Klopp Persoal Beberapa Keputusan Pengadil Yang Meragukan Ketika Liverpool Seri Menentang West Ham

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya pasukannya gagal mencapai keputusan yang dikehendaki ketika menentang West Ham akibat beberapa keputusan pengadil yang meragukan.

Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, West Ham berjaya mengikat Liverpool di tempat sendiri dengan keputusan 1-1 seterusnya menafikan impian Liverpool untuk membawa pulang 3 mata.

Ko tak puas hati apa lagi Kulop ? Dah la Milner offside. Mujur la Origi tu kaki bangku, kalau tak dua-dua gol offside. Phuiii

Liverpool terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan pemain antarabangsa Senegal, Sadio Mane pada minit ke-22 hasil umpanan daripada James Milner. Ulang tayang menunjukkan Milner sebenarnya berada dalam keadaan offside ketika menerima bola dan gol tersebut tidak sepatutnya dikira.

Walaupun pengadil gagal mengenal pasti gol offside Liverpool, ia tidak menjejaskan semangat West Ham untuk mencari gol penyamaan. Hasilnya, pada minit ke-28, The Hammers berjaya mengikat kedudukan hasil jaringan pemain tengah Michail Antonio.

Liverpool melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu West Ham pada babak kedua dan mereka hampir menjaringkan gol kemenangan menerusi Divock Origi tetapi pemain tersebut gagal memanfaatkan peluang yang dimilikinya.

Klopp kecewa dengan persembahan pengadil walaupun memiliki satu gol offside

Jika Origi berjaya menyempurnakan gol tersebut, sudah tentu ia akan menjadi satu lagi gol kontroversi daripada Liverpool kerana Origi juga berada dalam keadaan offside ketika menerima bola.

Sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, Klopp menghampiri pengadil perlawanan, Kevin Friend untuk meluahkan perasaan tidak puas hatinya atas beberapa keputusan pengadil yang agak meragukan dan meragut peluang Liverpool untuk mengutip 3 mata penuh.

“Kami mempunyai beberapa peluang yang baik dan berjaya menjaringkan gol, yang mana saya diberitahu gol tersebut sebenarnya adalah offside.” Ujar Klopp kepada Sky Sports selepas tamat permainan.

“Ini mungkin menerangkan apa yang berlaku pada separuh masa kedua kerana saya rasa pengadil tahu mengenai perkara tersebut pada rehat separuh masa.”

“Saya pasti pengadil tahu mengenai gol offside itu pada rehat separuh masa, dan selepas itu anda dapat lihat beberapa situasi yang janggal berlaku. Keputusan pengadil mungkin tidak berapa penting tetapi ia menggangu rentak permainan kami. Ia jelas tidak membantu kami.”

“Jika saya melakukan kesilapan pada separuh masa pertama, sebagai seorang manusia, saya tidak akan berterusan membuat lebih banyak kesilapan.”

Aguero dan rakan-rakan berpeluang memintas Liverpool sekiranya menang ke atas Everton pagi Khamis nanti

Dalam 5 perlawanan Liga Perdana Inggeris terakhir Liverpool, mereka telah kehilangan 7 mata. Kekalahan kepada Manchester City, dua keputusan seri menentang Leicester, dan seri menentang West Ham malam tadi telah membuka ruang untuk pasukan Pep Guardiola kembali bernafas dalam misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Manchester City berpeluang merampas kedudukan Liverpool di persada liga buat seketika sekiranya berjaya menang ke atas Everton pada pagi Khamis nanti.

BACA:  Calvin Ramsay Dedah Sebab Utama Mengapa Beliau Memilih Liverpool