Kisah Goran Pandev Yang Sanggup Keluarkan Duit Poket Sendiri Demi Bola Sepak Macedonia

Goran Pandev bukanlah satu nama asing dalam arena bola sepak dunia meskipun dia tidak bermain di Liga Perdana Inggeris. Ketajamannya di hadapan gol telah banyak kali membawa kejayaan kepada pasukan yang pernah diwakilinya – Lazio, Inter Milan, Napoli dan Genoa.

Pada tahun 2010, di bawah kendalian Jose Mourinho, Pandev menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah bola sepak Eropah apabila Inter muncul juara trebel – Serie A, Coppa Italia dan juga Liga Juara-Juara Eropah.

Di bahagian serangan, Pandev digandingkan dengan penyerang hebat yang lain seperti Diego Milito dan Samuel Eto’o.

Pada usia 38 tahun, Pandev sempat merealisasikan impian rakyat negaranya – membawa pasukan kebangsaan Macedonia Utara layak ke kempen Kejohanan Eropah 2020 (Euro 2020).

Liga Negara Eropah (UEFA Nations League) 2018/19 telah membantu negaranya layak ke edisi Euro pada tahun ini kerana bagi pasukan Liga D, mereka disediakan satu slot automatik ke pusingan akhir.

Tidak memandang ke belakang, usaha keras Macedonia akhirnya berhasil selepas menewaskan Georgia dalam perlawanan play-off, dan penjaring gol tunggal perlawanan tersebut? Tak lain tak bukan Goran Pandev.

Portal sukan terkenal, FourFourTwo sempat menemubual pemain ini sebelum kejohanan bermula.

“Kitorang dah cipta sejarah dan ia akan kekal selama-lamanya. Bila kali pertama aku dengar tentang Liga Negara dan bagaimana ia boleh bagi satu tempat kepada pasukan Liga D, aku nampak satu peluang yang unik untuk pasukan Macedonia.

“Aku suka format Liga Negara tu sebab aku rasa adil. Dalam kelayakan Piala Dunia, kitorang duduk dalam kumpulan dengan Jerman dan Liechtenstein.

“Aku taknak la buat sesiapa sentap tapi kitorang berada di tempat tu dah lama sangat. Tapi apa faedahnya kedua-dua pasukan bertemu? Buang masa je.

“Dalam Liga Negara kau akan jumpa pasukan yang sama taraf dengan kau, dan perlawanan akan jadi lebih menarik dan seimbang,” tambah Pandev lagi.

Sejak melakukan debut buat Macedonia 20 tahun lalu, Pandev boleh dikatakan tidak mempunyai rakan sepasukan yang setaraf dengannya, namun kali ini, suasana dalam kem pasukan tersebut sangat berbeza di mana adanya beberapa pemain yang beraksi di liga-liga besar.

Ada pemain yang bermain di Liga Perdana Inggeris bersama Leeds United dan Arsenal, ada juga yang beraksi di Sepanyol bersama kelab seperti Rayo Vallecano, Levante dan Mallorca. Begitu juga dengan Serie A di mana ada pemain Macedonia bermain untuk Napoli, selain Pandev di Genoa.

“Lima tahun lalu, kitorang ada borak panjang dan kitorang setuju bahawa kitorang tidak boleh gagal dah.

“Kitorang ada acuan yang bagus dengan pemain berpengalaman dan muda, pemain yang berbakat, yang mana ramai daripada mereka yang sudah bermain di Kejohanan Eropah bawah-21 pada tahun 2017.

“Kitorang juga mempunyai jurulatih yang bijak, Igor Angelovski, yang telah memainkan peranan penting dalam menaikkan pasukan ni.

“Kitorang sudah berkembang menjadi sekumpulan sahabat yang ingin membuktikan bahawa perubahan adalah sesuatu yang boleh terjadi dan patut terjadi. Rahsia kitorang adalah kumpulan ini.”

Selain membawa kemasyhuran, kelayakan Macedonia ke Euro ini diharapkan bakal mebawa kepada perubahan dalam arena bola sepak di negara tersebut, memandangkan mereka tidak pernah merasai sebarang kejayaan besar.

Kali terakhir Macedonia memenangi sesuatu adalah pada tahun 1945, apabila mereka memenangi pertandingan antara negara-negara dalam Yugoslavia. Kali terakhir muncul dalam Piala Dunia pun pada tahun 1990, ketika Yugoslavia masih belum berpecah.

“Banyak kerja nak kena buat di tanah air, sebab kitorang dah banyak hadap masalah dulu,” tambah Pandev lagi.

“Tiada sasaran yang betul atau berpusat, dan ramai sangat orang yang nak ambil kesempatan.

“Malah aku pun pernah bersara selama dua ke tiga tahun sebab aku tak tahan dengan apa yang berlaku.

“Tapi sejak kehadiran Angelovski, semuanya mula berubah – sekurang-kurangnya di atas padang.

