Koyak Kena Maki, Rashford Ajak Penyokong United Bersemuka Sebelum Dilerai Oleh Petugas Keselamatan

Marcus Rashford dihalang untuk berdepan penyokong Manchester United yang memaki hamun beliau ekoran dari tersingkirnya setan merah dari saingan Champions League.

United tersingkir dari saingan Champions League selepas tewas 1-0 di tangan Atletico Madrid di Old Trafford kemarin.

Atletico Madrid mara ke peringkat suku akhir selepas mencatatkan kemenangan 2-1 secara aggregate dan tentunya kemenangan di Old Trafford berjaya menggembirakan seluruh kem Juara bertahan saingan La Liga itu.

Rashford dimasukkan sebagai pemain gantian pada aksi babak kedua dengan Man Utd ketika itu berusaha mahu mencari gol penyamaan.

Beliau walau bagaimanapun gagal memberikan impak seperti yang diharapkan dan gagal untuk menghasilkan sesuatu.

Selepas perlawanan, salah seorang penyokong yang berdiri di pintu keluar melihat pemain serta barisan kejurulatihan meninggalkan stadium telah menjerit sesuatu kepada Rashford.

“Selepas persembahan itu!”

Jeritnya kepada Marcus Rashford.

Pemain berusia 24 tahun itu kemudiannya berpaling dan berjalan menuju ke arah penyokong tersebut.

Staff dan petugas keselamatan stadium kemudiannya menghalang Rashford dari terus ke arah penyokong tersebut dengan bintang England itu kemudiannya kembali ke arah bas.

Rashford kemudian tampil menjelaskan situasi sebenar tentang insiden tersebut dengan beliau memuat naik status panjang lebar di akaun media sosial miliknya.

“Satu video yang boleh menghasilkan seribu kata dan dalam kes ini ia membawa kepada maklumat yang kurang tepat berlegar di media sosial.”

“Guys, selama tempoh berminggu-minggu saya dihina, diancam, dipersoal dan semalam emosi saya mengatasi segalanya. Saya manusia biasa.”

“Membaca dan mendengar semua hal tentang diri kamu setiap hari ia buatkan kamu sedih. Tidak ada orang yang lebih teruk mengkritik persembahan saya berbanding diri saya sendiri. Tapi apa kamu lihat dalam video ini ia tak ada konteks.”

“Saya dihina sebaik sahaja saya jejak kaki ke luar, mengganggu bukan hanya kepada karier bola sepak saya. Orang memang tunggu reaksi balas saya. Telefon mereka sudah bersedia untuk merakam.”

“Sudah tentu saya sepatutnya berjalan terus melepasi dia dan abaikan dia, itu lah apa yang sepatutnya saya perlu lakukan bukan?”

“Saya mahu jelaskan dua perkara, pertama tentang apa yang sebenarnya saya cakap kepada lelaki yang mengganggu saya itu adalah, ‘Datang sini dan cakap benda tu depan muka saya’ (pengawal pun ada situ untuk lindung) dan kedua, saya menggunakan jari telunjuk saya ketika menunjuk ke arah dia dan bukan jari tengah saya.”

“Saya tak berhak. Ini bukan ego. Saya kecewa. Saya sedih. Dan pada ketika itu ia adalah tindakan bodoh tapi saya cuma jadi manusia biasa.”

Ia jelas sekali musim yang sangat mengecewakan untuk Marcus Rashford yang mana beliau musim ini hanya mampu menjaringkan lima gol sahaja dari semua pertandingan.

Rashford telah menjadi salah seorang pemain terpenting skuad setan merah sejak dari awal beliau menyertai skuad utama pada tahun 2016 yang lalu.

United memulakan aksi bertemu Atletico dengan sangat baik, namun anak-anak buah Diego Simeone itu terlalu kental ketika bertahan.

Anthony Elanga turut memiliki kesempatan emas untuk meledak gol, namun cubaan dari jarak dekat beliau berjaya dinafikan oleh Jan Oblak.

Atletico Madrid berjaya merobek gawang United menerusi Joao Felix namun malangnya gol tersebut dibatalkan kerana beliau berada di kedudukan offside.

Itu adalah amaran pertama untuk barisan pertahanan Man Utd yang sepertinya terlalu sukar untuk mencatat clean sheet sepanjang tahun 2022 ini.

Renan Lodi kemudiannya berjaya meledak gol, seterusnya membawa Atletico Madrid untuk mara ke peringkat suku akhir, dengan menyingkirkan setan merah.

Kekalahan ini menyebabkan United secara rasminya akan mengakhiri saingan musim ini dengan tidak memenangi apa-apa untuk tahun kelima berturut-turut.

Ia merupakan kemarau paling panjang Man Utd sejak 40 tahun lalu, dengan penjaga gol mereka, David De Gea nampak sangat beremosi selepas tamat perlawanan tersebut.

“Sudah tentu ia tak cukup bagus.”

Jelas De Gea kepada BT Sport.

“Ia sukar untuk kelab, untuk kami dan untuk penyokong. Ia sangat sukar. Ini adalah di mana kami pada ketika ini. Ia situasi yang sukar. Kami perlu terus berjuang. Saya rasa sangat sedih. Tapi kami memang tak cukup bagus.”

“Kami sangat kecewa dengan keputusan. Ia sukar untuk diluahkan dengan kata-kata tentang apa kami rasa pada ketika ini. Kami tak buat dengan baik untuk menang dalam perlawanan ini. Ia hari yang sangat mengecewakan untuk kami. Mereka merupakan sebuah pasukan yang ada banyak pengalaman. Mereka tahu bagaimana untuk bermain dalam perlawanan seperti ini.”

Man Utd pada ketika ini berada di kedudukan kelima dalam carta saingan Premier League, dengan mereka hanya satu mata sahaja dipisahkan oleh Arsenal yang berada di kedudukan keempat.

Gunners walau bagaimanapun memiliki kelebihan dua perlawanan yang masih belum dimainkan, dan sepertinya mereka lebih berpotensi untuk mendapatkan slot akhir ke saingan Champions League musim depan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jawapan Balas Rashford Ke Atas Segala Kritikan Yang Dilemparkan Kepadanya