Kisah Legasi Tiga Generasi Forsberg Kuasai Bola Sepak Sweden

Emil Forsberg merupakan generasi ketiga dari keluarganya yang beraksi bersama skuad kebangsaan Sweden.

Selepas datuk dan ayahnya mengharumkan nama negara, kini Emil Forsberg pula memimpin skuad kebangsaan Sweden di pentas saingan Euro 2020.

Lennart Forsberg telah meninggal dunia pada September tahun lalu di usianya 92 tahun. Beliau sebenarnya berkesempatan untuk menonton cucunya beraksi di pentas Euro 2020, namun kerana isu pandemik, kejohanan tersebut terpaksa ditangguhkan dan menyebabkan mendiang tidak sempat untuk memenuhi hasratnya itu.

Emil Forsberg kemudiannya menegaskan yang beliau mendedikasikan persembahannya dalam saingan Euro 2020 ini untuk mendiang datuknya.

Beliau juga melakukan hal yang sama ketika beraksi bersama RB Leipzig dalam saingan Bundesliga dengan mendedikasikan persembahannya untuk legenda bola sepak Sweden, Lennart Forsberg.

Kisah Tentang Dinasti Forsberg

Dinasti Forsberg merupakan sesuatu yang sangat menakjubkan dalam saingan bola sepak Sweden. Lennart memulakan kariernya pada 1945 dengan beliau ketika itu melakukan debut bersama Sundsvall di usia 17 tahun.

Beliau digelar ‘Foppa’ dan dianggap sebagai antara pemain sayap paling berskill dalam sejarah Sweden, dengan mempunyai kelajuan yang mengagumkan, vision yang menakjubkan dan kemahiran menggelecek yang luar biasa hebat.

Emil dan datuknya Lennart Forsberg

Foppa dianggap sebagai bakat besar, namun harapan beliau untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Sweden selepas berpindah dari Stockholm ke Djurgarden tidak menjadi kenyataan kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Selepas era Lennart, anaknya Leif Forsberg yang digelar ‘Little Foppa’ turut melakukan debutnya di usia 17 tahun bersama Sundsvall.

Beliau mempunyai fizikal yang sungguh mengagumkan dan seorang pemain centre-foward yang sungguh berani dengan menjaringkan 143 gol dan dianggap sebagai legenda di Sweden.

Nombor jersinya 10 turut dibersarakan oleh kelabnya selepas beliau bersara dari dunia bola sepak.

Bahkan anaknya, Emil sendiri tidak dibenarkan memakai nombor keramat tersebut ketika kariernya bersama Sundsvall walaupun beliau merupakan anak dan cucu kepada legenda kelab.

Emil dan ayahnya Leif Forsberg

Perjalanan Karier Emil Forsberg

Apa yang menariknya, Emil Forsberg turut melakukan debutnya di usia 17 tahun bersama Sundsvall dan beliau merupakan pemain sayap yang sangat digeruni dalam saingan bola sepak Sweden ketika itu.

Beliau merupakan playmaker yang menakjubkan dan kerana kehebatan serta dinasti keluarganya, beliau digelar ‘Mini-Foppa.’

Pemalu dan tidak banyak bercakap, Forsberg sering dilihat mempunyai sikap yang bertentangan dengan Zlatan Ibrahimovic.

Beliau merupakan pemain yang 10 tahun lebih muda berbanding pemain yang mengakui bahawa dirinya pemain terbaik dalam sejarah bola sepak Sweden, Zlatan Ibrahimovic.

‘Mini-Foppa’ sepatutnya dijangka akan mengambil alih tugas Zlatan sebagai pemain terpenting skuad Sweden dengan kali terakhir mereka beraksi bersama dalam kejohanan besar adalah ketika saingan Euro 2016 yang lalu.

Sayangnya Sweden pada ketika itu tersingkir dari peringkat kumpulan selepas mereka hanya mampu mengutip satu mata sahaja dari tiga perlawanan pertama.

