Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji persembahan yang ditampilkan Loris Karius kebelakangan ini sambil menambah beliau adalah pengurus yang bodoh jika tidak mengakui Karius adalah penjaga gol yang bagus.
Karius sekali lagi mencatatkan ‘clean sheet’ ketika Liverpool mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle awal pagi tadi untuk memintas kedudukan Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris. United hanya akan turut bermain awal pagi Isnin menentang Crystal Palace.
Peningkatan prestasi yang dipamerkan Karius beberapa bulan kebelakangan ini telah menggembirakan bekas pengurus Dortmund ini yang bertanggungjawab membawa Karius dari Bundesliga ke England dua tahun yang lepas.
Karius menyertai Liverpool pada musim panas 2016 dari Mainz 05 bagi memberikan saingan kepada seorang lagi penjaga gol Liverpool iaitu Simon Mignolet.
Mignolet sering berdepan masalah konsistensi sepanjang berada di Anfield dan Klopp membawa masuk Karius dengan harapan pemain tersebut mampu menggantikan tempat Mignolet selaku penjaga gol utama Liverpool.
Walaubagaimanapun, Karius turut berdepan masalah konsistensi sama seperti yang dihadapi Mignolet. Klopp terpaksa menggilirkan penjaga gol Liverpool dengan harapan persaingan yang sihat mampu memberikan yang terbaik kepada kelab dan juga kepada pemain.
Segalanya berubah pada separuh masa kedua Liga Perdana Inggeris musim ini. Liverpool mengenalpasti masalah utama mereka dan mendapatkan khidmat Virgil van Dijk untuk memperkukuhkan bahagian pertahanan.
Hasilnya, pertahanan Liverpool dilihat beraksi lebih baik pada tahun 2018 dengan penjaga gol mendapat lebih perlindungan.
Prestasi Liverpool juga meningkat dengan mendadak dan Karius antara pemain yang mendapat faedah dari tindakan Klopp memperkuatkan bahagian pertahanan Liverpool.
Pada masa ini, Karius dianggap pilihan pertama bagi mengisi posisi penjaga gol dihadapan Mignolet. Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan Newcastle, Klopp berkata beliau gembira melihat perkembangan penjaga gol berusia 24 tahun sejak menyertai Liverpoool.
“Jika saya katakan beliau bukan penjaga gol yang bagus, saya adalah pengurus paling bodoh dalam dunia. Mungkin ada yang berkata saya bodoh, tetapi Karius adalah penjaga gol yang mempunyai skill yang amat tinggi.”
Great team win and a well deserved clean sheet
What more can you ask for? ?#LK1 #YNWA #LFC pic.twitter.com/jtUe1Df5KE— Loris Karius (@LorisKarius) March 3, 2018
“Permulaan beliau di Liverpool tidak berlangsung dengan baik dan orang di luar sana cepat untuk menghukum beliau. Karius perlukan lebih masa dan beliau perlu berlatih dengan John Achterberg [jurulatih penjaga gol Liverpool]. Sekarang beliau bermain dengan lebih kerap dan bermain dengan sangat baik.”
“Tiada penjaga gol dalam dunia ini yang tidak melakukan kesilapan. Bagi penjaga gol, mereka memerlukan masa yang tepat untuk menyerlah.”
“Jika penjaga gol itu tidak melakukan sebarang kesilapan pada 50 perlawanan pertama, peminat akan berkata beliau adalah yang terbaik. Walaupun penjaga gol itu bertanggungjawab melepaskan 3 gol secara berturut-turut, peminat masih lagi akan berkata, ‘Tetapi beliau pemain bertaraf dunia’.”
“Karius telah bermain baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan ini satu perkembangan yang bagus buat kami. Kami mesti teruskan momentum ini.”