Klopp Bangga Aksi Seperti Raksasa Bintang Baharu Liverpool

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp menghamburkan pujian melangit terhadap dua bintang baharu yang dibawa masuk di jendela perpindahan musim panas ini, Alexis MacAllister dan Dominik Szoboszlai setelah kedua-dua pemain melakukan debut kompetitif pertama menentang Chelsea.

Pertemuan di antara kedua-dua pasukan di Stamford Bridge adalah perlawanan tumpuan di minggu pertama Premier League 2023/24.

Liverpool mendahului melalui jaringan awal Luis Diaz, namun Axel Disasi yang turut melakukan penampilan pertama bersama pasukan tuan rumah kemudiannya berjaya memadam kelebihan skuad kendalian Klopp.

Perlawanan tersebut turut menyaksikan dua gol oleh setiap pasukan, dijaringkan oleh Mohamed Salah dan Ben Chilwell dibatalkan kerana offside pada babak akhir separuh masa pertama.

Tatkala perhatian tertumpu kepada Chelsea yang dibimbing pengurus baharu Mauricio Pochettino, gandingan baharu di bahagian tengah Liverpool yang dibarisi oleh MacAllister dan Szoboszlai turut mencuri tumpuan.

Musim panas ini Liverpool kehilangan pemain regular seperti Jordan Henderson dan Fabinho – kedua-duanya dijual kepada kelab Arab Saudi.

Kelab Merseyside itu turut kehilangan khidmat James Milner, Alex Oxlade-Chamberlain dan Naby Keita yang meninggalkan Anfield sebagai ejen bebas.

Usaha Klopp dan Liverpool meyakinkan Moises Caicedo untuk berhijrah ke Anfield telah dikecewakan oleh Chelsea, tatkala bintang Southampton Romeo Lavia turut dilihat bakal ke Stamford Bridge.

Ini bermakna ada banyak perkara yang Klopp perlu lakukan untuk merangka pasukan bagi menghadapi cabaran pada musim ini.

Pengurus dari Jerman itu bagaimanapun teruja dengan impak yang dihasilkan oleh dua pemain baharu pada perlawanan pertama musim ini.

Bercakap kepada BBC Sport, Klopp berkata: “MacAllister jelas sekali adalah pemai bola sepak yang hebat dan anda boleh lihat hasilnya daripada jaringan pertama kami pada musim ini.

“Pemain-pemain baru yang dibawa masuk berjaya menghasilkan peluang [jaringan] ketika gerakan ofensif.

“Dom [Szoboszlai] pula ibarat seekor raksasa. Dia bermain di tiga posisi pada hari ini. Individu luar biasa, dan pemain terhebat.”

Ditanya lanjut sekiranya dia berpuas hati dengan persembahan keseluruhan Liverpool di Stamford Bridge, pengendali The Reds itu berkata: “Pada masa ini, ya.”

“Permulaan perlawanan amat cemerlang, dari kedua-dua arah baik fasa menyerang dan juga ketika bertahan.

“Kami berjaya menjaringkan gol yang begitu super, dan gol kedua yang terpaling sensasi, malangnya ia adalah offside.

“Jika anda bertanya sama ada saya benar-benar gembira dengan [prestasi] perlawanan ini, maka ianya tidak.

“Tetapi saya juga melihat kami telah melakukan satu lagi langkah ke hadapan dan pasukan ini berada di landasan yang betul.”

BACA:  Semangat Kesukanan Liverpool Dipersoal Kelab Premier League Lain