Klopp Akhirnya Buka Mulut Mengenai Terjahan Ramos Ke Atas Salah Musim Lepas

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp akhirnya membuka mulut mengenai insiden terjahan Sergio Ramos ke atas Mohamed Salah yang berlaku ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lepas.

Buat pertama kali, Klopp melabelkan tindakan Ramos itu sebagai ‘kejam’ dan ‘brutal’. Insiden tersebut berlaku pada separuh masa pertama ketika kedudukan masih lagi terikat tanpa sebarang jaringan. Salah terpaksa dikeluarkan tidak lama kemudian kerana kecederaan di bahagian bahu.

Klopp akhirnya membuka mulut mengenai apa yang terbuku di hati beliau sejak Liverpool tumpas di tangan Real Madrid dua bulan lalu

Ramos juga dikecam kerana menyiku kepala penjaga gol Liverpool, Loris Karius dalam perlawanan yang sama. Karius menjadi perhatian dunia apabila melakukan dua kesilapan yang menghadiahkan dua gol kepada Real Madrid, tetapi diagnosis selepas perlawanan menunjukkan kekasaran Ramos terhadap Karius mengakibatkan gegaran pada bahagian otak Karius.

Ramos tidak menerima sebarang hukuman daripada pengadil, Milovan Ristic atas dua insiden tersebut. Selepas sekian lama, Klopp akhirnya membuka mulut mengenai insiden tersebut dan beliau juga mengkritik pengadil kerana gagal menghukum Ramos dengan sewajarnya.

“Jika anda tonton insiden itu kembali dan anda bukan peminat Real Madrid, anda akan lihat insiden itu sebagai kejam dan brutal.” Ujar Klopp kepada pemberita dalam satu temuramah sempena jelajah Liverpool di Amerika Syarikat.

“Jika anda kumpulkan semua situasi yang melihatkan Ramos, dan saya telah menonton bola sepak sejak berumur 5 tahun, anda akan lihat banyak kesalahan yang dilakukan Ramos dalam perlawanan tersebut.”

Klopp melabel tindakan Ramos sebagai kejam dan brutal. Ia bukan bola sepak tetapi macam seorang ahli gusti

“Apabila anda melihat insiden Salah, anda tidak akan berkata, ‘wow, ia satu terjahan yang bagus’. Selepas itu, saya melihat pengadil yang sama mengadili beberapa perlawanan besar di Piala Dunia dan tiada siapa bercakap mengenai insiden tersebut lagi.”

“Tetapi pada pendapat saya, dalam keadaan tersebut, pengadil perlu menilai situasi tersebut dengan lebih baik. Jika VAR ada, ia merupakan situasi dimana anda perlu merujuk pada video ulang tayang.”

“Saya bukan mahu kad merah, tetapi mereka perlu melihat kembali insiden tersebut dan berkata, ‘Apa yang berlaku?’.”

Kerana insiden itu, Salah bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya dalam Piala Dunia

“Ia merupakan tindakan yang kejam. Saya tidak rasa Salah akan mengalami kecederaan dalam situasi yang hampir sama dengan itu. Kali ini, beliau tidak bernasib baik  dan ia merupakan pengalaman yang Liverpool tidak boleh hadapi dalam perlawanan tersebut.”

“Saya tidak pasti sama ada kami akan mengalami pengalaman yang sama pada masa akan datang. Pemain lawan menyiku penjaga gol anda dan menjatuhkan penjaring gol anda seperti seorang ahli gusti di tengah padang dan kemudian, mereka berjaya memenangi perlawanan.”

BACA:  Klopp Suruh Nunez Bertenang Dan Samakan Dengan Lewandowski