Kisah Kelab Israel Membeli Dua Pemain Beragama Islam

Beitar Jerusalem merupakan pasukan bola sepak professional yang bermain di Liga Perdana Israel dan kelab ini, dalam sejarah peradaban bola sepak Israel, merupakan satu-satunya kelab yang tidak pernah mengambil pemain yang berbangsa Arab atau beragama Islam.

Beitar Jerusalem FC telah ditubuhkan pada 1936 dan pasukan ini bukan sekadar sebuah pasukan bola sepak sahaja malah merupakan sebahagian daripada gerakan nasional rakyat Israel.

Ideologi gerakan nasional dan politik masih menjadi DNA penting bagi pasukan Beitar Jerusalem FC serta menjadi simbol sayap kanan di Israel.

Beitar Jerusalem FC mempunyai kumpulan penyokong yang besar dan mendapat sokong terus daripada pemimpin politik mereka.

Kelab ini terletak di bandar yang mempunyai tiga agama berbeza dan Beitar Jerusalem FC satu-satunya kelab Premier League Israel yang tidak pernah mengikat mana-mana pemain atau atau muslim sehinggalah tahun 2013.

Kira macam pasukan anak jati, pasukan Yahudi untuk orang Yahudi dan mereka juga menggelar diri mereka sebagai “the most racist football team in the country”.

Pecah Tradisi Ikat Dua Pemain Beragama Islam

Pada tahun 2013 sejarah tercipta apabila tradisi kelab yang selama ini dipegang erat diubah di mana mereka telah membawa masuk dua pemain yang beragama Islam dari Russia yang berketurunan Chechnya.

Dua pemain yang dibawa masuk itu adalah Gabriel Kadiev dan Zaur Sadayev terus mencetuskan kontroversi serta kemarahan penyokong yang merasakan hati mereka telah dilukai.

Pembelian ini membuatkan sekelompok penyokong yang menggelarkan diri mereka sebagai penyokong setia zaman berzaman berang kerana bagi mereka, kelab Beitar Jerusalem ini telah dicemari dan tidak suci lagi.

Perpindahan masuk Gabriel Kadiev dan Zaur Sadayev telah mencetuskan kempen paling rasis yang pernah ada dalam sejarah bola sepak Israel.

Kempen ini telah dikepalai oleh kumpulan penyokong Beitar Jerusalem FC yang paling true dan radikal yang dikenali sebagai ‘La Familia’ yang mahu mengekalkan tradisi kelab.

Kadiev dan Sadayev Diganggu secara agresif

Gabriel Kadiev dan Zaur Sadayev bukanlah pemain bintang atau pemain yang mempunyai reputasi yang buruk namun kerana agama mereka anuti, kedua-dua pemain ini dibenci dan diganggu secara agresif.

Sejak tiba selepas mengikat kontrak, Gabriel Kadiev dan Zaur Sadayev, sering diganggu ketika latihan atau di luar padang oleh sebilangan penyokong yang menyertai kempen yang diketuai oleh La Familia.

Situasi ini menyebabkan keselamatan mereka terancam sehingga mereka terpaksa diiringi polis ke mana sahaja mereka pergi.

Ketika sesi latihan para penyokong ini hadir untuk memaki hamun dan menghambur kata-kata kebencian kerana mereka tidak mahu Gabriel Kadiev dan Zaur Sadayev bermain untuk Beitar Jerusalem FC.

“Sadayev, pergi ke masjid Al-Aqsa! Neraka apa ini! Kami ada pemain arab dalam pasukan kami?”

Lebih teruk lagi apabila pejabat Beitar Jerusalem FC juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa kebencian dan telah dibakar oleh golongan penyokong yang pendek akal ini.

Tekanan teruk dirasai oleh Gabriel Kadiev dan Zaur Sadayev, malah ibu Gabriel telah menangis melihat situasi anaknya melalui internet.

Walaupun ibu Gabriel tidak dapat memahami bahasa yang digunakan penyokong namun ibunya dapat merasai kebencian yang nyata dari para penyokong itu.

Sadayev Jaring gol debut

Gabriel Kadiev dan Zaur Sadayev akan menghadapi perlawanan pertama mereka selepas tiba dan menjalani latihan bersama Beitar Jerusalam FC dan kempen kebencian berterusan yang mahu dua pemain ini keluar.

Jurulatih Beitar Jerusalem FC, Eli Cohen juga tidak terkecuali menerima tempias apabila telah diugut supaya tidak menurunkan Zaur Sadayev. Seorang peminat telah menghantar mesej kepada Eli Cohen:

“Eli, kami datang untuk sokong kau, semua tiket dah habis. Segalanya akan menjadi buruk jika nombor 13 (Zaur Sadayev) bermain.”

Eli Cohen tidak mengambil pusing ugutan itu dan tetap menurunkan Zaur Sadayev sebagai pemain penyerang.

Dalam debutnya Zaur Sadayev telah menjaringkan gol pembukaan perlawanan dengan satu kawalan bola cantik dan penyudah yang tenang walaupun ditekan hebat secara mental.

Sejarah tercipta dan terpahat dalam sejarah Beitar Jerusalem FC apabila pemain Muslim menjaringkan gol untuk mereka.

Kalau ikut logik akal dan kebiasaan, apabila pasukan kita sokong menjaringkan gol, kita akan gembira. Namun situasi berbeza berlaku di stadium pada hari tersebut.

Walaupun ada peminat yang bersorak dan berpelukan meraikan gol itu terdapat sebilangan penyokong Beitar yang boo dan memaki hamun lalu bertindak keluar dari stadium sebagai tanda protes.

Dan pada masa yang sama golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai ultras mengangkat kain rentang yang bertulis ‘Beitar suci selamanya’.

Tekanan demi tekanan daripada penyokong ternyata memakan jiwa Sadayev dan Kadiev. Sadayev sekadar melakukan tujuh penampilan liga sebelum kembali ke Eropah.

Video di bawah menceritakan ringkasan daripada keseluruhan kisah tragis kecelakaan penyokong bola sepak yang berbaju perkauman.

BACA:  Gol Lewat Permainan Sensasi Jepun, Kubo Selamatkan Getafe Dari Penyingkiran