Kisah Sebenar Situasi Kekecohan Yang Berlaku Di Wembley

Laporan terperinci berkait insiden kekecohan yang berlaku ketika aksi perlawanan akhir Itali bertemu England di Wembley kemarin telah tular dan ia agak tragis untuk diceritakan.

Hampir ribuan penyokong cuba untuk masuk ke stadium dengan cara yang sangat kecoh menjelang sepak mula perlawanan akhir saingan Euro 2020 kemarin, dan ia hanya permulaan untuk kisah yang mengerikan itu.

Wakil The Mirror, Andy Lines yang berada di Wembley pada hari kejadian, telah mendedahkan kisah yang berlaku di depan matanya dan ia sangat tragis untuk diceritakan kepada peminat.

Beliau mendakwa ada steward yang diancam dengan pisau, penyokong wanita yang teruk diganggu dengan gangguan seksual dan melihat seorang kanak-kanak yang menangis trauma dengan kejadian itu.

Steward tersebut turut menceritakan kepadanya yang ada penyokong yang mengacu pisau supaya beliau dibenarkan untuk masuk ke stadium tanpa dihalang.

Steward yang bertugas hanya dibayar £8.90 sejam dan beliau ketika menceritakan kisah itu kepada Andy, telah menyatakan bahawa:

“Apa yang harus saya lakukan? Saya hanya dapat £8.90 sejam, saya tak akan sanggup ditikam untuk nilai tersebut.”

Salah seorang penyokong wanita dikatakan telah menjadi mangsa gangguan seksual ketika para penyokong bersesak untuk masuk ke dalam stadium.

Sementara Andy turut melaporkan yang ada seorang kanak-kanak yang merayu kepada bapanya supaya membawanya pulang, ia kerana beliau terlalu takut untuk melihat situasi yang sedang berlaku ketika itu.

Ramai yang cuba memujuk kanak-kanak yang menangis itu sambil cuba memahamkan beliau yang bukan semua penyokong England bersikap seperti itu.

Menjelang petang, makin banyak video yang tular di sosial media dan ada video yang memperlihatkan bagaimana penyokong England turut cuba menyerang penyokong Itali.

Bar, pub, kedai mamak, warung kopi dan segala macam tempat lepak di sekitar Wembley terpaksa ditutup selepas tamat perlawanan kerana untuk menenangkan keadaan yang semakin kecoh.

Fil Sollof merupakan salah seorang ahli ‘England Fans Travel Club’ dan beliau telah menjadi penyokong The Three Lions di serata dunia selama hampir 20 tahun.

Beliau percaya situasi yang berlaku pada hujung minggu lalu itu tidak akan memberi impak pada jangka masa pendek ini sahaja, ia akan memberi impak yang besar pada jangka masa panjang juga.

Penyokong yang kini berusia 56 tahun itu telah mendedahkan bahawa:

“Saya sudah merantau ke seluruh dunia untuk menonton dan menyokong England dan saya tak pernah lihat situasi seperti hujung minggu lalu.”

“Ia sesuatu yang sangat memalukan dan membuatkan saya rasa malu untuk mengaku yang saya penyokong England.”

“Malam itu sepenuhnya tidak terkawal dan pihak steward juga tak mampu nak urus. Segala harapan untuk kita urus Piala Dunia 2030 patut berakhir.”

Andy Lines bertugas ketika perlawanan tersebut dan beliau turut didatangi oleh peminat yang berfikir bahawa beliau merupakan salah seorang petugas di Wembley.

Ramai orang yang meminta bantuan padanya dan meminta beliau lakukan sesuatu untuk mengawal situasi tersebut.

“kenapa kau tak cuba untuk lakukan sesuatu?”

“Seseorang akan mati dekat situ, buatlah sesuatu.”

Antara jeritan-jeritan yang beliau dengar dari penyokong yang mahu mendapatkan bantuan.

Para penyokong England Bertumbuk Sesama Sendiri

Para penyokong The Three Lions didakwa telah bertumbuk sesama sendiri, sehingga menimbulkan kekecohan dan menyebabkan pihak polis masuk campur untuk meleraikan pergaduhan itu.

Terdapat rakaman yang memperlihatkan para penyokong England bertumbuk sesama sendiri ketika mereka sedang dalam perjalanan masuk ke Wembley sejam sebelum sepak mula perlawanan akhir Euro 2020.

Pergaduhan itu dilaporkan berpunca dari penyokong yang mempunyai tiket bengang dengan segelintir penyokong yang cuba masuk ke stadium tapi tidak mempunyai tiket.

Namun pihak polis berjaya mengawal keadaan dan meleraikan kesemua penyokong yang saling bertumbuk sesama sendiri itu.

Ribuan penyokong turun ke Wembley untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut dan ia terlalu ramai untuk segerombolan manusia di luar Box Park venue.

Segelintir penyokong England di dalam rakaman tersebut dilihat saling bertumbuk dan mereka turut melakukan beberapa gerakan MMA sesama sendiri.

Antara gerakan yang digunakan ketika insiden pergaduhan itu adalah, tumbukan tanpa bayang, tendangan Rashford, Triangle Choke, Power Slam, Drop Kick, Karate kick dan macam-macam lagi.

Namun terdapat laporan yang menyatakan bahawa situasi tersebut berjaya dikawal dengan segera, selepas pihak Polis bertindak tegas dalam menenangkan keadaan.

