Kisah Kelab Israel Selepas Membeli Dua Pemain Beragama Islam

Beitar Jerusalem merupakan pasukan bola sepak professional yang bermain di Liga Perdana Israel dan kelab ini, dalam sejarah peradaban bola sepak Israel, merupakan satu-satunya kelab yang tidak pernah mengambil pemain yang berbangsa Arab atau beragama Islam.

Pada tahun 2013, tradisi kelab ini diubah di mana mereka telah membawa masuk dua pemain yang beragama Islam dari Russia yang berketurunan Chechnya.

Pembelian ini membuatkan sekelompok penyokong yang menggelarkan diri mereka sebagai penyokong setia zaman berzaman berang kerana bagi mereka, kelab Beitar Jerusalem ini telah dicemari dan tidak suci lagi.

Kedua-dua pemain Chechnya tersebut, Gabriel Kadiev dan Zaur Sadayev, sering diganggu ketika latihan atau di luar padang oleh sebilangan penyokong ini sehingga mereka terpaksa diiringi polis ke mana sahaja mereka pergi.

Lebih teruk lagi, pejabat Beitar Jerusalem juga telah dibakar oleh golongan penyokong yang pendek akal ini.

Dalam perlawanan pertama Sadayev dan Kadiev, Sadayev yang bermain sebagai penyerang berjaya menjaringkan gol buat pasukannya.

Kalau ikut logik akal, bila pasukan kita sokong menjaringkan gol, kita akan gembira. Namun situasi berbeza berlaku di stadium pada hari tersebut.

Sebilangan penyokong Beitar bertindak keluar dari stadium sebagai tanda protes, dan pada masa yang sama golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai ultras mengangkat kain rentang yang bertulis ‘Beitar suci selamanya’.

Tekanan demi tekanan daripada penyokong ternyata memakan jiwa Sadayev dan Kadiev. Sadayev sekadar melakukan tujuh penampilan liga sebelum kembali ke Eropah.

Video di bawah menceritakan ringkasan daripada keseluruhan kisah tragis kecelakaan penyokong bola sepak yang berbaju perkauman.

Baca Juga

Baca Juga