Kovac: Bayern Munich Tidak Boleh Lakukan Kesilapan Apabila Berdepan Liverpool

Pengurus Bayern Munich, Niko Kovac memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak melakukan sebarang kesilapan apabila turun menentang Liverpool dalam saingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Rabu nanti.

Kovac percaya Bayern Munich perlu berada di tahap yang terbaik ketika bertemu The Reds jika mereka memasang impian untuk mara lebih jauh dalam kejohanan berprestij tersebut.

Bayern dipaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan tipis menentang pasukan yang berada di tangga ke-15 liga

Dalam perlawanan Bundesliga awal pagi tadi, Bayern terpaksa bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas pasukan bawahan, Augsburg. Bayer ketinggalan sebanyak 2 kali dalam perlawanan tersebut tetapi gol jaringan David Alaba pada awal babak kedua sudah cukup untuk memberi 3 mata berharga kepada The Bavarians.

Namun begitu, Kovac meluahkan kerisauannya terhadap barisan pertahanan Bayern yang agak longgar sepanjang perlawanan. Sejak masuk tahun 2019, Bayern telah mengharungi 6 perlawanan tetapi masih gagal untuk mencatat sebarang ‘clean sheet’.

“Kesilapan di bahagian pertahanan tidak boleh berlaku apabila kita bermain menentang Liverpool. Apabila pemain saya memberikan ruang kepada Liverpool nanti, terutamanya dengan gandingan 3 serangkai mereka, kami akan berada dalam keadaan bahaya dalam setiap minit.”

Alaba penjaring gol kemenangan. Mampukah beliau membuat perkara yang sama apabila bertemu Liverpool nanti ?

“Sebab itulah amat penting untuk kami menggunakan bola dengan penuh tanggungjawab dan bermain dengan penuh disiplin.”

Bayern seharusnya berterima kasih kepada pemain sayap Perancis, Kingsley Coman yang berjaya menyumbang 2 gol dan mencipta assist untuk gol kemenangan Alaba. Walau bagaimanapun, kegembiraan peminat Bayern sedikit terjejas apabila Coman terpaksa dikeluarkan pada pertengahan permainan kerana mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki.

Malang tidak berbau buat Coman kerana terpaksa diusung keluar. dan mungkin tidak dapat bermain menentang Liverpool.

Kovac berharap Coman akan sempat sembuh menjelang kunjungan ke Anfield beberapa hari lagi namun beliau mengakui pasukan bimbingannya masih lagi gagal bermain seperti yang dikehendakinya, terutama ketika tidak memiliki bola.

“Saya rasa Augsburg membuat 3 percubaan ke arah gol dan 2 daripadanya berjaya menghasilkan gol. Perkara macam ini lah yang menghantui kami sepanjang musim ini – setiap percubaan pemain lawan menghasilkan gol.”

“Dan apabila kami tidak memiliki bola, kami tidak bertindak seperti yang saya mahukan. Kami sedar setiap kesilapan individu yang kami lakukan akan berakhir dengan gol.”

Dengan kemenangan ke atas Augsburg, Bayern kini hanya ketinggalan 2 mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund yang masih mempunyai 1 perlawanan dalam tangan.

Dortmund yang tewas teruk kepada Tottenham Hotspurs dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah Rabu lalu akan bertandang Nurnberg untuk mencari 3 mata berharga, sekaligus kembali menjarakkan diri dengan Bayern.

BACA:  Hazard Hampakan Liverpool Dan Morata Di Anfield