Kos Besar di Old Trafford: United Rugi £27.7 Juta Kerana Krisis Dalaman

Manchester United mengalami kerugian besar untuk musim ini, dengan kos luar biasa mencecah £14.5 juta. Ia termasuk bayaran untuk memecat Erik ten Hag dan kakitangannya serta Dan Ashworth yang hanya sempat menjadi pengarah sukan selama 5 bulan sebelum dia meninggal kelab itu.

Secara keseluruhan, United mencatat kerugian £27.7 juta dalam suku kedua musim 2024-25. Sejak musim 2019-20, jumlah keseluruhan kerugian kelab sudah mencecah £373 juta. Disebabkan masalah kewangan ini, pemilik minoriti Sir Jim Ratcliffe telah mula memotong kos di seluruh kelab.

Pada musim panas lepas, United sudah membuang 250 pekerja dan kini lebih 100 pekerja lagi berisiko hilang kerja. Selain itu, kegagalan United layak ke Liga Juara-Juara musim ini juga menyebabkan pendapatan kelab jatuh 12% kerana kurang bayaran siaran.

Disebabkan itu, United peelu lebih berhati-hati dengan peraturan kewangan Premier League (PSR) dan UEFA (FFP). Kelab sudah memberi amaran bahawa mereka mungkin melanggar peraturan ini pada masa depan jika tidak mengambil langkah berjimat.

Walaupun berdepan masalah kewangan, United masih meneruskan projek besar seperti menaik taraf pusat latihan Carrington dan merancang masa depan Stadium Old Trafford dengan sokongan kerajaan UK.

Dari segi prestasi, keadaan masih tidak berubah. Ruben Amorim, pengurus baru United, masih gagal mengangkat prestasi pasukan yang kini berada di kedudukan bawah liga. Namun CEO United, Omar Berrada menegaskan kelab sedang berusaha memperbaiki situasi.

“Kami tahu pasukan lelaki menghadapi cabaran besar tapi kami semua sedang bekerja keras untuk perbaiki kedudukan liga,” katanya.

Dia juga menambah bahawa pasukan wanita United kini berada di tempat ke-2 dalam Liga Super Wanita dan berjaya mara ke suku akhir Piala FA. Sementara itu kerja naik taraf di Carrington berjalan seperti dirancang dan kelab sedang mencari jalan terbaik untuk menambahbaiki Old Trafford.

BACA:  Premier League 2020/21: Manchester United 2-1 Brighton & Hove Albion