Kisah Penghijrahan Azmeer Yusof Sungguh Memberi Inspirasi

Azmeer bin Yusof merupakan bekas pemain bola sepak kedah yang telah bersara pada tahun lalu dan kini beliau sedang aktif dalam dunia perniagaan.

Tidak keterlaluan untuk menganggap beliau sebenarnya antara pemain bola sepak yang paling disayangi peminat, terutama di kalangan penyokong Kedah.

Azmeer boleh dianggap seperti Ust Ebit Lew dalam dunia bola sepak dengan beliau sering melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan dan kebajikkan.

Kisah bagaimana beliau berubah keluar dari kemewahan dunia untuk mencari akhirat sememangnya satu perjalanan yang sungguh berinspirasi.

Kira-kira hampir setahun lalu, Azmeer pernah memuat naik satu video di lama Youtube miliknya, untuk menceritakan kisah mengapa beliau keluar dari dunia bola sepak.

Ia merupakan sebuah video yang berbaloi untuk ditonton dan memberikan inspirasi yang berguna kepada ramai pihak.

Di awal video tersebut, Azmeer ditanya mengapa beliau meninggalkan dunia bola sepak yang telah memberikan kemewahan kepadanya.

Jawapan yang diberikan oleh bekas pemain Kedah itu sememangnya menakjubkan dan sungguh menginspirasikan.

“Betul semua aku dapat, tapi satu benda aku tak dapat, ketenangan. Ketenangan ni kalau ada satu juta ke dua juta ke kita tak kan dapat, susah nak dapat ketenangan ni. Allah yang bagi ketenangan ni dengan cara kita mencari. Dan ketenangan ni lah yang aku tak dapat selama ni.”

Beliau turut menyatakan yang dirinya berada dalam dua dunia yang berbeza, dengan bola sepak merupakan dunia yang memberi kemewahan padanya.

Azmeer dengan terbuka mendedahkan yang walau beliau menerima 40,000 Ringgit sebulan, namun beliau tetap dibelenggu dengan masalah dan hutangnya juga sentiasa bertambah.

Beliau menegaskan yang ramai orang menganggap dirinya bahagia dengan segala kemewahan yang beliau miliki, namun hakikatnya beliau sebenarnya tidak henti-henti di uji pada ketika itu.

Azmeer mengakui beliau sering membaca komen dari peminat yang memujinya dan menganggap beliau mewah, namun pada masa sama beliau sebenarnya pening memikirkan tentang komitmennya.

Namun begitu, beliau menegaskan yang ketika dirinya mencari jalan yang lebih diredhoi, beliau berjaya bebas sepenuhnya dari hutang.

Berjaya bebas dari hutang merupakan satu hal yang paling dasyat dalam kariernya dan Azmeer sendiri tidak menduga beliau mampu keluar dari semua itu.

Selain bebas dari segala hutang, beliau turut berjaya membeli sebidang tanah untuk membangunkan pusat pengajian Azmer Yusof.

“Aku rasa dengan duit yang aku ada sekarang, walau tak banyak mana, tapi aku dapat rasa dari segi keberkatan.”

“Keberkatan ni orang tak akan dapat rasa selagi dia dapat gaji, tapi kita kena tengok balik, kita dapat gaji tu 40k, 50k tapi duit tu pergi mana, itu perbezaan aku dengan dunia bola sepak.”

“Jadi sebab tu aku pilih jalan mcm ni buat keputusan ni, aku berhenti, walaupun orang kata nama aku tengah naik, tapi aku nak bagi segala-galanya pada agama.”

Beliau turut mendedahkan tentang segala kemewahan yang beliau miliki ketika bermain bola sepak.

“Lagi satu Firdaus, dalam dunia bola sepak ni apa je yang tak ada? Apa je yang tak ada? Semua ada, duit, perempuan, semua ada, tak payah nak sorok cerita macam ni.”

“Aku tak akan malu untuk mengaku benda mcm ni ada dalam dunia bola sepak dan dunia hiburan, semua orang tahu benda tu kan?”

Azmeer mendedahkan yang beliau mahu menjaga agama dan berharap semua orang boleh menjaga agama, kerana jika agama tidak dijaga, ia akan runtuh.

“Sekarang ni bila aku berhenti bola sepak, aku bagi segala-galanya pada agama Islam dan aku dapat rasakan yang aku boleh jaga agama kita.”

“Macam aku selalu cakap, agama kita, kita jaga, kita fikir balik ayat tu, kenapa aku cakap macam tu? Kenapa kita kena fikir ayat tu? Sebab apa?”

“Memang betul kita kena jaga agama kita, kita tengok orang kata bila kita tak jaga agama kita, agama kita akan runtuh, agama kita tak kukuh, jadi bila kita bagi segalanya ke dalam agama kita, kita akan dapat naikkan agama kita, kita dapat berdakwah di dalam apa yang kita buat sekarang ni”

Menurut Azmeer jika seseorang itu faham dengan apa yang beliau maksudkan dengan ‘kita jaga agama’, insyaallah hatinya akan lebih tenang untuk mencari jalan Allah.

Namun begitu, tidak semua orang yang mahu memberi sepenuhnya pada agama akan diterima baik oleh semua pihak.

Beberapa bulan selepas beliau sah meninggalkan skuad Kedah, Azmeer Yusof turut menerima kecaman dari pelbagai pihak yang menganggap beliau membuat keputusan berhenti bermain bola sepak hanya kerana duit.

