Kroos Kecewa Dengan Taktikal Lopetegui, Dakwa Dirinya Bukan Casemiro

Pemain antarabangsa Jerman, Toni Kroos kecewa dengan arahan yang diberikan jurulatih supaya bermain lebih ke bawah, sambil berkata corak permainnya tidak sama seperti Casemiro.

Pengurus Real Madrid, Julen Lopetegui mahu Kross bermain di sebelah Casemiro di bahagian tengah namun peranan itu tidak berapa digemari Kroos kerana berasa dirinya lebih sesuai bermain sedikit ke hadapan.

Kroos tidak gembira dengan peranan yang diberikan terhadapnya musim ini. Aku bukan Casemiro !

Juara Piala Dunia 2014 itu dianggap antara pemain tengah terbaik dunia ketika ini dan mencipta nama sebagai pemain yang mampu merencana serangan pasukan dari bahagian tengah.

Beliau juga telah memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat kelab dan kini memiliki 4 medal juara Liga Juara-Juara Eropah.

Walau bagaimanapun, musim ini menyaksikan Los Blancos mengharungi permulaan musim yang sukar dan mereka kini menduduki tangga ke-4 selepas 8 perlawanan. Kedudukan Lopetegui selaku pengurus Real Madrid mula goyah dan sudah timbul spekulasi yang mengatakan beliau akan dipecat jika keadaan masih tidak berubah.

Real Madrid gagal memenangi 4 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, termasuk kekalahan memalukan 3-0 di tangan pendahulu La Liga, Sevilla.

Kroos mahu beraksi lebih ke hadapan, bukan di sisi Casemiro. Tu pon nak kena ajor

Dalam satu temu bual sebelum berlangsungnya perlawanan Nations League antara Jerman dan Netherlands, Kroos mendakwa beliau tidak risau dengan prestasi buruk Real Madrid kerana beliau yakin mereka mempunyai skuad yang mampu membawa Real Madrid balik ke pangkal jalan.

“Ia merupakan satu cabaran untuk menterbalikkan situasi kami sekarang. Kami pernah membuktikan yang kami mampu melakukannya.”

“Kami selalu melalui fasa buruk macam ni. Situasi yang Real Madrid sedang lalui ketika ini langsung tidak merisaukan saya.”

“Saya suka bermain lebih ke bawah, tapi saya bukan Casemiro.”

Kenyataan Kroos itu jelas menunjukkan beliau kurang gembira dengan peranan yang diberikan Lopetegui terhadap beliau musim ini. Di bawah Zinedine Zidane dulu, Kroos mempunyai lebih kebebasan untuk naik ke atas dengan lebih kerap, namun situasi berbeza pula berlaku di bawah Lopetegui.

Kroos telah beraksi dalam 10 perlawanan musim ini, kurang satu daripada Casemiro. Jika Real Madrid mahu menamatkan kemarau kemenangan mereka dengan secepat mungkin, Lopetegui perlu mencari jalan bagi membolehkan Casemiro dan Kroos berfungsi dengan lebih baik seterusnya dapat mengawal jentera tengah dengan lebih berkesan.

Namun begitu, Kroos percaya Real Madrid akan kembali memenangi perlawanan selepas ini

Sebenarnya, Lopetegui perlu bertanya pada diri sendiri mengapa skuad yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu bergelut untuk memenangi perlawanan musim ini. Walaupun tanpa kelibat Cristiano Ronaldo, Los Blancos masih mempunyai ramai lagi pemain berkelas dunia yang mampu mengisi peranan Ronaldo dalam pasukan.

Sebaik sahaja aksi antarabangsa berakhir, Real Madrid akan melayan kunjungan Levante di Santiago Bernabeu pada hujung minggu depan sebelum menentang Plzen dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, juga di tempat sendiri.

Kemudian, tiba ujian sebenar buat Lopetegui dimana mereka akan berdepan Barcelona di Nou Camp dalam aksi El-Clasico pertama musim ini tanpa kelibat Ronaldo.

BACA:  Shiekh Mansour Sanggup Keluarkan Berapa Sahaja Untuk City Tandatangani Bintang PSG