Kylian Mbappe Menang Anugerah Budak Emas

Bintang muda Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe diundi sebagai pemenang Anugerah Budak Emas atau lebih dikenali sebagai ‘Golden Boy’ selepas aksi cemerlang bersama kelab yang diwakilinya musim ini.

Mbappe menyertai senarai panjang pemain terkenal dunia yang pernah memenangi anugerah ‘Golden Boy’ seperti Wayne Rooney, Lionel Messi, Paul Pogba, Sergio Aguero dan Cesc Fabregas. Anugerah ini diperkenalkan pada tahun 2003 dan Rafael Van Der Vaart adalah pemenang pertama anugerah ini pada tahun tersebut.

Anugerah ini diperkenalkan bagi mengiktiraf bakat muda bawah 21 tahun paling menyerlah yang bermain di Eropah. Anugerah ini dianjurkan oleh akhbar dari Itali, Tuttosport dan setakat ini, undian telah disertai beberapa akhbar terkenal Eropah seperti Bild (Jerman), L’Equipe (Perancis), The Times (United Kingdom) dan Marca (Sepanyol). Wartawan dari akhbar yang mengambil bahagian dalam pengundian akan membuang undi setiap tahun bagi memilih pemain yang paling berhak untuk memenangi anugerah ini.

Mbappe setakat ini sudah menjaringkan 4 gol dan menyumbang 4 bantuan gol dalam 11 perlawanan untuk kelabnya musim ini. Beliau menjadi buah mulut peminat bolasepak selepas menyerlah bersama Monaco musim lepas dan membantu kelab lamanya itu memenangi Ligue 1 dan mara sehingga separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum disekat oleh Juventus.

Mbappe telah berganding baik dengan Neymar dan Edinson Cavani untuk membentuk trio baru paling digeruni dalam dunia bolasepak hari ini. Bayern Munich menjadi mangsa mereka beberapa minggu lepas selepas dibelasah 3-0 dan perlawanan tersebut mengakibatkan pengurus Bayern Munich ketika itu, Carlo Ancelotti kehilangan jawatannya.

Dalam peringkat antarabangsa, Mbappe telah berjaya mengumpul 8 penampilan bersama Perancis. Beliau tiba di PSG dari Monaco sebagai pemain pinjaman dan akan dibeli secara rasmi musim hadapan dalam perjanjian rekod dunia bagi pemain remaja bernilai €180 juta. Hanya nilai Neymar lebih tinggi dari nilai yang akan dibayar PSG untuk Mbappe.

Mbape dan Bakayoko

Mbappe berjaya menewaskan beberapa nama besar lain seperti Gabriel Jesus (Manchester City), Gianluigi Donnaruma (AC Milan), dan Ousmane Dembele (Barcelona). Beliau berjaya memenangi 291 undi, jauh meninggalkan pemenang tempat kedua, Ousmane Dembele yang hanya mampu meraih 149 undi.

Berita gembira untuk peminat Manchester United kerana pemain harapan mereka, Marcus Rashford berjaya meraih tempat ketiga, dihadapan pemain seteru utama mereka, Gabriel Jesus yang bermain bersama Manchester City.

Donnaruma diundi pada kedudukan kelima, Christian Pulisic dari Dortmund di kedudukan keenam, dan penyerang muda Ajax, Kasper Dolberg yang membawa pasukannya ke final Europa League musim lepas menduduki tangga ketujuh.

Anugerah tahun ini merupakan tahun ke-15 ia diadakan dan kali ketiga anugerah ini dimenangi pemain yang berasal dari Perancis. Paul Pogba memenangi anugerah ini pada tahun 2013 ketika bersama Juventus dan selang dua tahun selepas itu, giliran Anthony Martial pula untuk membolot anugerah ini ketika bersama Manchester United.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga