Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya banyak pihak terlepas pandang Chelsea sebagai pencabar utama untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Chelsea dan Liverpool akan bertemu sebanyak dua kali dalam tempoh 4 hari minggu ini dengan aksi pusingan ke-3 Piala Carabao bakal berlangsung terlebih dahulu di Anfield awal pagi Khamis nanti.
Kemudian, anak buah Klopp akan berkunjung ke Stamford Bridge untuk saingan Liga Perdana Inggeris dan mereka bakal berdepan tugas getir untuk mengekalkan rekod seratus peratus kemenangan yang dimiliki mereka ketika ini.
Chelsea kini ketinggalan 2 mata di belakang Liverpool yang selesa mendahului carta Liga Perdana Inggeris selepas meraih 6 kemenangan dari 6 perlawanan. Chelsea sekadar seri tanpa jaringan menentang West Ham hujung minggu lalu dan pada masa yang sama meleburkan rekod kemenangan seratus peratus yang dimiliki sebelum perlawanan bermula.
Selepas mempamerkan permulaan yang sempurna, banyak pihak menganggap Liverpool sebagai calon pilihan untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini disamping Manchester City. Tetapi menurut Klopp, beliau berasa agak terkejut kerana pihak media tidak meletakkan Chelsea dalam perbincangan untuk menjulang kejuaraan liga musim ini walaupun mereka memiliki pasukan yang hebat.
“Saya tahu apa yang orang ramai selalu perkatakan sekarang. Banyak pihak menganggap Liverpool dan Manchester City sebagai pasukan pilihan untuk kejuaraan liga tetapi mereka terus lupa mengenai Chelsea.”
“Chelsea merupakan pasukan yang berpengalaman. Mereka sudah pon menang liga sebelum ini. 80% dari skuad mereka sudah memenangi liga sebanyak dua kali, jadi mereka tahu bagaimana untuk memenanginya lagi.”
“Chelsea memiliki kumpulan pemain yang bagus dan pasukan bola sepak yang cukup kuat.”
Apa yang menakjubkan mengenai pasukan Chelsea ini adalah Maurizio Sarri hanya mengambil alih pasukan pada 14 Julai kerana menunggu isu pampasan antara Napoli dan Sarri. Ia bermakna Sarri hanya mempunyai masa yang singkat untuk mempersiapkan skuadnya untuk menghadapi musim baru.
Tambah perit, beberapa pemain utama Chelsea seperti Olivier Giroud, Eden Hazard, N’Golo Kante, dan Willian melaporkan diri untuk pra-musim sedikit lewat kerana terlibat dalam Piala Dunia yang lalu.
Namun begitu, perkara tersebut tidak menjadi alasan buat Sarri dan Chelsea tidak menunjukkan sebarang masalah setakat ini walaupun melalui pra-musim yang pendek.
“Ia merupakan perubahan sistem paling besar dalam waktu yang singkat pernah saya lihat dalam sebuah pasukan. Style permainan Chelsea terus berubah. Wow. What a manager Sarri is !”
“Saya merupakan peminat beliau sejak kali pertama melihat pasukannya di Naples. Mereka mempamerkan bola sepak yang menakjubkan dan sekarang beliau melakukan perkara yang sama walaupun pra-musim yang tidak sempurna dan tanpa beberapa pemain utama yang tidak terlibat.”