Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp telah membandingkan tabiat pasukannya menghancurkan pasukan lawan dalam tempoh masa yang singkat dengan pasukan Manchester United ketika era Sir Alex Ferguson.
Liverpool berjaya menjaringkan 3 gol dalam tempoh masa 19 minit untuk menyentap semangat perjuangan Manchester City ketika perlawanan pertama pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung di Anfield tempoh hari. Liverpool akhirnya menyingkirkan juara Liga Perdana Inggeris musim ini dengan aggregat 5-1.
Klopp dilihat akan menggunakan taktik yang sama apabila AS Roma bertandang ke tempat mereka awal pagi nanti dalam pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Bekas pengurus Borussia Dortmund itu turut mengakui beliau menjadikan pasukan Manchester United ketika era Sir Alex Ferguson sebagai panduan untuk merencana taktikal pasukannya dalam pertandingan kalah mati.
“Ada sesuatu yang menarik dalam skuad Manchester United di bawah Sir Alex Ferguson. Mereka sering menjaringkan dua gol dalam masa yang agak singkat.”
“Mereka melihat ada peluang untuk menambah jaringan kedua selepas menjaringkan gol pertama. Mereka pandai menggunakan momentum dalam perlawanan. Sudah tentu cakap sahaja tidak berguna kerana kami perlu menjaringkan gol terlebih dahulu.”
“Pasukan Liverpool sekarang dalam keadaan yang cukup bersemangat. Mereka sedang melalui prestasi yang cemerlang dan saya gembira untuk melihatnya.”
“Dua perlawanan menentang Manchester City merupakan perlawanan yang istimewa buat kami. Kami berjaya menghadapi situasi sukar menentang Manchester City di tempat sendiri dan lawan dengan begitu baik sekali.”
“Persembahan kami dalam dua perlawanan tersebut berjaya membawa Liverpool mara ke separuh akhir. Walaupun pada saat kami tidak mampu menguasai perlawanan, seluruh pasukan masih lagi mampu memberikan ancaman gol kepada pihak lawan dan ia telah banyak membantu Liverpool untuk mara ke peringkat ini.”
Klopp juga berkata peluang untuk membawa Liverpool ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah tidak harus dianggap sebagai pengalaman sekali seumur hidup. Untuk rekod, pertemuan menentang AS Roma awal pagi esok merupakan perlawanan separuh akhir pertama mereka dalam kejoahan tersebut untuk tempoh sedekad.
“Adakah saya meletakkan tekanan yang tinggi terhadap pemain saya ? Adakah saya harus beritahu pemain saya untuk melayan perlawanan menentang AS Roma sebagai peluang sekali seumur hidup untuk beraksi di perlawanan akhir Liga Juara-Juara ?”
“Sudah tentu mereka tidak mahu mendengar ucapan tersebut sebelum bermulanya perlawanan. Ia bukan peluang sekali seumur hidup. Saya telah berada di peringkat separuh akhir buat kali kedua sepanjang hidup dan jika kami berjaya mara ke final, ia akan menjadi final kedua saya sepanjang hidup.”