Klopp Anggap Guardiola Sebagai Pengurus Terbaik Dunia, Lebih Bagus Dari Mourinho

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya Pep Guardiola merupakan pengurus terbaik dunia ketika ini.

Klopp juga berkata beliau lebih suka jika Liverpool memenangi Liga Perdana Inggeris kerana kelab tersebut belum pernah memenangi kejuaraan tersebut sebelum ini.

Mourinho bukan yang terbaik

Manchester City kini berada di persada Liga Perdana Inggeris selepas mengharungi 12 perlawanan dengan Liverpool hanya ketinggalan dua mata di belakang. Termasuk Chelsea, ketiga-tiga kelab ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Jika dilihat pada prestasi sekarang, anak buah Pep Guardiola dianggap pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka musim lepas. Dalam perlawanan terakhir sebelum rehat antarabangsa, The Citizens mudah tewaskan Manchester United 3-1 dalam aksi derby Manchester pertama musim ini.

Kekalahan tersebut menyebabkan Red Devils semakin jauh ditinggalkan pasukan lain dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini. Mereka kini sedang menduduki tangga ke-8 dan 12 mata di belakang Manchester City. Sasaran yang realistik buat anak buah Jose Mourinho musim ini adalah untuk meraih kedudukan empat teratas bagi melayakkan diri beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Klopp letak Guardiola sebagai pengurus terbaik dunia. Tepat dan jujur

Melihat kepada persembahan Manchester City musim ini yang cemerlang dan sukar untuk dihalang mana-mana pasukan, Klopp percaya Guardiola adalah pengurus terbaik yang ada sekarang.

Dalam satu temu ramah bersama Sky Sports Jerman, Klopp telah diminta untuk membuat pilihan sama ada Jose Mourinho atau Pep Guardiola.

“Saya rasa Pep adalah pengurus terbaik di dunia.”

“Anda boleh letak apa sahaja nama untuk membuat perbandingan, anda tidak perlu membandingkan Guardiola dengan Mourinho sahaja. Pep sedang melakukan kerjanya dengan sangat baik.”

Bekas jurulatih Borussia Dortmund itu juga telah ditanya mengenai peluang Liverpool untuk memenangi trofi musim ini. Selain itu, Klopp juga diminta untuk membuat pilihan sama ada Liga Juara-Juara Eropah atau Liga Perdana Inggeris.

“Saya pilih Liga Perdana Inggeris kerana Liverpool belum pernah memenangi pertandingan tersebut.”

“Sebenarnya saya tidak boleh untuk membezakan antara dua pertandingan tersebut. Saya lebih suka jika Liverpool berjaya memenangi kedua-duanya sekali, itu sasaran utama saya.”

Klopp lebih rela jika Liverpool menangi Liga Perdana Inggeris selepas sekian lama mandul

Liverpool akan menyambung aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini dengan berkunjung ke Vicerage Road untuk bertemu Watford. Beberapa hari kemudian, Paris Saint-Germain bakal menanti mereka di Paris dalam perlawanan yang cukup getir untuk menentukan siapa yang layak ke pusingan kalah mati dari kumpulan C.

Manchester City pula akan melayan kunjungan West Ham di tempat sendiri dan anak buah Guardiola dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk mengutip 3 mata penuh jika mengikut prestasi mereka sekarang.

BACA:  Tiket Perlawanan Liga Terakhir Liverpool Sudah Mula Dijual Pada Harga Tidak Masuk Akal