Kisah George Boateng Yang Menimba Ilmu Bersama Kelantan Kini Pembantu Jurulatih Ghana Di Piala Dunia

boateng kelantan ghana

George Boateng pernah menimba ilmu bersama Kelantan di Liga Malaysia sebagai ketua jurulatih dan kini ke Piala Dunia bersama Ghana sebagai pembantu jurulatih kepada Otto Addo.

Bekas pemain tengah bertahan, George Boateng mencuri tumpuan peminat bola sepak Malaysia selepas perlawanan Ghana menentang Korea Selatan apabila Boateng dilihat telah menghalu staf kejurulatihan Ghana yang berselfie ketika Son Heung Min sedang menangis.

Satu perbuatan tidak patut yang tidak kena pada masa dan tempat di mata Boateng lalu mengarahkan staf itu supaya berlalu pergi.

George Boateng merupakan anak kelahiran Nkawkaw, Ghana dan untuk karier antarabangsa sebagai pemain bola sepak, Boateng memilih untuk bermain untuk Belanda.

Untuk rujukan semua George Boateng langsung tidak mempunyai sebarang pertalian dengan Kevin Prince Boateng dan Jerome Boateng.

Siapa Boateng Yang Pernah Bermain Bersama T-Team?

George Antwi Boateng merupakan bekas pemain bola sepak profesional yang memulakan kariernya bersama kelab Belanda, Elcelsior pada tahun 1994 sebelum berpindah ke Feyenoord.

Berhijrah ke Belanda dari Ghana pada uisa 9 tahun, Boateng banyak membangunkan gaya permainan bola sepaknya di bumi Oranje.

Selepas membuat 70 penampilan bersama Feyenoord, Boateng memilih untuk berkelana ke Liga Perdana Inggeris selama 14 tahun bersama Coventry City, Aston Villa, Middlesborough dan Hull City.

Ketika di Boro, Boateng mendapat kenangan paling indah dalam kariernya sebagai pemain apabila bermain di perlawanan akhir Piala UEFA pada 2006 menentang Sevilla.

Kemudian Boateng meneruskan kariernya bersama Skoda Xanthi kelab yang beraksi di liga Greece yang telah menarik diri dari Liga Super 2 Greece pada September lalu kerana masalah kewangan.

Semusim di Skoda Xanthi, Boateng kembali ke England untuk bersama Nottingham Forest juga untuk semusim pada 2011.

Pada 15 November 2012, beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menandatangani kontrak dengan T-Team dan menjadi kelab terakhir dalam karier sebagai pemain.

Empat hari kemudian, dia menandatangani kontrak setahun bersama T-Team, Boateng melakukan 20 penampilan dan menjaringkan 4 gol.

Boateng membuat penampilan sulung antarabangsanya untuk Belanda dalam keputusan seri 1–1 dengan Denmark pada November 2001 dan hanya sempat mendapat empat penampilan bersama Belanda.

Pada ketika itu Belanda dikendalikan oleh Louis van Gaal dalam perlawanan menentang Denmark di Copenhagen, Boateng beraksi bersama Clarence Seedorf, Ronald dan Frank de Boer, Jaap Stam dan Edgar Davids.

Menimba Ilmu Kejurulatihan Besama Kelantan

Kelantan merupakan air tangan pertama George Boateng dalam bidang kejurulatihan, Pada 2014, Boateng telah diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Kelantan FA.

Boateng Hadir untuk menggantikan Steve Darby yang telah ditunjukkan pintu keluar selepas tewas 4–0 kepada Sime Darby F.C.

Pada 6 Mei 2014, Kelantan FA bangkit daripada ketinggalan 3–0 untuk seri 3–3 menetang Felda United F.C dan perlawanan pertama separuh akhir Piala FA merupakan perlawanan pertama Boateng sebagai ketua jurulatih.

Boateng memohon maaf kepada penyokong Kelantan selepas Kelantan FA disingkirkan daripada Piala Malaysia oleh Kedah FA dengan agregat 4–3, dan terdapat laporan mengatakan bahawa dia akan melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Kelantan FA pada musim berikutnya.

Namun Boateng tidak dipecat telah dilantik ke jawatan Pengarah Teknikal pada 24 Mac 2015, dan jawatannya sebagai ketua jurulatih telah diambil oleh Mohd Azraai Khor Abdullah.

Boateng meninggalkan jawatannya sebagai pengarah teknikal Kelantan pada 11 Mei 2015 untuk bekerja sebagai jurulatih atau pengurus semula.

Penampilan Boateng ditepi padang bersama Kelantan menjadi tumpuan kerana dia kelihatan sangat kacak serta berketerampilan lengkap bersut walaupun dalam cuaca panas.

Ketika ditanya mengenai Kelantan, Boateng mempunyai perasaan yang bercampur baur .

“Sesetengah orang akan cakap saya tidak memenangi apa-apa ketika menjadi jurulatih tetapi kalaulah pihak pengurusan lebih bersabar kami mampu untunk menjulang Piala FA dan berada di tangga empat teratas liga,” kata Boateng.

“Di Kelantan, saya cuba untuk mendidik para pemain beberapa sistem permainan dan jika pihak lawan bertukar (taktik) kita juga mampu untuk menanganginya, tetapi perkara tersebut kadang-kala membawa kepada kesan negatif walaupun pemain sudah mampu membiasakan diri dengan situasi tersebut.”

“Walau bagaimanapun, mereka (para pemain) telah mendapat kemajuan yang besar dari segi pendidikan bolasepak.”

“Saya akan membawa pendekatan sama untuk pasukan kebangsaan dan tidak hanya bergantung kepada 4-4-2 yang senang dipecahkan oleh pasukan lawan.”

Setelah meninggalkan Kelantan, Boateng berubah angin menjadi pengulas sukan di Astro SuperSport dan BeIN Sports, akan tetapi naluri kejurulatihan masih kekal di dalam jiwanya.

Menyedari karier kejurulatihan perlu bermula dari akar umbi Boateng memilih untuk menjadi ketua jurulatih bawah 13 tahun Blackburn Rovers pada 2018.

Pada Julai 2019, Boateng menyertai pasukan bawah 18 tahun Aston Villa sebagai Jurulatih Pembangunan Profesional dan setahun kemudian Boateng naik pangkat untuk bersama skuad 23 tahun untuk jawatan yang sama.

Pada Mei 2022, Persatuan Bola Sepak Ghana mengumumkan bahawa Boateng akan menjadi penolong jurulatih baharu pasukan kebangsaan Ghana yang dipimpin Otto Addo.

Kerana mahu fokus bersama pasukan Ghana di Piala Dunia, Boateng telah meletakkan jawatannya di Aston Villa.

Kini Boateng sedang menabur bakti bersama Pasukan Ghana di saingan Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar dan Ghana masih berpeluang ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Korea Selatan.

BACA:  Van Dijk Koyak Lalu Balas Kembali Kritikan Brutal Van Basten