Klopp: Kenapa Kami Perlu Bermain Seperti Manchester City ?

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata pasukannya tidak perlu bermain seperti Manchester City selepas meraih kemenangan ke atas Southampton awal pagi tadi untuk kembali berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Dalam satu-satunya perlawanan awal pagi tadi, Liverpool bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas pasukan tuan rumah.

Liverpool dihukum SHane Long pada awal permainan.

Soton terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Shane Long seawal minit ke-9. Ia sedikit sebanyak menggugat keyakinan peminat YNWA yang sanggup berjaga malam semata-mata untuk melihat pasukan kesayangan mereka beraksi.

Pemain yang dicanang bakal kembali ke Jerman musim depan, Naby Keita menghilangkan kerisauan peminat Liverpool apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-36 menerusi satu tandukan padu yang gagal ditepi dengan baik penjaga gol Soton, Angus Gunn.

Separuh masa kedua berlangsung dengan rancak. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada gol yang terhasil sehinnga masuk minit ke-80. Pemain terbaik Liverpool musim lepas, Mohamed Salah melakukan serangan balas pantas sebelum bijak memperdayakan penjaga gol untuk Liverpool berada di hadapan.

Salah akhirnya menamatkan kemarau jaringan

Kapten Liverpool, Jordan Henderson melengkapkan malam penuh gemilang The Reds apabila menjaringkan gol ke-3 pasukannya untuk membawa pulang 3 mata berharga sekaligus merampas kembali tangga teratas dari Manchester City yang bermain kurang satu perlawanan.

Kemenangan malam tadi juga adalah kemenangan ke-3 berturut-turut Liverpool dengan gol kemenangan hadir selepas permainan memasuki minit ke-80. Ia jelas menunjukkan Liverpool terpaksa berhempas pulas sebelum mendapat 3 mata manakala Manchester City menewaskan lawan seperti Fulham dan Cardiff dengan agak mudah.

Melihat kepada situasi tersebut, Klopp berkata Liverpool tidak perlu meniru mana-mana pasukan untuk mencari kemenangan dan beliau lebih daripada gembira jika Liverpool mampu meneruskan prestasi sekarang.

Henderson mematikan sisa-sisa perjuangan Soton dengan gol pada lewat permainan

“Persembahan kami bukan pada tahap terbaik tetapi yang penting kami berjuang. Ramai pihak mahu kami bermain seperti Manchester City.”

“Kami tidak boleh meniru mereka. Kenapa kami perlu bermain seperti Manchester City ? Kami bermain bola sepak kami sendiri. Ini merupakan cara yang baik untuk menang.”

“Sekarang kami mempunyai 82 mata. Ini merupakan pungutan mata yang besar dalam liga yang gila yang dipenuhi pasukan lawan yang kuat. Semua pasukan menunggu kami. Saya sangat bangga kerana keputusan ini amat menakjubkan.”

“Saya sangat gembira dengan persembahan para pemain kerana kami tahu ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Untuk menang di sini bukanlah mudah tetapi kami berjaya melakukannya dengan sangat baik.”

“Kami melalui beberapa perlawanan tanpa bermain pada tahap terbaik tetapi kami sentiasa berada dalam permainan. Saya sangat bangga dengan apa yang pemain saya lakukan malam ini.”

BACA:  Mohamed Salah Memiliki Bonus Tambahan Yang Sungguh Dasyat Dalam Kontraknya