Klopp: Ia Merupakan Persembahan Terbaik Liverpool Di Tempat Lawan

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp melabel persembahan anak buahnya ketika tumpas di tangan Barcelona awal pagi tadi sebagai persembahan terbaik di tempat lawan yang pernah beliau saksikan dari pasukannya.

Dalam aksi pertama peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung di Nou Camp semalam, Barcelona dengan mudah menjinakkan Liverpool 3-0 di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah.

Walaupun dibelasah, Klopp anggap ia sebagai persembahan terbaik Liverpool di tempat lawan. Ermmm

Kapten Barcelona, Lionel Messi sekali lagi membuktikan mengapa beliau layak digelar sebagai ‘GOAT’ atau pemain terbaik sepanjang zaman apabila mempamerkan aksi yang cukup cemerlang untuk membantu Los Cules meraih bekalan yang cukup selesa untuk dibawa ke Anfield minggu hadapan.

Messi menjaringkan 2 gol dalam perlawanan tersebut dengan satu lagi gol dijaringkan oleh bekas pemain Liverpool, Luis Suarez yang mengakhiri kemarau gol beliau dalam Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Walaupun keputusan penuh menunjukkan Barcelona menang selesa dengan 3 gol tanpa balas, ia tidak menunjukkan apa yang benar-benar berlaku dalam pertembungan tersebut.

Liverpool menguasai hampir keseluruhan perlawanan dan mencatatkan 15 percubaan ke arah gol manakala Barcelona lebih tertumpu kepada serangan balas pantas yang direncana dengan cukup baik oleh Messi.

Klopp terpegun dengan sepakan percuma Messi

James Milner, Mohamed Salah dan Roberto Firmino masing-masing gagal menyempurnakan peluang yang terhidang di hadapan gol dan kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya Barcelona yang cukup tajam setiap kali bola berada dalam kotak penalti The Reds.

“Sebenarnya OK untuk kalah di tempat lawan dalam Liga Juara-Juara Eropah asalkan anda mampu menjaringkan gol. Tetapi kami gagal melakukannya dan itulah masalah yang kami hadapi sekarang.” Ujar Klopp kepada wartawan selepas tamat perlawanan.

“Ia menjadikan hidup kami lebih sukar. Pemain saya menerima pujian daripada banyak pihak atas persembahan mereka dan bagaimana mereka berkembang menjadi pasukan yang bagus.”

“Saya menonton perlawanan tadi dengan penuh kegembiraan tetapi kami kalah. Tetapi saya sudah berkecimpung dalam sukan ini untuk satu tempoh yang cukup lama dan saya sudah belajar bagaimana untuk menerima kekalahan.”

“Pemain saya tidak akan menyerah kalah. Sebab itu saya gembira. Tiada parti dalam bilik persalinan selepas kami kalah. Perlawanan ini akan menjadi detik penting dalam pembangunan pasukan ini.”

“Saya percaya ini adalah persembahan di tempat lawan terbaik pernah saya saksikan dari anak buah saya sepanjang beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah. Dan ini juga adalah mesej yang penting kepada kami.”

The ‘Kambing’

Messi melengkapkan malam penuh gemilangnya dengan menjaringkan sepakan percuma yang cukup cantik dari luar kotak penalti. Ia merupakan jaringan ke-600 Messi untuk Barcelona dan akan kekal dalam memori peminat bola sepak untuk satu tempoh yang cukup lama.

“Dalam keadaan macam tu, Messi tidak boleh dihalang. Kami tidak boleh bertahan ketika sepakan percuma diambil.” Beritahu Klopp mengenai gol sepakan percuma Messi.

BACA:  Emre Can Mahu Liverpool Tamatkan Musim Di Kedudukan Ke-2 Liga