Klausa Yuran Perpindahan Tertinggi di Dunia Dalam Kontrak Baru Karim Benzema Bersama Real Madrid

Klausa perlepasan seseorang pemain dalam kontrak bersama pasukan selalunya dilihat sebagai satu perbuatan yang sia-sia ketika rundingan dilakukan, tetapi di sesetengah negara, isu ini sangat penting untuk memastikan kemandirian kelab.

Nilai minimum yuran perlepasan pemain biasanya dijadikan satu pilihan di kebanyakan liga di Eropah, tetapi di Sepanyol, La Liga telah menetapkan bahawa setiap kelab wajib meletakkan klausa ini.

Sesetengah kelab berjaya menggunakannya dengan begitu efektif, contohnya Athletic Bilbao yang akhirnya berjaya memperoleh £71 juta hasil jualan penjaga gol Kepa Arrizabalaga ke Chelsea pada tahun 2018.

Aston Villa pula dalam diam telah meletakkan klausa perlepasan dalam kontrak Jack Grealish yang mana membolehkan mereka hanya akan menerima sekurang-kurangnya £100 juta bidaan daripada kelab-kelab bertaraf Liga Juara-Juara UEFA.

Dari satu sudut, dengan adanya klausa sebegini akan membantu kelab yang menjual mendapat sedikit kelebihan untuk keuntungan kelab tetapi memandangkan tiada had maksima yang ditetapkan oleh mana-mana badan untuk mengawal nilai pemain, klausa ini dilihat semata-mata hanya untuk menghalang sebarang cubaan memancing pemain.

Contohnya bekas pemain Barcelona, Lionel Messi.

Pada suatu masa, klausa perlepasan pemain terbaik dunia ini diletakkan pada nilai €700 juta, namun disebabkan kesilapan kelab, tiada mana-mana pihak yang membayar jumlah ini selepas kontrak Messi tamat pada bulan Jun lalu dan menyertai Paris Saint Germain secara percuma.

Cristiano Ronaldo juga mempunyai klausa yang gila di mana Real Madrid pernah meletakkan tanda harga sebanyak €1 billion kepada pemain ini, tetapi pada tahun 2018, dia telah menyertai Juventus dengan harga €100 juta.

Berikut adalah senarai harga pemain yang terdapat dalam klausa perpindahan mereka.

Gerard Pique – €490 juta

Pique kekal setia bersama Barcelona

Baru-baru ini, Pique mendapat perhatian daripada peminat bola sepak di seluruh dunia kerana sanggup memotong gajinya sebanyak 50 peratus demi membolehkan kelab yang mempunyai hutang lebih £1 billion itu mendaftarkan pemain baharu.

Pada usia 33 tahun, pemain ini dikatakan sedang mengalami penurunan dalam prestasinnya dan disebabkan itu, tak mungkin kita akan lihat ada kelab yang sanggup bayar £423 juta untuk mendapatkan pemain ini.

Lagipun, memandangkan dia adalah seorang pertahanan, tak mungkin ada kelab yang sanggup berbelanja sebanyak £100 juta pun untuk beli dia.

Gareth Bale – €490 juta

Gareth Bale ketika kembali bersama Spurs musim lalu.

Nilai klausa perpindahan Gareth Bale ini hanyalah semata untuk mengelakkan sebarang perhubungan daripada kelab lain untuk mendapatkannya.

Tambahan pula Bale kini tidaklah semantap Bale ketika baru menyertai Real Madrid suatu ketika dahulu. Tapi kalau di prestasi kemuncaknya, adakah dia betul-betul bernilai £423 juta?

Isco – €690 juta

Isco semakin berisi nampaknya.

Pada suatu masa, pemain Real Madrid ini dilihat sebagai bintang masa depan pasukan gergasi La Liga tersebut, tetapi dengan kelab sering bertukar jurulatih, prestasinya juga dilihat agak terumbang-ambing.

Dia pernah berhajat untuk keluar mencari angin baru bersama kelab lain, tetapi tiada kelab yang sanggup membayar £592.5 juta untuk khidmatnya.

Kini Carlo Ancelotti kembali ke Real Madrid, mungkin Isco akan kembali berjaya menemukan sentuhan magisnya suatu ketika dahulu.

Vinicius Junior – €690 juta

Vinicius semakin mendapat tempat di hati penyokong Madrid.

Pemain dari Brazil ini mendapat perhatian dunia selepas dibeli dari Flamengo pada harga £40 juta ketika dia berusia 17 tahun, pada tahun 2017.

Dikatakan mempunyai bakat seperti Neymar Jr, Real Madrid meletakkan klausa perpindahan yang tinggi bagi mencegah sebarang cubaan kelab lain untuk membeli pemain ini.

Selepas empat tahun lebih di Santiago Bernabeu, Vinicius masih menjadi watak penting dalam mengukuhkan pasukan walaupun belum betul-betul mewarnai La Liga tetapi, suatu hari nanti mungkin namanya akan tercalon untuk penerima anugerah Ballon d’Or.

Luka Modric – €750 juta

Modric sebenarnya merupakan ahli sihir.

Kapten pasukan Croatia ini bakal merekodkan jumlah 100 penampilan buat kelab ibu kota Sepanyol tersebut dengan pemain berusia 35 tahun ini boleh dikatakan antara pemain import yang terbaik yang pernah bermain di La Liga.

Gayanya dalam merencana rentak perlawanan di atas padang sangat mengasyikkan untuk ditonton dan sebab itulah Real Madrid meletakkan klausa yuran peripindahan yang tinggi untuk menghapuskan sebarang minat daripada kelab lain, terutamanya pada musim panas tahun lalu di mana Juventus dilihat berusaha untuk membawa pemain ini ke Turin.

Antoine Griezmann – €800 juta

Entah apa la yang ada dalam kepala Griezmann sekarang ni.

Sebaik menyertai Barcelona, dia dilihat sebagai satu projek jangka masa panjang untuk menggantikan kapten, Lionel Messi.

Tetapi selepas dua musim, dia dilihat gagal untuk mencapai tahap yang diharapkan sehingga memaksa kelab berada dalam dilema sama ada untuk menjualnya atau tidak, tambahan pula dia enggan menerima tawaran pemotongan gaji oleh kelab pada ketika mereka mengalami masalah kewangan yang meruncing.

Walaubagaimanapun, Messi telah berada di kelab lain dan detik ini boleh menjadi peluang kepada penyerang Perancis ini untuk mengubah tanggapan para penyokong kelab yang selama ini menganggapnya sebagai beban dan bertukar kepada hero kelab.

Karim Benzema – €1 billion

Lagenda Real Madrid.

Selepas Cristiano Ronaldo berpindah meninggalkan Real Madrid, Karim Benzema telah muncul sebagai watak utama di bahagian serangan kelab.

Oleh sebab itu, kerana takut kehilangan seorang lagi penyerang bintang mereka, Florentino Perez telah bertindak meletakkan klausa perpindahan bahawa sesiapa sahaja yang berminat untuk mendapatkan pemain ini, mereka perlu membayar €1 billion.

Awal minggu ini, pemain berusia 33 tahun ini telah menandatangani kontrak baru bersama kelab dan klausa ini masih dikekalkan.

Dengan jumlah gol sebanyak 281 dan 18 trofi secara keseluruhan, tiada siapa dapat menafikan bahawa Benzema adalah tonggak utama bagi Real Madrid.

Sumber : Mirror

BACA:  Kylian Mbappe Menerima Standing Ovation Dari Penyokong Real Madrid