Sukan Olimpik Rio telah dirasmikan dengan gilang gemilang cemerlang terbilang dan disertai ratusan Negara, dari sebesar Russia, sehinggalah sekecil Micronesia, dari sepopular Amerika Syarikat sehinggalah seasing Comoros (mesti korang google kat mana Comoros ni). Namun, di kalangan kontijen-kontinjen Negara yang bertanding, ada dua kontinjen yang unik dan tidak didaftarkan di bawah kontinjen Negara iaitu Kontinjen Bebas dan Kontinjen Pelarian.
Kedua-dua kontinjen ini menggunakan bendera Olimpik lima gelung illuminati sebagai bendera rasmi mereka.
Kenapa dua kontinjen ini ditubuhkan?
Tujuan penubuhan kedua-dua kontinjen sedikit berlainan.
Kontinjen Bebas
Kontinjen bebas diwujudkan atas sebab-sebab berikut :
Majlis olimpik negara digantung kerana campur tangan kerajaan.
Biasanya, punca utama majlis olimpik sesebuah negara digantung adalah kerana campur tangan kerajaan. Ya, sama seperti persatuan bola sepak. Sukan adalah satu aktiviti yang menggalakkan kebebasan dari campur tangan kerajaan, dan jika sesebuah majlis olimpik didapati terdapat campur tangan kerajaan seperti penentuan siapa presiden dan ahli jawatankuasa, penentuan dasar-dasar majlis olimpik dan sebagainya.
Bagi Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merupakan satu badan bebas tanpa campur tangan kerajaan, tetapi berhubung baik dengan kerajaan melalui kerjasama dinamik dengan Majlis Sukan Negara. Jika Khairy Jamaluddin, secara tiba-tiba, mengambil alih MOM tanpa sebab yang kukuh akan menyebabkan MOM digantung dan para atlet Malaysia tidak akan dapat bertanding di sukan Olimpik di bawah panji Malaysia.
Bayangkan Lee Chong Wei terpaksa mewakili kontinjen bebas, lalu menang pingat emas. Kesian.
Untuk Olimpik Rio, Majlis Olimpik Kuwait digantung keahliannya kerana sebab di atas, kali kedua dalam tempoh lima tahun, dan atlet mereka bertanding dengan menggunakan bendera Olimpik.
Antara atlet mereka dan acara yang disertai ialah :
Atlet | Acara |
---|---|
Ahmad Al-Afasi | Menembak – Double trap lelaki |
Fehaid Al-Deehani | Menembak – Double trap lelaki |
Abdulrahman Al-Faihan | Menembak – Trap lelaki |
Khaled Al-Mudhaf | Menembak – Trap lelaki |
Abdullah Al-Rashidi | Menembak – Skeet lelaki |
Saud Habib | Menembak – Skeet lelaki |
Abbas Qali | Renang – 100m kuak kupu-kupu lelaki |
Faye Sultan | Renang – 50m gaya bebas wanita |
Abdulaziz al Shatti | Lawan pedang |
Majlis olimpik negara digantung kerana kecelaruan dalam pemilihan agung
Seperti di Malaysia, pemilihan jawatankuasa sesetengah persatuan sukan sudah menjadi seperti pilihanraya umum di mana pelbagai janji ditabur dan usai pemilihan, terdapat unsur-unsur penipuan, penyelewengan dan juga kekarutan proses pengundian. Perkara yang sama juga turut berlaku di sesetengah negara sehingga menimbulkan krisis dalam persatuan dan akhirnya menyebabkannya tergantung.
Jadi, apabila perkara seumpama ini berlaku, maka Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) akan menggantung keahlian majlis olimpik sesebuah negara tersebut dan menyebabkan atlet negara tersebut tidak dapat bertanding di bawah panji negara masing-masing.
Peralihan politik
Selain dari masalah majlis olimpik negara, ada juga atlet yang bertanding di bawah panji Koninjen Bebas kerana peralihan politik di negara masing-masing. Contohnya, Timor Leste.
