Klopp: Liverpool Patut Bayar ‘Double’ Untuk Alisson !

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata Liverpool sepatutnya membayar dua kali ganda harga yang mereka bayar untuk dapatkan Alisson selepas penjaga gol tersebut menyelamatkan percubaan minit terakhir Napoli dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Aksi menyelamat Alisson berjaya membawa Liverpool mara ke pusingan kalah mati, mengiringi Paris Saint-Germain yang tenang menundukkan Red Star Belgrade 4-1 untuk muncul juara kumpulan C.

67 darab 2, 134 juta !! Itu jumlah yang Liverpool patut bayar kepada Roma

Alisson berpindah ke Anfield dari Roma pada musim panas lalu dalam perjanjian bernilai £67 juta, sekaligus muncul penjaga gol kedua termahal dunia ketika ini di belakang penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Dan yuran mahal yang dibayar Liverpool nyata berbaloi apabila penjaga gol antarabangsa Brazil itu berjaya menyelamatkan percubaan penyerang Napoli, Arkadiusz Milik pada waktu kecederaan bagi membolehkan Liverpool meraih tiga mata penuh.

Sekiranya Napoli berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1, Liverpool secara automatik akan tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah dan akan menemani Arsenal dan Chelsea bermain dalam Europa League, kejohanan yang dipandang sepi peminat bola sepak Inggeris.

Klopp jelas tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya melihat Alisson menjadi penyelamat Liverpool sambil melabel aksi menyelamat Alisson sebagai ‘save of the season’.

Tangan panjang Alisson berjaya membawa Liverpool ke pusingan seterusnya

“Penjaga gol kami telah melakukan aksi menyelamat paling hebat musim ini. Saya tidak ada sebarang idea bagaimana beliau menyelamatkan percubaan tersebut.”

“Syukur kepada Tuhan kami mempunyai Alisson. Jika saya tahu beliau sebagus ini, saya akan bayar dua kali ganda !”

“Saya rasa tiada siapa sangka Alisson akan menyelamatkan percubaan tersebut dalam situasi yang dihadapinya.”

“Alisson melakukan banyak perkara malam ini tetapi ketenangan beliau menunjukkan kualiti yang dimilikinya. Tetapi beliau masih memerlukan pemain-pemain lain untuk berada di sisinya. Beliau tidak perlu melakukan 100 ‘saves’ seperti itu dalam perlawanan tadi.”

“Apa yang pemain saya lakukan malam ini adalah luar biasa dan sangat istimewa. Mereka berjaya mencipta atmosfera yang sangat menakjubkan. Tubuh saya masih lagi dipenuhi dengan adrenaline ketika ini, sukar untuk dipercayai apa yang berlaku tadi.”

Jaringan tunggal dari Mohamed Salah pada babak pertama sudah cukup untuk membawa The Reds ke pusingan kalah mati dimana mereka menamatkan peringkat kumpulan di tempat ke-2, di belakang PSG.

Menurut Klopp, Liverpool mampu mengelak untuk melalui detik-detik sukar pada penghujung perlawanan sekiranya jentera serangan menggunakan peluang yang terhidang dengan sebaiknya. Sadio Mane antara pemain yang memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi kalau bola tu taknak masuk, memang taknak masuk lah.

‘Save of the season ‘ menurut Klopp

“Ya kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol. Tempoh paling sukar berlaku selepas kami berjaya menjadikan kedudukan 1-0. Ia menjadikan perlawanan itu lebih tegang.”

“Kami sedar kami tidak boleh menukar taktik. Selepas 65 minit perlawanan, segalanya berlangsung dengan liar, kedua-dua pasukan saling melakukan counter-attack tanpa sebarang penyudah.”

“Saya cukup bangga dengan apa yang pemain saya telah lakukan dalam perlawanan tadi.”

BACA:  Premier League 2020/21: Brighton & Hove Albion 1-1 Liverpool