Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp telah memberi amaran kepada pemainnya untuk berjaga-jaga dengan ancaman Manchester City dalam perlawanan timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang bakal berlangsung awal pagi nanti.
Klopp mendakwa skuad Pep Guardiola mampu mempamerkan persembahan seperti ‘ribut petir’ untuk merobek gawang pihak lawan, seperti yang dipamerkan mereka ketika separuh masa pertama menentang Manchester United hujung minggu lalu.
Dalam perlawanan pertama di Anfield minggu lepas, Liverpool mempamerkan persembahan yang menakjubkan di hadapan penyokong sendiri untuk mencatatkan kemenangan 3-0 hasil jaringan Alex Oxlade Chamberlain, Mohamed Salah dan Sadio Mane.
Walaubagaimanapun, bekas jurulatih Borussia Dortmund itu mendakwa The Citizens mampu bangkit dari ketinggalan 3 gol sekiranya mereka mempamerkan persembahan yang sama seperti ketika separuh masa pertama menentang Manchester United Sabtu lepas.
“Saya menonton perlawanan di antara Manchester City dan Manchester United hujung minggu lalu. Ia merupakan antara persembahan separuh masa pertama terbaik pernah saya saksikan. Persembahan Manchester City pada separuh masa pertama seperti ‘ribut petir’.”
“Kemudian pada separuh masa kedua, selepas United menjaringkan gol pertama mereka, satu pasukan mula menemui rentak dan satu lagi pasukan hilang rentak. Perlawanan berubah selepas itu.”
“Saya tidak boleh memberi arahan kepada pemain saya untuk menjaringkan gol awal. Saya mampu berbuat demikian tetapi saya tidak rasa ia akan banyak membantu pasukan.”
“Kami perlu berfikir mengenai bolasepak. Apa yang perlu kami lakukan dan dimana kami mahu melakukannya. Semua pemain saya sedar selepas tamat perlawanan di Anfield tempoh hari yang ianya hanya separuh masa sahaja. Kami berjaya memperolehi kelebihan dari segi gol. Tidak lebih dari itu.”
Pengurus berasal dari Jerman itu memiliki rekod terbaik dari semua jurulatih yang pernah berhadapan dengan Pep Guardiola. Klopp berjaya menang 7 dari 13 pertemuannya menentang pasukan bimbingan Guardiola dan beliau mahu menambah satu lagi perlawanan dalam rekodnya awal pagi esok.
“Kami mahu memastikan kami tidak terlepas gol di Etihad dan kami mahu menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan. Itu pelan kami.”
“Ia banyak membantu sekiranya anda tahu apa masalah pasukan anda. Anda hanya perlu menyelesaikan masalah tersebut. Tetapi sekiranya kami melepaskan gol kepada City, tiada apa yang berubah. Kami masih lagi memiliki kelebihan dua gol selepas itu.”
Walaupun memiliki rekod lebih baik menentang Guardiola, pasukan Liverpool di bawah kendalian Klopp mengalami kekalahan terbesar mereka musim ini di tangan City pada awal musim dimana mereka tewas 5-0 dalam Liga Perdana Inggeris.
Walaubagaimanapun, Klopp yakin pasukannya tidak akan mengulangi kesilapan yang sama dalam perlawanan akan datang untuk mengelakkan mimpi ngeri berulang di Etihad.
“Kali ini lain sikit. Pasukan ini sudah bermain bersama lebih lama. Prestasi pasukan juga semakin bertambah baik tetapi kami masih perlu berjaga-jaga kerana ia mungkin boleh berlaku lagi [tewas 5-0].”