Kisah Bagaimana Rooney Merayu Kepada Xavi Supaya Berhenti Buli Manchester United

Wayne Rooney pernah merayu meraih simpati ketika skuad Manchester United dibuli teruk oleh Barcelona dalam aksi perlawanan akhir saingan Champions League pada tahun 2011.

Kira-kira sedekad yang lalu, legenda Manchester United itu terpaksa merayu-rayu kepada Xavi supaya berhenti membuli pasukannya.

Gergasi Catalan itu telah mempamerkan aksi permainan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika dalam aksi perlawanan yang dilangsungkan di Wembley itu.

Persembahan mantap para pemain Barcelona ketika itu berjaya membantu mereka untuk menewaskan Manchester United 3-1 seterusnya menjulang kejuaraan Champions League.

Kejayaan menewaskan setan merah itu juga merupakan kejayaan kedua Barca menjulang Piala kejuaraan Champions League dalam tempoh tiga musim terakhir ketika itu.

Persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain Barcelona ketika itu merupakan kemuncak kepada era kegemilangan Pep Guardiola sebagai pengurus kelab.

Wayne Rooney yang menjaringkan gol penyamaan untuk setan merah pada aksi babak pertama permainan pada ketika itu, telah merayu-rayu kepada Xavi supaya tidak membuli pasukannya.

Lebih kurang 10 minit sebelum wisel penamat dibunyikan, ketika itu lah Rooney sudah tidak sanggup melihat rakan sepasukannya dipermalukan oleh para pemain Barca yang mendominasi permain seperti bermain dengan skuad kanak-kanak bawah sembilan tahun.

“Sudah cukuplah, kamu sudah menang. Kamu boleh berhenti bermain seperti ini sekarang.”

Ia dikatakan ayat yang tidak habis-habis disebut oleh Rooney menurut Sergio Busquets dalam satu temu bualnya bersama The Guardian pada tahun 2020 lalu.

Pedro, Lionel Messi dan David Villa merupakan penjaring gol yang membantu Barcelona menewaskan Man Utd 3-1 pada ketika itu.

Perlawanan tersebut juga dianggap aksi tiki-taka terbaik pernah dimainkan oleh Barca dibawah kendalian Pep Guardiola.

Kehebatan mereka mengawal dan mendominasi permainan telah membuatkan Sir Alex Ferguson begitu bengang hingga menggenggam penumbuk menjelang lima minit sebelum perlawanan tamat.

Selepas tamat perlawanan tersebut, legenda terhebat sepanjang zaman United itu mengakui bahawa beliau tidak pernah melihat setan merah ditindas sedemikian rupa oleh pasukan lawan.

Beliau juga mengakui yang skuad Barcelona pada ketika itu merupakan pasukan paling sukar yang pernah dihadapi sepanjang karier gemilang beliau.

“Tidak ada sesiapa yang mampu membuatkan kami diaibkan seperti itu, tapi mereka memang berhak untuk menang.”

Jelas Ferguson kepada BBC Sport.

“Mereka bermain dengan cara yang betul dan mereka benar-benar menikmati bola sepak. Mereka mampu mengelirukan kamu dengan hantaran dan kami tak pernah benar-benar boleh mengawal Messi. Dan ramai orang katakan itu.”

“Selama saya bergelar pengurus, mereka adalah pasukan terhebat yang pernah saya hadapi.”

Ia jelas sekali bakal menjadi kenangan paling pahit untuk Rooney sebagai pemain Manchester United, dengan beliau terpaksa membuang egonya untuk merayu agar Barca tidak membuli rakan sepasukannya.

Skuad Barcelona pada ketika itu dianggap skuad terbaik mereka dan jika dibandingkan dengan skuad yang dimiliki oleh mereka pada hari ini, ia bagai langit dengan bumi.

Xavi sendiri kini sudah bersara sebagai pemain dan dipanggil untuk menjadi pengurus Barcelona bermula pada musim lalu.

Xavi Hernandez berjaya memimpin Barcelona untuk kembali menjadi antara pasukan terbaik Sepanyol, walau mereka sebelum itu bergelut dengan masalah prestasi.

Beliau pada ketika ini sangat diharapkan akan mampu membantu Barcelona untuk kembali menjadi kuasa besar bola sepak Eropah, dengan Xavi dilihat berpotensi untuk melakukan hal itu.

Sepanjang Barca dikendalikan oleh Xavi, mereka telah menunjukkan peningkatan yang sangat mendadak dan kerana itulah pihak kelab meletakkan harapan yang tinggi kepada legenda kelab itu.

BACA:  Rooney: Kane Akan Keluar Jika Spurs Gagal Menangi Trofi Dalam Masa Terdekat