Mo Salah Pemain Sayap Pilihan Ke-4 Liverpool Ketika Dibeli Pada 2017

Pemain sayap sensasi dan terbaik dunia di posisi sayap, Mohamed Salah bukanlan pilihan utama Liverpool ketika the Reds mahu mencari pemain sayap baharu pada 2017 dan Salah berada dipilihan ke-4.

Rezeki tidak salah alamat buat Salah yang akhirnya dipinang oleh Liverpool 5 tahun yang lalu dengan bayaran sebanyak £36.5 juta sahaja dan hasilnya seperti kita lihat hari ini.

Mohamed Salah telah menjadi salah satu penandatanganan terbaik dalam sejarah Liverpool. Pemain sayap laju yang tidak tentu hala dan tidak keruan menjadi mesin gol.

Lima tahun berada di Anfield Mohamed Salah telah telah menjaringkan 156 gol, menjulang 6 trofi dan telah menobatkan dirinya sebagai salah seorang pemain terbaik dunia pada masa kini.

Ramai kening terangkat apabila Liverpool meleburkan wang untuk membawa Mo Salah kembali ke England kerana pada ketika itu Salah merupakan pemain buangan Chelsea yang meneruskan karier bersama Roma.

Salah telah menghabiskan beberapa tahun yang tidak memberangsangkan di Chelsea dan bergelut untuk menembus masuk pasukan dan berada dalam perancangan Jose Mourinho.

Sebanyak 19 perlawanan sahaja Salah beraksi di Stamford Bridge dan dijual kepada Roma selepas melalui fasa pinjaman ke I Giallorossi dan Fiorentina.

Salah cemerlang serta menjadi pemain utama ketika dipinjamkan ke Roma dan status pinjaman ditebus menjadi pemain tetap dengan nilai €15 juta.

Dua musim (2015/16, 2016/17) di Roma Salah bermain 83 perlawanan dan telah menjaringkan 34 gol sebelum dipikat Liverpool pada musim seterusnya.

Walaupun kariernya di Itali kembali berada dilandasan namun tidak siapa menjangka atau berani memberi jaminan Salah akan meledak di Premier League setelah kembali.

Menurut cerita daripada laporan The Times selepas sebulan ketibaan Salah di Anfield, menyatakan bahawa Salah adalah pemain sayap pilihan keempat Liverpool pada jendela perpindahan musim panas 2017.

Liverpool juga telah lama merisik Salah dan cuba mendapatkan Salah sebelum Salah memilih untuk ke Chelsea pada tahun 2013 dan The Reds mula mencari pemain yang lain.

Menurut laporan The Times:

“Liverpool telah meninjau kira-kira 15 pemain dan Salah masih antara dua samada beli atau tidak.”

“Jurgen Klopp telah mengakui bahawa Dave Fallows, head of scouting and recruitment, Barry Hunter, chief scout dan Michael Edwards, pengarah sukan yang melakukan pemeriksaan latar belakang pemain dan diperluaskan lagi kepada misi pengintipan di kem latihan dan juga perlawanan.”

“[Dia menyertai] hanya selepas Liverpool melihat sasaran lain yang sudah terlepas. Borussia Dortmund enggan membenarkan Christian Pulisic pergi, Julian Draxler hangat dipasaran Januari, memilih untuk berpindah ke Paris Saint-Germain dari Wolfsburg dan Julian Brandt memilih untuk kekal di Bayer Leverkusen kerana bimbang dia tidak akan dapat bermain secara tetap di Anfield.”

Tiga sasaran awal Liverpool telah terlepas atas pelbagai sebab, maka tanpa perlu bersaing lagi, Salah telah menjadi pilihan utama dan terus dilamar Liverpool.

Selepas 5 tahun bersama Liverpool Salah telah menjadi mesin gol dan memenangi semua trofi dalam karier bola sepaknya di peringkat kelab. Piala FA, Piala Liga, Champions League dan juga Premier League. Dapat Piala Dunia sempurna karier Salah.

Dalam lima musim bersama Liverpool Salah telah muncul sebagai penjaring terbanyak Premier League sebanyak tiga kali.

1. Musim 2017/18 – 32 gol
2. Musim 2018/19 – 22 gol (Berkongsi dengan Sadio Mane dan Pierre Emerick Aubameyang)
3. Musim 2021/22 – 23 gol (Berkongsi dengan Son Heung Min)

Maka Liverpool telah membuat satu pilihan yang tepat, Salah menikmati segalanya dan Christian Pulisic yang kini bersama Chelsea dilihat mempunyai masa depan yang cerah lantaran baru berusia 23 tahun.

Julian Draxler semakin tenggelam dan perlu meninggalkan PSG untuk mendapatkan minit permainan dan menjadi pemain utama. Julian Draxler hanya menjaringkan 26 gol dalam 198 untuk PSG. Bertiang-tiang nak kejar rekod jaringan Salah.

Julian Brandt dapat masa bermain di Bayer Leverkusen sebelum berhijrah ke Borussia Dortmund dan gagal menjadi pemain bintang seperti diharapkan Dortmund. Julian Brandt hanya menjaringkan 20 gol dalam 127 perlawanan bersama Dortmund.

Telah tersurat bahawa Salah dan Liverpool akan berjodoh walaupun menjadi pilihan keempat, Julian Draxler dan Julian Brandt jauh ditinggalkan Salah manakala Pulisic masih mempunyai masa depan yang panjang.

BACA:  Anugerah Pemain Terbaik Mo Salah Dirompak Ronaldo