Suasana di seberang Sungai Seine di pinggir kotaraya Paris dirasakan sungguh tenang, ditemani aliran sungai yang menghasilkan muzik-muzik alam yang cukup merdu. Berdiri megah di seberang Bois de Boulogne sebuah kelab bola sepak yang dinamakan Kelab Bola Sepak Suresnes, atau dalam bahasa Perancisnya Jeunesse Sportive de Suresnes- kelab di mana lahirnya bintang pemain tengah yang unggul, N’Golo Kante.
Kante anak buah Conte yang disangkakan berasal dari Kinta menyertai kelab tersebut ketika berusia sembilan tahun.
Suresnes hanyalah sebuah kelab amatur di mana mereka bermain di divisyen sembilan dalam piramid bola sepak Perancis. Setiausaha kelab merangkap jurulatih, Pierre Ville dan jurulatih pasukan utama, Francois Missana tepaksa mengambil kalkulator untuk mengira divisyen liga yang mereka bermain.
Bermula dari tempat kerdil tersebut, Kante telah memenangi Liga Perdana Inggeris bersama Leicester City musim lalu dan berkemungkinan besar memenanginya buat kali kedua berturut-turut pada musim ini bersama Chelsea.
Kali terakhir pemain memenangi liga dua kali berturut-turut bersama pasukan yang berlainan ialah Eric Cantona pada musim 1991-92 dan 1992-93, masing-masing bersama Leeds United dan Manchester United.
“Semasa dia datang ke kelab kami, saiz dia separuh daripada orang lain yob. Kecil sangat dia ni,” Ville memulakan bicara.
“Dia kecil, tapi bila dia start main, dia kalahkan semua orang. Dah la masa tu dia main dengan orang yang lagi tua daripada dia. Dia ni saiznya separuh daripada orang lain, berat dia pun separuh tapi tu lah, dia main dengan kumpulan umur yang berbeza,” tambah Ville sambil menyedut dalam-dalam Nusantara hijau yang dibeli di kedai Acheh. Matanya dipejam rapat menggambarkan betapa dia sedang mengingati detik-detik manis dia bersama Kante.
Ville pernah berkata kepada Kante,”Kome ni ibarat satu larutan kimia yang nadir. Kome tambah benda dalam tu, warnya bertukar dan terus berubah. Sama lah dengan keroje kome. Bila kome masuk dalam pasukan, kawan-kawan kome tu macam mula sedar. Deme mula hisab diri deme sebab ramai yang ego dalam pasukan tu.
“Kante ni sangat luar biasa. Jauh lebih luar biasa daripada Luxor. Dia ada semacam kesan penyeimbang. Dia tak bercakap banyak sangat, dia sopan tapi kawan-kawan dia semua hormat dia. Dia bukan pemalu, cuma tak suka buka mulut. Yang penting, dia jenis beringat.
“Kalau kita kaji kan, ada kaitan antara cara dia bermain dengan kepintaran otak dia. Dia fikir satu-satu benda tu dengan cepat. Main bola ni memang wajib kena pandai, kena fokus; barulah dapat fikir cara terbaik untuk bertindak dalam satu-satu situasi dan cari ruang. Dia terima bola, 99 kali daripada 100 dia buat keputusan tepat – hantar bola dengan bagus dan cepat. Satu keputusan yang tak tepat tu pun berlaku sebab dia bersin.”
Ville menyeka sedikit matanya yang mula berkaca.
Ibu bapa Kante tiba di Paris dari Mali pada tahun 1980 dan Kante membesar hanya tidak jauh dari padang Suresnes, dalam rumah flat yang kecil bersama lagi tujuh adik beradiknya.
Adik perempuan tirinya bermain untuk pasukan belia Suresnes. Adik lelakinya pula, kini berusia 19 tahun, juga bermain untuk kelab yang sama. Dalam bahasa mudahnya, keluarga Kante ni memang dah sebati dengan komuniti sekitar rumah mereka.
Ketika awal pengelibatan Kante, jurulatihnya bukan sekadar ragu dengan fizikalnya, malah sifat pendiam Kante juga membuatkan mereka tertanya-tanya apa sebenarnya yang bermain di minda Kante.
“Kami tak tahu dia sebenarnya dengar ke idok, faham ke idok apa yang kami cakap sebab dia memang tak bercakap,” tambah Ville, kali ini matanya tidak lagi mengalirkan cecair.
“Kami bercakap dengan dia, jurulatih kecergasan pun bercakap dengan dia, bagi nasihat dekat dia tapi dia sekadar tenung kami. Kami tak pasti sama ada dia dengar ke idok, faham ke idok. Tapi beberapa minggu selepas tu, kami nampak dia buat semua yang kami beritahu dengan baik sekali.”
