupakan pembantu kepada Stein sepanjang kempen kelayakan bersetuju untuk dilantik selaku pengurus interim, dengan sasaran memastikan laluan Scotland ke Mexico menjadi kenyataan.

Ferguson mungkin boleh menarik nafas lega dengan skuad Scotland yang dimilikinya pada ketika itu. Sekurang-kurangnya Scotland pada era itu jauh lebih baik daripada Scotland yang ada pada hari ini.

Steve Archibald dan Graeme Souness adalah antara dua nama besar pada ketika itu, selain deretan pemain daripada Barcelona, Dundee United dan Aberdeen – semua kelab yang menguasai kejayaan di Eropah pada era tersebut.

Satu-satunya pemain bintang yang tidak berada di dalam skuad Ferguson adalah penyerang Celtic, Mo Johnston.

Ferguson tidak teragak-agak menggugurkan pemain itu dari pasukan selepas didapati melanggar peraturan pasukan berpoya-poya sehingga ke tengah malam – dan turut tidak terlepas dari ‘hairdryer’ pengurus legenda itu.

Walaupun dengan keputusan kontroversi menggugurkan Johnston, Scotland berjaya mencapai sasaran awal apabila mengesahkan tempat ke Mexico, setelah menewaskan Australia 2-0 secara agregat pada peringkat play-off.

Antara pemain yang memperkuatkan skuad Australia bimbingan Frank Arok dari Yugoslavia pada ketika itu adalah bekas pemain pertahanan Pahang, Alan Davidson dan penyerang Selangor, David Mitchell. Hanya beberapa tahun selepas perlawanan ini, kedua-dua pemain memilih untuk mewarnai Liga Malaysia.

“Club vs Country”

Sekembalinya dari Australia, di sinilah masalah mulai timbul untuk Ferguson dan pasukannya. Liga Perdana Scotland berhadapan dengan jadual perlawanan yang padat, menyebabkan beberapa pemain utama mengalami keletihan menuju pengakhiran musim.

Ia juga menimbulkan ‘pertikaian politikal’ di antara Scotland FA dan pihak kelab mengenai pemilihan pemain khusus untuk perlawanan persahabatan.

Kemuncak kepada masalah adalah apabila Celtic menghalang tiga pemain mereka menyertai kem latihan yang diadakan Ferguson, khusus untuk perlawanan persahabatan menentang Belanda.

Ini kerana melepaskan pemain tersebut, bermakna pemain-pemain ini terpaksa berhadapan sehingga empat perlawanan seminggu termasuk perlawanan penting menentang Motherwell.

Ferguson secara terbuka meradang dengan birokrasi pengurusan pasukan kebangsaan yang perlu dihadapinya.

Dan selepas keputusan 0-0 di Eindhoven, beliau mengesahkan tidak mahu meneruskan peranan tersebut secara tetap.

Kumpulan maut

Untuk Piala Dunia di Mexico, Scotland diundi dalam kumpulan yang disifatkan sebagai ‘Kumpulan Maut’. Bersama-sama Scotland adalah semifinalis Euro 84, Denmark.

Skuad Denmark 1986 adalah antara skuad terbaik yang pernah dimiliki negara itu selain daripada skuad 1992 yang mengejutkan ramai di Euro 1992.

Selain daripada Denmark, Kumpulan E turut menampilkan Jerman Barat yang jelas adalah salah sebuah pasukan pilihan dan juga Uruguay sebagai wakil dari Amerika Selatan.

Menjadikan keadaan lebih parah, Ferguson turut terpaksa melupakan khidmat Kenny Danglish selepas pemain itu mengalami kecederaan di lutut.

Kontroversi di Mexico

Menentang Denmark untuk perlawanan pertama peringkat kumpulan, Ferguson ada sebab untuk tidak berpuas hati selepas jaringan Roy Aitken dibatalkan pengadil. Semakan selepas itu, mendapati gol itu sah, namun VAR hanya hadir di Piala Dunia 34 tahun selepas itu.