“Dia pergi jumpa aku di Genoa dan kitorang betul-betul sembang dari hati ke hati. Aku bagitahu dia pandangan aku yang paling jujur dan dia cakap dia punya pula. Dia yakinkan aku untuk kembali dan kitorang berjaya mengecap kejayaan sejak dari detik itu.

“Tapi tu lah, kitorang tak mampu nak fokus ke benda yang lebih besar. Memang tak ada rancangan untuk menambahbaik bola sepak belia, stadium pun dah nak runtuh dan kemudahan latihan bukan tak macam zaman moden punya.”

Seperti di sesetangah negara, bola sepak di Macedonia juga didominasi orang politik, bukan orang yang betul-betul meminati sukan nombor satu dunia tersebut.

“Dia lebih kepada pertubuhan politik berbanding sukan, digerakkan oleh orang yang tak pernah betul-betul terlibat dengan bola sepak. Lepas tu, jadi cacamarba habis!

“Selepas kitorang layak ke Euro, puak eksekutif pergi ambil sebahagian duit hadiah untuk diorang. Diorang cakap diorang dah tolong banyak sewaktu kelayakan. Gila, kan?

Muamed Sejdini – presiden FA Macedonia sejak 2018. Gambar : FFM

“Duit tu sepatutnya dibelanjakan untuk membina padang kepada kanak-kanak, beli peralatan, tingkatkan lagi sektor belia dan kekalkan budak-budak dalam sukan ni.

“Kita ada banyak bakat muda, tapi ramai yang putus angin pada usia sekitar 15 tahun sebab lemahnya organisasi. Euro ini adalah satu peluang yang sangat besar dan kitorang kena ambil ni.”

Dengan 122 penampilan, Pandev memegang rekod penampilan tertinggi Macedonia. Selain itu, dia juga merupakan penjaring terbanyak pasukan negaranya dengan 38 gol – satu jumlah yang besar bagi pasukan kerdil, memandangkan mereka sering bertemu pasukan-pasukan gergasi di benua tersebut.

Dengan rekod tersebut juga, Pandev adalah seorang lagenda bertaraf dewa di negaranya dan dia pernah diminta untuk mengetuai persatuan bola sepak negara yang mempunyai penduduk seramai 2 juta tersebut.

“Ada orang suruh aku jadi presiden FA, tapi bukan tu yang aku nak. Aku dah bagi sumbangan dah pun.

“Pada tahun 2010, aku tubuhkan Akademija Pandev di Strumica, tempat aku lahir. Ia adalah satu akademi bola sepak untuk 400 budak-budak, dengan tempat latihan yang bagus dan 60 bilik untuk pemain tetap.

“Kitorang ada dua padang 3G (padang tiruan) dan juga satu padang rumput betul. Pasukan utama kini bermain di liga tertinggi negara, dan dua tahun lepas kitorang menang Piala Macedonia dan dapat main di kelayakan Liga Europa.

“Aku dah tuang duit aku sendiri untuk tolong bola sepak, tapi benda ni bukan aku boleh buat sorang-sorang.”

Ketika ditanya tentang rancangannya selepas Euro, Pandev sudah tekad untuk berehat daripada arena bola sepak, untuk kedua-duanya – negara dan kelab.

“Aku ingat nak berhenti selepas Euro sebab aku nak luangkan masa dengan keluarga aku.

“Aku ada tiga orang anak tapi tak cukup masa dengan diorang. Susah nak cakap la macam mana.

“Kadang-kadang aku cakap kat diri sendiri ‘aku dah main depan ribuan orang untuk 20 tahun dah dan sekarang ni apa yang aku nampak, kerusi kosong je. Mungkin elok juga aku ucap selamat tinggal kepada peminat’. Kitorang dah kalahkan Jerman, jadi mungkin ada peluang untuk layak ke Piala Dunia juga.

“Tapi tu lah, bila aku fikir balik pasal kem latihan di Austria, kena berlari di bawah mentari musim panas, aku pun tak pasti apa yang aku nak. Heyy aku dah 37!”

Perlawanan menentang Belanda dalam Euro 2020 adalah perlawanan terakhir penyerang lagenda ini. Ketika dikeluarkan, Pandev diberikan iringan Guard of Honour daripada para pemain Macedonia, sebagai tanda terima kasih di atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkannya.

Malah sebelum perlawanan, pasukan Belanda melakukan perkara yang menyentuh hati dengan menghadiahkan jersi Belanda kepada Pandev, dengan nombor 122 di belakang – jumlah penampilan pemain ini buat pasukan negaranya.

Bila dah taraf lagenda, pasukan lawan pun hormat. Selamat berehat Dewa bola sepak Macedonia!

Semalam pasukan North Macedonia hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk layak ke Piala Dunia 2022 selepas mengejutkan juara Euro, Itali dalam perlawanan kelayakan.

Selepas ini Macedonia akan melayan cabaran Portugal, sebelum menempa sejarah negara tersebut dalam arena bola sepak.

Cerita diambil dari : 442

BACA:  Kelayakan Piala Dunia: Jerman 1-2 North Macedonia