Kisah Insan Bernama Paul Pogba – Bintang di Media Sosial, Sendu di Padang

Paul Pogba sudah sah akan berpisah buat kali kedua dengan Manchester United selepas kontraknya tamat pada musim panas ini dan sepanjang kepulangannya ke kelab Setan Merah tersebut, pemain tengah ini mungkin dikecewakan oleh kelab yang menjanjikannya bulan bintang tetapi sebaliknya menjadi simbol kepada kegagalan yang berterusan.

Pemergian Paul Pogba kali ini boleh dikatakan sebagai satu kelegaan buat Manchester United.

Dalam kisah terbaru ini, mungkin ada baiknya kelab yang pernah menguasai bola sepak suatu ketika dahulu memutuskan hubungan dengan pemain pasukan kebangsaan Perancis tersebut, yang dijangka akan kembali ke Juventus – sama seperti suatu ketika dahulu.

Pengurus baru, Erik Ten Hag, perlu melakukan perubahan besar-besaran pada jendela perpindahan pertamanya. Dia tidak boleh dibebankan dengan permainan emosi dan menjadi seorang lagi pengurus yang ditekan untuk mendapatkan yang terbaik daripada Paul Pogba – seperti mana yang semua pihak harapkan.

Dalam bab ini, Ten Hag boleh dianggap bernasib baik.

Kalau nak ikutkan logik Glazer, selalunya mereka tidak akan membenarkan pemain untuk meninggalkan kelab secara percuma dan sebab itulah para penyokong agak pelik di mana pemain seperti Phil Jones, Eric Bailly dan Chris Smalling suatu ketika dahulu tetap diberikan kontrak baru walaupun tidak bermain.

Bagi insan yang bernama Paul Pogba, dia memilih jalan keluar daripada episod yang paling mengecewakan dalam sejarah Manchester United sejak Liga Perdana Inggeris bermula pada tahun 1992.

Sepanjang enam tahun di Old Trafford, dia dipaparkan sebagai simbol kepada apa yang tidak kena dengan Manchester United. Tambahan pula, pemain ini dilihat sangat aktif dan tersohor di media sosial, berbeza dengan apa yang dipamerkannya di atas padang yang dilihat tidak konsisten serta mengganggu dan menggugat pasukan.

Paul Pogba dan rakan karingnya, Jesse Lingard, sah meninggalkan kelab. Gambar : Man United

Bersama Juventus, dia adalah pemenang Serie A dan Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan Perancis. Aksinya bersama kedua-dua pasukan tersebut sememangnya memukau mata yang melihat sehingga mendatangkan rasa ainul yaqin bagi yang melihatnya, sekaligus mengangkatnya sebagai antara pemain tengah terbaik dunia.

Akan tetapi segalanya tampil berbeza apabila dia menyarung jersi kelab.

Bukan tidak pernah dia cemerlang di atas padang sepanjang bersama United. Ada sahaja detik-detik di mana dia muncul sebagai pemain kelas dunia seperti yang diharapkan.

Pada tahun 2018, Pogba menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya melakukan comeback ketika United ketinggalan dua gol tanpa balas ketika berdepan Manchester City yang ketika itu hanya memerlukan satu kemenangan untuk sahkan kejuaraan liga buat mereka.

Dalam perlawanan tersebut, United bangkit dan menang perlawanan penting itu sekaligus menunda hasrat pasukan jiran mereka untuk menjulang trofi liga di depan mata mereka.

Perlawanan ini pastinya akan menjadi antara detik-detik manis yang diingati oleh para penyokong United apabila ditanya tentang pemain ini.

Namun sehari sebelum perlawanan tersebut, penyokong dikejutkan dengan kenyataan pengurus City, Pep Guadiola, yang mengatakan bahawa ejen Pogba, gemulah Mino Raiola, pernah cuba untuk membawa pemain ini berpindah ke seteru tetangganya – kurang dua tahun selepas dia kembali ke kelab tersebut.

Ejen bermulut celupar ini juga sedikit sebanyak membuatkan hubungan Pogba menjadi tegang dengan penyokong, di mana dia sering mengeluarkan kenyataan seolah-olah Pogba ingin keluar dari kelab Setan Merah itu.

Kadangkala kenyataan gemulah Raiola ini disokong sendiri oleh Pogba seperti mana pada tahun 2019, di mana dia mengeluarkan kenyataan bahawa dia sudah bersedia untuk merasai cabaran di tempat baru, kelab baru.

Pada bulan November tahun tersebut, kelab bagaikan sudah dapat menerima hakikat bahawa pemain ini tidak mempunyai hati di Old Trafford dan sudah maklum bahawa dia tidak akan menandatangani kontrak baharu.

Serta merta, pengurusan tertinggi United meletakkan tanda harga £150 juta ke atas pemain ini.

Jika tidak kerana masalah pandemik global, United mungkin dapat menjana sedikit keuntungan daripada penjualan pemain ini, walaupun harga tersebut tidak padan dengan aksi yang tenggelam timbulnya di atas padang.

Dalam musim terakhirnya bersama United, Pogba bermula cemerlang dengan merekodkan tujuh bantuan gol dalam empat perlawanan – rekod tertinggi peribadinya dalam semusim sejak kembali ke United.

Tetapi, perangai dan aksi tidak konsistennya tetap membelenggu pemain ini.

Ketika ditanya perihal ini sewaktu dia bertugas bersama pasukan kebangsaan Perancis, Pogba menyalahkan barisan kejurulatihan kelab di mana dia menyatakan yang dia diberikan tugas yang jelas oleh Didier Deschamps – pengurus Perancis, tetapi tidak tahu apa fungsinya ketika bermain untuk kelab.

Perpisahan kali kedua antara Pogba dan United boleh dianggap sebagai rahmat buat kedua-dua pihak, serta buat Ten Hag.

Dengan ketiadaan Pogba, mampukah United kembali bangkit dan menjadi kuasa besar seperti suatu masa dahulu? Mungkin.

Artikel diolah dari sumber : Goal

BACA:  Ole Pertahankan dan Respect Tindakan Pogba Dan Amad Kibarkan Bendera Palestin