Berikutan kemenangan Liverpool ke atas Tottenham Hotspurs awal pagi tadi, Jurgen Klopp melabel malam tadi sebagai malam terbaik sepanjang kariernya.
Liverpool berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-6 sepanjang sejarah apabila tenang menundukkan Spurs 2-0 di hadapan puluhan ribu penyokong yang memenuhi Wanda Metropolitano Stadium.
Perlawanan yang dilabel akan berlangsung sengit nyata gagal merapati ramalan selepas kedua-dua pasukan memilih untuk bermain lebih selamat. Sesetengah pihak melabel perlawanan final itu sebagai antara yang terbosan tetapi anda sudah tentu boleh mengagak dakwaan itu datang daripada penyokong mana.
Liverpool berjaya membuka jaringan seawal minit ke-2 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh penyerang antarabangsa Egypt, Mohamed Salah. Pengadil menghadiahkan penalti kepada Liverpool selepas bola didakwa terkena tangan Moussa Sissoko.
Ulang tayang menunjukkan penalti tidak sepatutnya diberikan tetapi Liverpool tidak kisah. Selepas gol Salah, perlawanan berlangsung dengan agak bosan sehingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan Mauricio Pochettino memasukkan hero separuh akhir, Lucas Moura untuk memberi sengat pada jentera serangan. Hasilnya, perlawanan menjadi lebih terbuka dan penyokong mula hilang mengantuk sementara menunggu waktu bersahur.
Spurs melancarkan serangan berterusan ke kubu Liverpool dan penjaga gol kedua termahal dunia, Alisson Becker dipaksa bekerja keras sehingga perlawanan memasuki waktu kecederaan. Pada minit ke-87, penyerang berasal dari Belgium yang juga hero separuh akhir, Divock Origi menambah derita Spurs apabila menjaringkan gol ke-2 Liverpool sekaligus mengesahkan malam penuh gemilang buat pasukan The Reds.
“Malam ini adalah malam terbaik sepanjang karier profesional kami. Adakah anda pernah melihat pasukan seperti kami, berjuang tanpa minyak di dalam tangki ?” Ujar Klopp kepada pemberita selepas tamat permainan.
“Malam ini adalah cabaran yang sukar kerana perlu bermain selepas berehat 3 minggu. Untuk kembali mendapatkan rentak dan untuk melihat dua pasukan Inggeris berentap, ia sesuatu yang hebat. Ini merupakan satu pertarungan.”
“Malam ini anak buah saya telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan Alisson terpaksa melakukan beberapa saves. Beliau bermain cukup hebat, seperti tidak dapat ditewaskan. Ia banyak membantu kami, selain menjaringkan gol.”
Bek kanan England, Trent Alexander Arnold mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama di bawah usia 21 tahun bermain dalam kesebelasan utama bagi dua final berturut-turut. Selain itu, beberapa pemain Liverpool turut mengutip medal kemenangan buat pertama kali dan Klopp berkata ini mungkin detik bermulanya sebuah dinasti di Anfield.
“Ini hanya permulaan bagi kumpulam pemain ini. Kumpulan ini berada dalam umur yang bagus. Saya mempunyai banyak pingat perak dan sekarang saya mempunyai pingat emas. Ini adalah sesuatu yang hebat !”