Pada zaman dahulu kala, Timor Leste merupakan sebuah wilayah di bawah jajahan takluk Indonesia, namun mencapai kemerdekaan pada tahun 2002. Selepas merdeka, Timor Leste melalui fasa untuk pengiktirafan di dunia dan memandangkan penubuhan majlis sukan ini memakan masa, maka atlet mereka yang bertanding di olimpik akan memegang tiket kontinjen bebas. Sekiranya majlis sukan negara tersebut telah ditubuhkan dan diiktiraf badan sukan dunia, maka atlet Timor Leste mempunyai hak untuk membawa bendera Timor Leste di Olimpik.
Pada Olimpik 1992, satu kontinjen dinamakan Pasukan Bersatu (Unified Team) ditubuhkan sebagai paltform atlet dari negara Soviet Union yang ketika itu baru dibubarkan, untuk bertanding di Olimpik. Pasukan bersatu ini terdiri dari negara-negara berikut :
Armenia
Azerbaijan
Belarus
Georgia
Kazakhstan
Kyrgyzstan
Moldova
Russia
Tajikistan
Turkmenistan
Menariknya, kontinjen Unified Team ini berjaya merangkul 45 pingat emas di Barcelona. Selepas edisi 1992, setiap negara dalalm Unified Team ini bertanding di bawah panji negara masing-masing.
Kontinjen Pelarian
Edisi Olimpik 2016 mempunyai keistimewaannya tersendiri di mana Kontinjen Pelarian telah ditubuhkan untuk memberikan peluang kepada atlet dari negara yang sedang mengalami peperangan seperti Syria dan Sudan Selatan. Penyertaan mereka adalah di bawah pembiayaan geran khas sebanyak USD 2juta dari IOC.
Setiap atlet ini melarikan diri dari negara masing-masing dan menumpang di negara lain. Contohnya Yusra Mardini,17 tahun, melarikan diri dari Syria hanya dengan menaiki bot pelampung ke Greece dari Turki dan menaiki keretapi merentasi eropah dan akhirnya menumpang di Jerman. Maka penyertaan Yusra di Olimpik kali ini disahkan oleh Majlis Olimpik Jerman dan menggunakan perbelanjaan dari IOC.
Senarai atlet yang bertanding di bawah kontinjen ini ialah :
Atlet | Negara asal | Negara ditumpang | Sukan | Acara |
---|---|---|---|---|
James Chiengjiek | South Sudan | Kenya | Olahraga | 400 m |
Yiech Biel | South Sudan | Kenya | Olahraga | 800 m |
Paulo Lokoro | South Sudan | Kenya | Olahraga | 1500 m |
Yonas Kinde | Ethiopia | Luxembourg | Olahraga | Marathon |
Popole Misenga | Republik Demokratik Congo | Brazil | Judo | 90 kg |
Rami Anis | Syria | Belgium | Renang | 100 m kuak kupu-kupu |
Rose Lokonyen | South Sudan | Kenya | Olahraga | 800 m |
Anjelina Lohalith | South Sudan | Kenya | Olahraga | 1500 m |
Yolande Mabika | Republik Demokratik Congo | Brazil | Judo | 70 kg |
Yusra Mardini | Syria | Germany | Renang | 100 m gaya bebas |
Kesimpulan
Pingat emas Sukan olimpik adalah impian setiap atlet di dalam dunia dan tiada apa yang dapat menghalang seseorang atlet untuk bertanding di temasya empat tahun sekali ini. Kontinjen-kontinjen di atas membuktikan politik, perang, rampasan kuasa dan perdana menteri gila bukanlah sesuatu yang mematahkan semangat bagi seorang atlet untuk mencapai impian. Bak kata pepatah Republik Demokratik Congo; Kalau ada kemahuan, di situ ada jalan.
Sumber rujukan artikel :