Kisah Hakim Ziyech, Yang Digelar Bodoh Oleh Van Basten Kerana Memilih Morocco

Hakim Ziyech sebelum ini pernah digelar sebagai bodoh oleh legenda bola sepak, Marco Van Basten kerana telah memilih Morocco sebagai pasukan kebangsaannya berbanding Belanda.

Ternyata keputusan Hakim Ziyech itu tepat kerana telah menjadi tonggak pasukan Morocco dengan membantuk negaranya layak ke Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Russia.

Selepas empat tahun berlalu, Hakim Ziyech bersama Morocco telah menempa sejarah tersendiri di Piala Dunia 2022 apabila muncul menjadi pasukan negara Afrika dan negara Arab pertama menjejakkan kaki ke separuh akhir Piala Dunia.

Dalam sejarah Piala Dunia juga, Morocco menjadi pasukan ketiga yang berjaya ke separuh akhir selain pasukan Eropah dan Amerika Selatan selepas USA (1930) dan Korea Selatan (2002).

Kejayaan tersebut memaksa bekas penolong jurulatih Belanda, Marco Van Basten menelan balik apa yang pernah dikatakan beliau terhadap Ziyech selepas pemain ini menolak tawaran untuk menyarung jersi Oranje walaupun bermain di Liga Dutch Eredivisie.

Pada 2018, Van Basten telah menelan air liurnya buat pertama kali apabila Morocco ke Piala Dunia dan Belanda pula gagal melayakkan diri selepas terkandas di pusingan kelayakan.

Di Piala Dunia 2022, Van Basten sekali terpaksa menelan air liurnya yang pasti sudah berkerak itu apabila Morocco ke separuh akhir dan Belanda kandas di suku akhir kepada Argentina.

Morocco menjadi dark horse, giant killer atau apa sahaja isitlah yang menggambarkan kehebatan pasukan kerdil menumbangkan sang gergasi.

Pemain berusia 29 tahun ini dilahirkan di Dronte, Netherlands tetapi ibunya berasal dari Morocco dan ini telah melayakkan beliau untuk dipilih dan memilih bermain bersama Morocco di peringkat antarabangsa.

Beliau memulakan kariernya bersama Heerenveen sebelum menyertai FC Twente. Ziyech beraksi cemerlang ketika bersama FC Twente dengan menjaringkan 34 gol dari 76 penampilan dalam aksi Liga Belanda.

Selepas menunjukkan persembahan yang cemerlang bersama Heerenveen dan FC Twente, nama beliau telah dicadangkan kepada pengurus Belanda ketika itu, Danny Blind untuk dipanggil menganggotai skuad kebangsaan.

Walaubagaimanapun, tiada panggilan telah dibuat terhadap pemain ini kerana pada ketika itu, Belanda gagal untuk melayakkan diri ke pusingan akhir EURO 2016 yang diadakan di Perancis.

Ketika zaman remajanya, Ziyech adalah salah seorang pemain terbaik dalam skuad bawah umur Belanda.

Akan tetapi, pada September 2015, Ziyech telah melakukan kejutan besar dengan mengumumkan bahawa beliau akan mewakili negaran kelahiran ibunya, Morocco dan menolak tawaran Belanda.

Marco Van Basten merupakan penolong pengurus pasukan kebangsaan Belanda ketika Ziyech membuat keputusan tersebut dan telah mengkritik Ziyech kerana terlalu gelojoh membuat keputusan untuk mewakili Morocco.

Marco Van Basten

Van Basten dipetik berkata kepada FOX Sports:

“Betapa bodohnya seorang pemain untuk memilih mewakili Morocco walaupun sedar beliau mempunyai peluang cerah dipilih mewakili pasukan Belanda.”

“Satu kerugian kerana beliau tidak sabar menunggu panggilan Belanda. Beliau telah membuat pilihan untuk mewakili Morocco dan kami mempunyai sebab kami sendiri kenapa tidak memanggil beliau ke dalam skuad kebangsaan sebelum ini.”

“Andainya beliau lebih sabar, Ziyech sudah pasti akan bermain dalam skuad Netherlands hari ini. Beliau pemain yang cukup sempurna untuk Belanda, Nilai pasaran beliau juga pasti akan meningkat andainya beliau menjadi pemain antarabangsa Netherlands.”

“Kami telah berhubung dengan pihak beliau tetapi Ziyech sudah membuat keputusan untuk mewakili Morocco.”

“Ziyech berkata kepada saya ‘Betul saya mahu mewakili Morocco’. Danny Blind [pengurus Belanda ketika itu] turut cuba memujuk beliau. Satu kerugian buat Ziyech kerana beliau tidak sabar.”

Marco Van Basten pasti mahu melupakan apa yang pernah dikatakan beliau kepada pihak media sebelum ini selepas melihat Morocco melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2018.

Belanda pula terkandas di peringkat kelaykan kumpulan dimana mereka sekadar menghabiskan kempen di tempat ketiga di belakang Perancis dan Sweden.

Manakala keputusan Ziyech untuk menyarung jersi Morocco jelas membuahkan hasil. Morocco berjaya menewaskan Ivory Coast 2-0 untuk mengesahkan tempat mereka ke Piala Dunia selaku juara kumpulan C. Gol perlawanan dijaringkan oleh Nabil Dirar dan Mehdi Benatia.

Pada saingan Piala Dunia 2018 di Russia, Morocco berada di kumpulan B bersama Portugal, Sepanyol dan Iran. Morocco telah menunjukkan permainan yang sedap lagi menghiburkan.

Tetapi sayang mereka bergelut menjaringkan gol ketika tewas tipis kepada Portugal dan Iran dengan satu jaringan dan hampir menyingkirkan Sepanyol pada perlawanan terakhir kumpulan.

Ketika Belanda berusaha untuk kembali ke Piala Dunia 2022, Ziyech dan Morocco pula sudah ke tahap yang lain apabila mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022.

Belanda hanya berterusan sembang lebat untuk menewaskan Argentina namun terciduk jua dan terpaksa menelan segala provokasi dan ejekan dari Argentina. Belanda ni suka telan air liur sendiri ke?

Maghribi Pasukan Afrika Pertama Mara Ke Separuh Akhir Piala Dunia.

Kini Hakim Ziyech telah beraksi diperingkat tertinggi dalam bola sepak apabila disambar Chelsea dengan harga €40 juta dan bermain di liga paling kompetitif di dunia tanpa menjadi pemain Belanda.

Rumusannya, pada 2018, Ziyech telah beraksi dalam saingan bolasepak paling berprestij di dunia manakala semua warganegara Belanda hanya mampu menonton aksi Piala Dunia menerusi kaca televisyen, sama sahaja seperti yang dilakukan rakyat Malaysia setiap 4 tahun.

Di 2022, Ziyech juga masih berada di Piala Dunia ketika Belanda menyaksikan bola sepak di kaca TV sahaja dan melakar sejarah terbaik mereka.

BACA:  Pengurus Morocco Dakwa Hakim Ziyech Sengaja Berpura-pura Cedera