Beliau sememangnya seorang yang penyabar dan cukup bertenang, namun ketika tahap kesabarannya sampai di kemuncak, Azmeer telah memuat naik status di laman Facebook miliknya.

Beliau memuat naik status yang menyatakan tentang kekesalan yang beliau rasakan atas pihak-pihak tertentu termasuk bekas rakan sepasukannya yang tidak henti mengkritiknya.

Azmeer Yusof merasa terkilan selepas beliau dituduh meninggalkan Kedah kerana gilakan duit, sedangkan beliau sama sekali tidak pernah memikirkan untuk ke arah itu.

Ketika mengumumkan hasratnya untuk meninggalkan skuad Helang Merah, Azmeer mengakui bahawa ianya tiada kaitan dengan isu tunggakan gaji atau masalah lain, sebaliknya beliau membuat keputusan itu kerana mahu memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.

Beliau juga pada ketika itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penyokong Kedah di atas keputusannya untuk meninggalkan skuad.

“Saya doakan yang terbaik buat pasukan Kedah FA. Semoga terus mencipta kejayaan2 di masa akan datang.”

“Ampun maaf dipinta kepada semua pihak seandainya kehadiran saya ke bumi Jelapang Padi tidak dialu-alukan. Sesungguhnya yang baik datang dari Allah Taala, yang buruk datang dari diri saya sendiri,”

Tulis beliau di laman facebook miliknya.

Selepas dari itu, ramai yang mengkritik Azmeer dan menyatakan bahawa beliau sebenarnya meninggalkan Kedah kerana duit.

Selepas penat mendengar segala tomahan dan cacian yang dilemparkan kepadanya, Azmeer Yusof telah memuat naik status di laman facebook miliknya dengan menyatakan:

“Ok, Cukup-cukuplah bersabar sampai maruah ni di bawah tapak kaki korang. Yang dalam team pun duk hentam sampai sekarang.”

Tulis Azmeer Yusof di laman facebook miliknya.

Beliau kemudian menyenaraikan beberapa kegiatan yang dilakukan olehnya selepas meninggalkan pasukan Kedah.

PUSAT PENGAJIAN AZMEER YUSOF TONGKANG YARD

PUSAT PENGAJIAN AZMEER YUSOF KUALA KEDAH

AY BARBERSHOP ALOR SETAR

AY BARBERSHOP KUALA KEDAH

AY BARBERSHOP PERUDA

AY BARBERSHOP KULIM

AY BARBERSHOP SUNGAI PETANI

AY SPORT ARENA

AY SPORTS

Beliau telah membina Pusat Pengajian Azmeer Yusof di dua kawasan di Negeri Kedah iaitu di Tongkang Yard dan Kuala Kedah.

Azmeer Yusof merealisasikan hasratnya melakukan kebajikan untuk pembangunan umat Islam dengan membuka rumah mengaji al-Quran tersebut secara percuma bermula 9 pagi hingga 10 malam.

Selain dari itu, Azmeer juga telah membuka lima cawangan kedai gunting rambut, AY Barbershop di Alor Setar, Kuala Kedah, Peruda, Kulim dan Sungai Petani untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak muda di sana.

Di kedai gunting rambut yang beliau bina itu juga, Azmeer banyak membuat keje amal dengan menyediakan pakej guntingan rambut secara percuma kepada golongan tertentu.

Beliau turut membina AY Sport Arena dan AY Sports dengan alasan dan tujuan yang sama demi untuk membantu anak muda di Kedah.

“Semua yang saya bina di atas ni bukan untuk saya. Bukan untuk keluarga saya sekalipun. Tetapi untuk korang yang ada di Negeri Kedah.”

“Saya bukanlah kaya macam orang-orang yang korang kenal. Lagi-lagi tak kaya macam players lain. Tapi setiap duit-duit yang saya dapat 100% saya bagi pada Agama Islam. Jangan tanya tentang perbelanjaan saya. Saya tahu nak cari duit dengan cara saya sendiri.”

“So sampai bila nak salahkan saya?? Ini sampai ada seorang player update di instagram kononnya saya mata duitan sebab quit awal dari team.”

“REMEMBER THIS ! LAGI KORANG BENCI AKU, LAGI AKU BINA MACAM-MACAM DI NEGERI KORANG. KORANG TUNGGU & LIHAT.”

Tulis Azmeer di laman facebook miliknya.

Bekas pemain Kedah dan Kuala Lumpur itu sebelum ini sememangnya jarang untuk buka mulut atau bersuara dalam hal-hal seperti ini, namun apabila beliau merasakan kecaman dan hinaan yang diberikan padanya sudah keterlaluan, maka kerana itulah beliau tampil membuat kenyataan seperti ini.

Tidak kira dari kalangan pemain sendiri atau peminat yang sibuk mengecam Azmeer, semoga mereka sedar bahawa bukan semua orang mampu untuk menyumbang kepada masyarakat seperti yang dilakukan oleh Azmeer.

Kisah perjalanan beliau berhijrah untuk beri tumpuan kepada agama sememangnya memberi motivasi kepada para peminat.

Nama beliau akan terus dikenang sebagai seorang pemain bola sepak yang berjiwa masyarakat dan banyak menyumbang kepada masyarakat.

Pemain seperti Azmeer Yusof layak dipuji atas segala yang telah beliau lakukan, semoga beliau dimurahkan rezki selalu dan terus berbakti kepada masyarakat dan agama seperti yang beliau harapkan.

BACA:  Azmeer Dedah Pernah Mintak Gaji RM1 Dengan Syarat Semua Pemain Solat Berjemaah