Klopp Dedah Punca Sebenar Shaqiri Dikeluarkan Walaupun Beraksi Cemerlang

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan beliau terpaksa membuat keputusan yang sukar apabila mengeluarkan Xherdan Shaqiri pada rehat separuh masa walaupun pemain tersebut mempamerkan permainan yang cemerlang pada 45 minit pertama perlawanan.

Liverpool meneruskan rentak cemerlang mereka musim ini dengan menewaskan Southampton dengan jaringan 3-0 di hadapan penyokong sendiri. Ia merupakan kemenangan ke-6 berturut-turut dicatatkan Liverpool sekaligus mengekalkan rekod permulaan sempurna musim ini.

Walaupun tidak menjaringkan gol, Shaqiri merupakan pemain terbaik Liverpool pada separuh masa pertama

Liverpool bermula dengan cukup garang sebaik sahaja wisel ditiupkan dengan serangan bertali arus ke arah kubu Southampton. Akhirnya pada minit ke-10, bek tengah Southampton Wesley Hoedt tertampan bola ke gawang sendiri untuk menjaringkan gol pembukaan perlawanan.

Tidak berapa lama kemudian, giliran Joel Matip pula mencatat nama selaku penjaring apabila menanduk masuk sepakan penjuru daripada Trent Alexander-Arnold. Gol ke-3 Liverpool hadir pada penghujung babak pertama menerusi Mohamed Salah yang pantas menolak masuk bola dari sepakan percuma Shaqiri yang terkena palang.

Perlawanan itu juga menyaksikan Shaqiri melakukan penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama Liverpool musim ini selepas berpindah dari Stoke City pada jendela perpindahan yang lalu. Walaupun bermain buat kali pertama, Shaqiri tidak menunjukkan sebarang tanda gugup dan beliau memainkan peranan penting dalam mencipta gol pertama dan ketiga Liverpool.

Sepakan percuma Shaqiri mengenai palang dan berjaya disambar Salah untuk gol ke-3 Liverpool

Namun demikian, kelibat Shaqiri tidak kelihatan di atas padang apabila separuh masa kedua bermula dengan James Milner mengambil dibawa masuk menggantikan Shaqiri.

Klopp mengakui kecederaan bukanlah punca Shaqiri dikeluarkan tetapi beliau terpaksa membuat keputusan tersebut demi kepentingan pasukan.

“Sejujurnya, ia bukan satu keputusan yang senang untuk dilakukan. Kadang kala tugas saya adalah untuk menyampaikan berita yang kurang enak untuk didengar.”

“Saya beritahu Shaqiri pada rehat separuh masa yang saya belum pernah mengeluarkan pemain yang bermain sangat baik dalam 45 minit pertama perlawanan.”

“Shaqiri tidak cedera, cuma saya mahu lebih kawalan dalam perlawanan tadi. Saya mahu kembali Liverpool kembali pada formasi asal, dan ia telah banyak membantu kami dalam perlawanan tadi.”

“Itulah yang terjadi pada rehat separuh masa tadi. Tetapi Shaqiri seorang pemain yang menakjubkan, jadi beliau tiada sebarang masalah dengan keputusan tersebut. Saya menerangkan sebab saya berbuat demikian kepadanya. Kebiasaannya, saya tidak perlu menjelaskan keputusan saya tetapi kali ini, ia merupakan tindakan yang wajar dilakukan.”

Virgil van Dijk terpaksa dikeluarkan pada minit ke-55 kerana mengalami kecederaan

“Saya akan melakukan tindakan yang sama walaupun jika kami mendahului 2-0. Itu rancangan asal. Kami dapat lihat yang kami mempunyai beberapa masalah pada separuh masa pertama.”

Klopp terpaksa merombak formasi pasukan menjadi 4-2-3-1 supaya Shaqiri dapat mengisi peranan No.10 dan ia ternyata satu tindakan yang berbaloi.

BACA:  Zidane Tidak Akan Tukar Cristiano Ronaldo Dengan Mohamed Salah