Scotland tewas tipis 1-0, dan seperti yang diperkatakan tadi, Denmark adalah antara pasukan terbaik di Piala Dunia 1986. Realitinya skuad kendalian Ferguson bernasib baik tidak dibolosi lebih banyak dalam perlawanan ini.

Perlawanan kedua, Scotland perlu berhadapan Jerman – lawan yang dianggap paling sukar dalam Kumpulan E. Namun demikian, Gordon Strachan mengejutkan skuad Jerman dengan gol pendahulan.

Jerman Barat tidak perlu menunggu lama apabila berjaya menyamakan kedudukan lima minit selepas itu melalui Rudi Voller. Jerman Barat kemudiannya mendahului pada babak awal separuh masa kedua.

Walaupun Scotland cuba memberikan tekanan pada ketika itu, mereka gagal mecari gol yang dicari-cari, sekaligus tewas perlawanan kedua.

Pada peringkat ini, Scotland berada di ambang penyingkiran dan pulang awal dari Mexico sekiranya tewas kepada Uruguay pada perlawanan terakhir.

Perseteruan dengan pemain?

Peluang Scotland untuk mara lebih jauh juga tidak dibantu dengan perkhabaran Ferguson telah bersengketa dengan salah seorang penyerang utama, Frank McAvennie.

McAvennie adalah penyerang utama West Ham yang mengakhiri saingan Divisyen 1 musim 1985/86 di kedudukan ketiga. Ia adalah posisi terbaik West Ham di divisyen teratas Liga Inggeris pada hari ini.

Pada musim tersebut, McAvennie adalah penjaring kedua terbanyak liga dengan 26 gol. McAvennie berjaya membentuk gandingan yang mantap dengan pemain muda, Tony Cottee pada ketika itu yang turut menyumbang 20 gol.

Hanya Gary Lineker yang beraksi bersama Everton dan menamatkan saingan di kedudukan kedua liga pada musim tersebut menjaringkan lebih banyak gol dari McAvennie pada musim tersebut.

McAvennie tidak diturunkan walau dalam satu perlawanan pun sepanjang aksi di Mexico, dan beliau disertai oleh Graeme Souness dalam perlawanan penentuan menentang Uruguay.

Perlawanan terakhir menentang Uruguay tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 0-0, walaupun Uruguay beraksi dengan 10 pemain dari minit pertama perlawanan setelah Jose Batista diarahkan keluar padang kerana kekasaran.

Perlawanan tersebut dianggap antara perlawanan terkotor dalam sejarah Piala Dunia, apabila pemain Uruguay terang-terangan mengasari pemain Scotland serata padang.

Pengadil Joel Quiniou pula berada di dalam tekanan untuk tidak melayangkan lebih banyak kad merah kepada Scotland.

Penutup

Berikutan keputusan tersebut, Scotland tersingkir dari Piala Dunia di Mexico. Ia malang sekali kerana skuad Scotland pada ketika itu dianggap sebagai ‘generasi emas’ dan antara yang terbaik negara tersebut pernah hasilkan.

Alex Ferguson pula meninggalkan Scotland selepas Piala Dunia dan tidak pernah kembali kepada bola sepak antarabangsa.

Walaupun sebelum itu Ferguson amat dikenali kerana kejayaan bersama Aberdeen, namun pengurusan di peringkat antarabangsa mungkin membawa cabaran berlainan.

Ia juga mungkin terlalu awal untuk Ferguson mengendalikan sebuah pasukan kebangsaan pada ketika itu. Namun pengalaman tersebut cukup untuk membuatkan beliau serik, sebelum menyertai Manchester United dan membina legasi beliau tersendiri di Liga Perdana Inggeris.

Artikel asal: Grandstand KITA

BACA:  Kekasaran Paling Jahat Dalam Sejarah Bola Sepak