Jurulatih belia Suresnes, Piotr Wojtyna masih ingat lagi apa yang disampaikannya kepada Kante pada hujung satu musim, sebelum cuti musim panas.
“N’Golo, kamu ada cuti dua bulan dan kamu patut cuba timang bola 50 kali dengan kaki kiri, 50 kali dengan kaki kanan dan 50 kali dengan kepala kamu. Dua bulan lepas tu dia berjaya bro!”
Adalah satu kebiasaan bagi kelab-kelab kecil di eropah untuk mempromosi pemain muda mereka ke kelab-kelab yang lebih besar untuk mendapatkan sejumlah wang bagi menanggung kos operasi akademi dan kelab. Begitu juga dengan Kante dan Suresnes.
Kante telah ditawarkan ke kelab Paris Saint Germain, Lorient, Rennes, Sochaux dan banyak lagi. Kante dibawa untuk menjalani ujian atau dalam bahasa orang putihnya trial dengan kelab-kelab di atas ketika berusia 14 dan 15 tahun, namun kesemua usaha tersebut hanya ditemukan dengan kehampaan.
Alasan kebanyakan kelab ialah ‘kalau setakat macam ni ramai kami ada.’ Menurut Ville, Kante ditolak kerana saiz badannya.
“Dia kecil sangat dan di Perancis, kami selalu cari pemain yang ada kekuatan dan tenaga ketika mereka berusia 12 atau 13 tahun. Kante tidak dipilih kerana bagi mereka Kante belum bersedia.
“Tapi Kante tenang je bila ditolak. Dia selalu cakap ‘takpe ler, teman tak cukup bagus lagi. Biasa la tu.’ Ternyata peninjau bakat tidak nampak kualiti sebenar Kante kerana dia bukan pemain yang menyerlah yang menggelecek 30 pemain lawan. Dia sekadar bermain permainannya seperti biasa dan tidak menyinar.
Walaupun sering ditolak, Kante bagaikan tak kisah dan dia tak tunjuk pun yang dia terganggu. Tapi bagi pengurusnya di Boulogne, Georges Tournay berpendapat segala penolakan tu menjadikan hati Kante bertambah cekal.
Kante berpindah ke Boulogne ketika berusia 19 tahun memandangkan presiden Suresnes ketika itu, Jean Pierre Perrinel mempunyai anak lelaki yang bermain di kelab tersebut dan telah membantu Kante mendapatkan trial di Boulogne. Dipendekkan cerita, Boulogne menerima Kante sebagai pemain amatur demi membantu perkembangannya sebagai pemain bola sepak.
Pada awalnya, segalanya agak sukar buat Kante di mana dia merupakan pemain muda yang bermain dengan pasukan simpanan pasukan divisyen dua yang sedang mengalami kejatuhan ke liga divisyen tiga.
Benarlah kita rancang, Tuhan rancang. Tapi Tuhan adalah sebaik-baik perancang.
Boulogne akhirnya terjerumus ke divisyen tiga dan kehilangan beberapa pemain utama dan ini membuka peluang kepada Kante untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.
Ketika di Boulogne, Kante berulang-alik ke tempat latihan hanya dengan menaiki skuter kanak-kanak versi dewasa.
“Ada sekali saya nampak dia datang ke padang latihan, saya tahu dia malu tapi dia tak pernah cakap apa-apa,” Tournay berkata.
“Bila rakan sepasukan nampak dia menaiki skuter atau berjalan kaki ke padang, mereka telah membuat satu jadual siapa yang akan mengambilnya dari rumah,” tambah Tournay.
Dek kehebatannya bersama Boulogne, Kante telah dibeli Caen, kelab divisyen dua dan kecemerlangan Kante telah membantu kelab tersebut naik ke Ligue 1. Sejak itu, Kante mula menarik perhatian umum, terutamanya media seperti The Sukan.
“Apabila media datang ke Caen nak tulis cerita sensasi pasal dia, soalan pertama yang akan ditanya Kante ialah ‘Kenapa? Untuk apa ni?’ Kante selalunya enggan ditemubual selalu mengatakan dia tidak pernah melakukan apa-apa yang istimewa dan sebaliknya, media disuruh datang kembali enam bulan kemudian bila dia sudah lakukan sesuatu yang hebat,” tambah Ville.
Dua tahun di Caen, Kante disambar Leicester City dan bak kata mat saleh, the rest is history. Sehingga kini, meskipun dikurniakan harta yang melimpah ruah, Kante masih lagi tawadduk seperti dahulu.
Semoga pembaca dapat mengambil ibrah daripada kisah Kante yang penuh pengajaran ini.
Artikel ini diambil dan diolah dari sumber asal di Daily Mail