Klopp Bertegas Liverpool Tidak Akan Beli Pemain Yang Tidak Divaksin

Pengurus terbaik Liverpool dalam era bola sepak moden, Jurgen Klopp telah menegaskan bahawa kelab yang dikendalikannya tidak akan membeli pemain yang tidak mengambil suntikan vaksin kerana khuatir pemain tersebut akan menjadi ancaman yang berterusan kepada rakan sepasukan yang lain.

Virus corona telah menjadi satu ancaman dan gangguan terhadap perjalanan kesemua perkara di dalam dunia sejak awal tahun 2020, termasuklah jadual bola sepak di segenap pelusuk bumi dan juga mendatangkan kesusahan di dalam sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia.

Kebanyakan negara telah memperkenalkan peraturan baharu yang ketat dalam mengawal kemasukan individu dari negara lain, dengan tujuan untuk mengawal penyebaran virus Covid ini daripada merebak dengan lebih teruk.

Selepas satu demi satu varian timbul, dari Delta, Lambda dan terkini Omicron, penularan wabak ini menjadi ketakutan yang tidak sudah di kalangan seluruh penduduk dunia.

Kebelakangan ini, jumlah jangkitan di kalangan mereka yang terlibat dalam saingan Liga Perdana Inggeris – di kalangan pemain dan staff kejurulatihan – telah memaksa banyak perlawanan liga terpaksa ditunda, bermula dengan jangkitan yang bermula dalam pasukan Tottenham Hotspur.

Apabila berlakunya keadaan begini, Klopp berasa sangat risau dan sangat menekankan tentang kepentingan vaksinasi.

Pengurus Liverpool tersebut berkata dia tidak akan membawa masuk pemain, sama ada secara pinjaman atau pembelian terus, yang tidak mengambil dua suntikan vaksin dalam menjelang pembukaan jendela perpindahan bulan Januari.

“Aku rasa sangat penting, tentunya, dalam hal siapa yang kelab nak bawa masuk,” Klopp berkata sebelum perlawanan menentang Tottenham pada hari Ahad.

“Kalau pemain tu tidak divaksin langsung, dia akan menjadi ancaman yang berterusan kepada kami semua. Dia tak nak jadi ancaman, dia bukan jenis fikir ‘aku tak peduli orang lain’, tapi dia peduli sebenanya.”

Pengurus berbangsa Jerman tersebut turut menambah pandangannya tentang pembelian pemain yang tidak divaksin.

“Dari sudut pandangan secara organisasi, memang serabut la.

“Kita kena tengok dalam banyak situasi. Dia kena menukar pakaian di dalam bilik persalinan yang berbeza, dia kena makan di bilik makan yang berlainan, dia kena duduk dalam bas yang berbeza, dia kena pandu kereta yang berbeza.

“Kalau kau betul-betul nak ikut protokol, memang susah hanat nak buat.

“Kalau kita kena bermusafir ke negara untuk bermain bola sepak antarabangsa dan kita balik, dia kena asingkan diri, semua benda ni lah.

“Jadi, memang [vaksinasi] memainkan peranan [dalam membawa pemain baru ke Anfield].”

Dalam pada itu, Klopp juga turut membangkitkan kembimbangannya tentang Piala FA di mana lebih suku daripada jumlah pemain memilih untuk tidak mengambil suntikan vaksin.

Liverpool bakal menentang Shrewbury dalam pusingan ketiga piala paling tua di England tersebut pada bulan hadapan, dan dia mendakwa bahawa risiko jangkitan akan menjadi lebih tinggi apabila bermain di tempat lawan menentang kelab yang lebih kecil.

“Kita pergi ke tempat lawan untuk Piala FA, menukar baju di dalam bilik persalinan yang kecil,” ujar Klopp.

“Inilah yang berlaku pada tahun lepas, dan ini tidak difikir dengan sebaiknya.

“Kali ini kita bermain di tempat sendiri jadi okay lah sikit tapi kita kena selalu fikir tentang benda lain selain bola sepak.

“Kita lawan pasukan EFL di tempat sendiri tetapi orang lain kena main di tempat lawan dan aku tak pasti macam mana benda ni diorang buat sebab masalah masih lagi ada.

“Kita kena selesaikan masalah utama dan sebab itulah aku cakap benda ni bukan saja hentikan liga atau sambung macam biasa, ada banyak lagi benda yang kita kena tengok betul-betul.”

Dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur, kesilapan penjaga gol yang pernah diangkat sebagai terbaik di dunia, Alisson Becker, telah membolehkan pasukan lawan mendapat satu mata penting.

Tottenham terlebih dahulu mendahului Liverpool menerusi Harry Kane pada minit ke-13, sebelum Diogo Jota menyamakan kedudukan pada minit ke-35.

Pemain bek kiri, Andrew Robertson telah menjaringkan gol pendahuluan The Reds pada minit ke-69 menerusi tandukan dari jarak dekat hasil hantaran daripada Trent Alexander Arnolds.

Lima minit selepas itu, Alisson Becker telah menyapu angin di permukaan kotak penaltinya lantas membuka laluan kepada pemain sensasi Korea Selatan, Son Heung-Min menjaringkan gol penyamaan.

Tidak lama kemudian, Robertson terpaksa keluar awal apabila dilayangkan kad merah selepas menyepak kaki Emerson Royal.

Sumber : Goal

Baca Juga

Baca Juga