Ekoran dari keputusan itu skuad Sweden telah menerima kritikan yang sangat teruk dari para peminat.

“Orang-orang menghentam kami. Zlatan dan saya adalah dua pemain yang benar-benar menjadi harapan semua orang, jadi kami perlu terima semua itu. Jika kamu baca semua kritikan itu ia seolah saya telah menjaringkan gol sendiri dalam setiap perlawanan.”

Tulis Forsberg di The Players Tribuna.

Ibrahimovic bersara dari skuad kebangsaan selepas dari itu dan Forsberg menjadi nadi penting yang membawa skuad Sweden di kejohanan Piala Dunia 2018.

Beliau ketika itu berjaya menjaringkan empat gol di pusingan kelayakan dan Forsberg turut menjaringkan gol kemenangan dalam membantu Sweden menewaskan Switzerland di pusingan 16 terbaik di St Petersburg.

Tanpa Zlatan, Forsberg berjaya membawa skuad Sweden mara sehingga ke peringkat suku akhir mereka pada ketika itu menerima pujian yang menggunung dari semua pihak pada ketika itu.

Pada Januari 2015 selepas berjaya memenangi dua kali gelaran Allsvenskan Championship bersama Malmo, beliau telah melengkapkan perpindahannya untuk menyertai RB Leipzig yang ketika itu bermain di division kedua.

Beliau memainkan peranan penting dalam membantu membawa RB Leipzig untuk naik ke saingan Bundesliga dan turut menstabilkan kelab menjadi sebagai salah sebuah gergasi dalam saingan liga Jerman pada ketika ini.

Sembilan pemain yang beraksi bersama RB Leipzig dalam saingan division kedua pada 2015 adalah seperti, Joshua Kimmich, Lukas Klostermann, Marcel Sabitzer, Stefan IIsanker, Peter Gulacsi, Willi Orban, Yussuf Loulsen dan Forsberg.

Kesemua pemain itu ketika ini dianggap sebagai antara bintang besar dalam dunia bola sepak dengan Forsberg masih kekal bersama Leipzig dan menjadi nadi penting kelab sehingga hari ini.

Kehebatan Forsberg telah membantu beliau untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan Sweden untuk beraksi dalam saingan Euro 2020.

Forsberg berjaya menjadi pemain terpenting serta paling banyak memberi impak untuk skuad Sweden dalam saingan Euro 2020 ini.

Beliau berjaya menjaringkan empat gol dari lima perlawanan dan membantu Sweden untuk mara sehingga ke pusingan 16 terbaik.

Beliau juga merupakan pemain pertama dalam sejarah bola sepak Sweden yang berjaya menjaringkan empat gol dalam satu edisi Euro.

Beliau ketika ini juga berjaya menyamai rekod Henrik Larsson sebagai penjaring kedua terbanyak Sweden dalam saingan Euro, dua gol dibelakang Zlatan Ibrahimovic.

Jadi tidak mengejutkan untuk melihat beliau berjaya memecahkan rekod tersebut di kejohanan Euro 2024 nanti selepas menunjukkan aksi yang mengagumkan di edisi kali ini.

Emil Forsberg juga merupakan pemain pertama dalam sejarah bola sepak Sweden yang berjaya menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut dalam satu kejohanan besar sejak kali terakhir dilakukan oleh Kennet Andersson pada Piala Dunia 1994.

Beliau berjaya menjaringkan satu gol ketika beraksi bertemu Slovakia, dua gol ketika bertemu Poland dan satu lagi gol ketika beraksi di pusingan 16 terbaik bertemu Ukraine awal pagi tadi.

Ukraine yang berjaya menewaskan Sweden di pusingan 16 terbaik ini akan bertemu England di peringkat suku akhir nanti, selepas skuad The Three Lions itu berjaya menundukkan Jerman 2-0 awal pagi tadi.

Sumber: Goal

: Wikipedia

Baca Juga

Baca Juga