Penyokong-penyokong yang mungkin dari kalangan hooligans atau apa saja kumpulan penyokong yang ada itu turut cari pasal dengan Rio Ferdinand ketika beliau sedang dalam perjalanan untuk masuk ke stadium

Legenda Manchester United itu tiba lebih awal kerana beliau ditugaskan untuk jadi penyampai bersama BBC One dan beliau turut jadi mangsa kekecohan penyokong tak berakal itu.

Terdapat gambar yang memperlihatkan bagaimana kepala Ferdinand telah dilempar dengan tin beer ketika beliau melalui kawasan yang sedang berlaku kekecohan itu.

Tin beer kena kepala Ferdinand

Bekas pemain bola sepak dan kini menjadi pundit, Chris Kamara turut melalui situasi yang sama ketika perjalanan beliau untuk masuk ke Wembley stadium.

Beliau telah menceritakan pengalamannya melalui detik tersebut di laman twitter miliknya dengan menyatakan:

“Perjalanan yang mengerikan untuk masuk ke Wembley, berjalan sambil mengelak botol dan beer yang berterbangan di udara dan berjalan di atas kaca-kaca pecah sepanjang perjalanan.”

“Kenapa dengan mereka semua ini?”

Tidak lama selepas insiden tersebut, terdapat segerombolan penyokong England yang menyerbu masuk ke Wembley stadium selepas merempuh pagar hadapan.

Terdapat juga kekecohan yang berlaku di Leicester Square dengan kawasan tersebut dipenuhi botol, sampah dan segala macam objek yang mengganggu pemandangan.

Ia terjadi kerana ratusan penyokong yang berkumpul di kawasan tersebut turut terlibat dengan insiden baling membaling sesama sendiri.

Ia menunjukkan pemandangan yang sangat memalukan di kawasan pusat bandar itu menjelang aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020.

England sememangnya belum pernah memenangi Piala kejuaraan European Championship sebelum ini, dan mereka kali ini merasakan peluang untuk melihat Piala tersebut kekal di bumi Baginda Ratu sangat cerah.

Terdapat juga laporan yang menyatakan ada segelintir penyokong England turut menyerang penyokong Itali dan memukul penyokong Azzuri yang ada di sekitar Wembley.

Kali terakhir skuad The Three Lions beraksi di pentas perlawanan akhir dan memenangi Piala adalah ketika aksi Piala Dunia edisi 1966.

Mereka pada ketika itu turut menjulang Piala pertama dalam sejarah negara di bumi England dan sehingga kini, masih belum ada tambahan Piala yang berjaya dilakukan.

England terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-2 permainan menerusi Shawberto Carlos seterusnya meletakkan The Three Lions semakin bernafsu untuk menang dalam perlawanan ini.

Walau bagaimanapun, Leonardo Bonucci berjaya memadam gol pendahuluan tersebut selepas beliau merobek gawang gol England pada aksi babak kedua permainan.

Jaringan Bonucci berjaya membantu Itali untuk mengikat kedudukan seterusnya mengheret perlawanan ke masa tambahan

Selepas menghabiskan 30 minit aksi tambahan masa, kedua-dua pasukan masih gagal untuk memperoleh tambahan jaringan, seterusnya pemenang akan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Itali mempunyai kelebihan dari segi penentuan sepakan penalti kerana mereka sudah melalui hal itu diperingkat separuh akhir, dan para pemain mereka juga mempunyai pengalaman yang cukup untuk berdepan dengan tekanan.

England pula mungkin dilihat mempunyai kelebihan kerana mereka beraksi di halaman sendiri dengan sokongan dari para penyokong memainkan peranan penting dalam situasi seperti itu.

Domenico Berardi, Bonucci dan Federico Bernardeschi kesemuanya berjaya menewaskan Jordan Pickford ketika aksi penentuan sepakan penalti tersebut.

Walau bagaimanapun, kedua-dua Andrea Belotti dan Jorginho gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut selepas penjaga gol England berjaya menyelamatkan sepakan mereka.

Kedua-dua Harry Kane dan Harry Maguire menjaringkan dua gol awal untuk England ketika aksi penentuan sepakan penalti menewaskan Gianluigi Donnarumma.

Namun begitu, dua pemain gantian yang dibawa masuk untuk aksi penentuan sepakan penalti, Sancho dan Marcus Rashford gagal untuk menyempurnakan tugas mereka.

Donnarumma kemudiannya menjadi wira Itali selepas beliau dengan tenang menafikan rembatan dari Bukayo Saka, seterusnya mengesahkan kemenangan untuk skuad The Azzuri.

Jadi secara keseluruhannya, penyokong England bergaduh sesama sendiri kerana ia melibatkan penyokong yang ada tiket membelasah penyokong yang cuba masuk tanpa tiket.

Dan lebih memalukan lagi, mereka turut mengganggu penyokong dari pasukan pelawat dan ia secara tidak langsung memberi gambaran yang sangat buruk tentang penyokong The Three Lions.

Melihat kepada insiden ini, jelas sekali England masih belum layak untuk mengurus kejohanan seperti Piala Dunia kerana mempunyai penyokong yang kuno dan tak berakal.

Sumber: The Mirror

SB

BACA:  Southgate Harap Penyokong England Jaga Diri Dan Jangan Malukan Negara